Jabatan Mufti Kerajaan Adakan Sambutan Hari Raya ‘Idulfitri

Bagi mengeratkan silaturrahim diantara pegawai dan kakitangannya, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri sekali lagi mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya’Idulfitri bagi tahun 2016M/1437H dihoskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan. Majlis diadakan di Ruang Legar Bangunan DarulIfta  Brunei Daarussalam pada 8 Syawal 1437H bersamaan 13 Julai 2016. 

Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan; Yang Mulia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan; Yang Mulia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof, Pemangku Timbalan Mufti Kerajaan; Yang Mulia Awang Mohd. Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan; Ketua-ketua Bahagian, Pegawai-pegawai Kanan, pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah beramai-ramai disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan. Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim daripada keluarga pegawai/kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya, Awang Mohd. Sofian bin Haji Basri selaku pengerusi majlis, menjelaskan bahawa sambutan pada hari ini adalah salah satu acara tradisi Jabatan Mufti Kerajaan bagi memberi peluang kepada warganya untuk bersalam-salaman dan saling bermaaf-maafan antara satu sama lain disamping untuk mengukuhkan tali silaturahim dikalangan warga jabatan.

Menurutnya, Jabatan Mufti Kerajaan ketika ini mempunyai lebih kurang 100 orang tenaga kerja atau secara tepatnya seramai 98 orang tidak termasuk tenaga kerja pinjaman dari jabatan lain.

Jabatan Mufti Kerajaan melalui bahagian-bahagian yang diwujudkan, jelasnya akan sentiasa memastikan sumber tenaga manusianya diberikan peluang untuk memajukan diri melalui platform-platform tertentu seperti melalui pemberian latihan-latihan jangka pendek dan panjang secara proaktif, melalui sokongan-sokongan tertentu bagi membolehkan mereka berpeluang meningkatkan diri mereka sama ada melalui permohonan-permohonan jabatan bagi kenaikan pangkat, sokongan dan kebenaran memangku dan tugasan-tugasan yang lebih mencabar; dan melalui pengiktirafan-pengiktirafan rasmi seperti sokongan-sokongan pemberian bintang dan pingat termasuk pencalonan Anugerah Pekerja Cemerlang (APCPA).

Semua itu, tegasnya adalah antara langkah strategik jabatan bagi memastikan visi dan misi jabatan tercapai.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat dan bersalam-salaman.