Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri telah mencapai beberapa kecemerlangan dan kejayaan dalam berbagai bidang termasuk melalui Skim Tarbiah Ulama (STU), buku-buku yang diterbitkan dan dan pencapaian warga kerjanya melalui Anuigerah Perkhidmatan Awam.
Menerusi STU, yang mula diperkenalkan oleh JMK pada tahun 1996 telah melahirkan dua orang Doktor Falsafah. Mereka ialah Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Ketua Pegawai Istinbat memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya pada tahun 2011 dan Dr.Haji Mazanan bin Haji Yusof, Ketua Pegawai Penyelidik Ugama, memperolehinya dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2014. Sebelumnya kedua-dua mereka memperolehi ijazah sarjana menerusi STU.
Selain itu tujuh orang pegawai yang mengikuti latihan dalam perkhidmatan menerusi STU juga telah memperolehi ijazah sarjana dalam berbagai bidang disiplin ilmu di beberapa institui pengajian tinggi di luar negeri.
Dalam bidang penerbitan pula, JMK pada 10 Disember, 2014 telah terangkat apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Penerbit Nusantara, semasa Majlis Anugerah Buku Negara 2014, yang berlangsung di Pusat Persidangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, Malaysia.
Terbaharu, sempena Pesta Buku Brunei dan Karnival Memperkasa Budaya Membaca 2015, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-31, buku terbitan JMK, Qanun Jenayah Syari’ah: Satu Pengenalan telah diisytiharkan sebagai Buku Terlaris 2014 (Ilmiah) dan JMK sebagai Penerbit Terbaik 2014 (Ilmiah).
Sempena Pesta Buku Brunei 2014, buku tersebut juga diisytiharkan sebagai Buku Terlaris (Ilmiah) dan JMK Penerbit Terbaik (Ilmiah) 2013.
Dalam bidang perkhidmatan awam pula, tiga orang pegawai dan kakitangan JMK telah menerima Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam (ACPA) dan Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) 2014 di Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam kali ke-21. Mereka ialah Haji Yakob bin Haji Metali, Pengurus Penerbitan Fatwa menerima ACPA kategori kertas cadangan, Haji Mohd.Faizal bin Haji Mohd.Kassim dan Haji Noralizan bin Mohammad Noor masing-masing dipilih sebagai penerima APCPA bahagian IV dan V, Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, sempena Majlis Sambutan Hari Guru 2014 pula, Sharifah Khadijah binti Syed Hussain Alkaff, yang baru sahaja berkhidmat di JMK sebagai Pakar Penterjemah telah menerima Anugerah Guru Cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Bagi melahirkan rasa syukur di atas pencapaian ini, JMK telah mengadakan Majlis Kesyukuran yang telah diadakan pada 26 Jamadilawal, 1436 bersamaan 17 Mac, 2015 di Ruang Legar Darulifta’ Brunei Darussalam.
Hadir di majlis tersebut ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr,Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.