Kertas Perdana YB Pehin Mufti di Majlis Ilmu 2016

Kertas Perdana Majlis Ilmu 2016:
Perhubungan Berkat dan Selamat Pemangkin Kesejahteraan Umat

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan menegaskan melangkah ke era globalisasi selepas paskal  pemodenan, perubahan gaya hidup datang mendadak berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat, dan berlakulah aplikasi atau penggunaan secara meluas  “laman media social”  yang terdiri antaranya:  Facebook, Instagram, Blog, Twitter, WhatsApp dan Google plus.  Melalui alat-alat ini, jelasnya siapa saja di alam maya ini boleh berhubungan antara satu dengan yang lain.

Tidak syak lagi katanya, teknologi dan kemajuan maklumat telah berhasil menghapuskan batasan sempadan sesebuah negara, dan dunia kita sekarang, tidak ada bezanya dari cuma sebuah  kawasan tanpa sempadan.

Demikian itu hebatnya ledakkan teknologi sehingga mampu untuk mengubah sistem komunikasi daripada biasa sahaja kepada sangat luar biasa.

Yang Berhormat Pehin berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Khas di Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2016 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas pada 20 Dzulkaedah, 1437 bersamaan 23 Ogos, 2016.

“Salam” Sistem Komunikasi Membawa Infak Berkat dan Selamat

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata bahawa lebih penting dalam kehidupan ini, bukanlah semata-mata maju dan canggih, tetapi apa yang lebih diperlukan, khasnya bagi orang-orang Islam, ialah “berkat dan selamat”.

Berkat dan selamat di sini, tegas Yang Berhormat Pehin adalah satu strategi atau matlamat paling agung, dan tidak ada yang lebih agung, kudus dan mulia daripada itu.

Sebab itulah, tegasnya lagi agama Islam dari awal-awalnya lagi, telah mengajar umatnya supaya mengamalkan “salam” iaitu satu sistem komunikasi yang tidak ada tolok bandingnya yang jika ia benar-benar dihayati pasti akan membawa infak berkat dan selamat.

Menurut Yang Berhormat Pehin, salam dalam Islam adalah “doa”. “Assalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh” itu, jelasnya bermaksud “Selamat sejahtera ke atas tuan serta rahmat dan keberkatan Allah juga – semoga semuanya itu menjadi milik tuan”.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan, orang Islam bukan berhubung dan berkomunikasi kosong, tetapi berhubung untuk selamat, minta selamat sambil menagih rahmat dan keberkatan daripada Allah.

Salam dalam Islam, katanya bukan angin lalu, tetapi alat perhubungan yang membawa berkat dan selamat, yang menumbuhkan kasih muhibbah, persefahaman dan kemesraan.

Menurutnya lagi, salam bukan remeh-temeh, tetapi suatu alat untuk memperolehi “laba besar” berjumlah sebanyak 30 semuanya, yang diberi nama dengan nama “kebajikan” atau hasanah. “Assalamu ‘alaikum” 10 kebajikan, “Warahmatullah” lagi 10 kebajikan dan “Wabarakatuh” tambah lagi dengan 10 kebajikan, berjumlah semuanya 30 kebajikan.

Lantaran itu,  katanya orang-orang arif bijaksana sangat-sangat mengambil berat tentang salam kerana sesiapa yang mendahului saudaranya mengucapkan salam, nescaya Allah akan bina untuknya sebuah istana  di dalam syurga dan salam bukan sahaja diucapkan oleh kita, malah juga diungkapkan oleh Allah kepada para penghuni syurga di akhirat kelak.

Dalam Perjalanan atau Pelayaran Jangan Berenggang Dengan Allah

Sebelum bercakap mengenai dunia siber atau “cyber world” selaku wadah dan peralatan canggih perhubungan, Yang Berhormat Pehin terdahulu menyentuh mengenai perhubungan biasa yang berlaku melalui peralatan-peralatan biasa seperti binatang-binatang tunggangan, kereta dan kenderaan-kenderaan yang lain, yang apapun peringkat zaman, alat-alat ini akan terus diperlukan sebagai penghubung untuk menjejaki distinasi-distinasi yang dimaksudkan.

Menurutnya, apabila berlaku penggunaan alat-alat ini, maka semua orang pasti menginginkan selamat.

Sebagai orang Islam, katanya disamping ikhtiar fizikal seperti memastikan peralatan perlu baik, tidak rosak dan tidak bermasaalah, kita juga dipandu  oleh agama supaya melibatkan Allah dalam setiap pergerakan atau perjalanan kita.

Tegasnya, selaku hamba yang lemah, yang serba kurang dan serba berhajat, di mana antara hajat kita itu ialah supaya dilimpahi dengan rahmat keselamatan dan keberkatan dalam perjalanan atau pelayaran, kita jangan berenggang dengan Allah dan lupakan Allah.

Sebelum keluar rumah dan naik kenderaan, tegasnya lagi kita sudah dipandu untuk berbuat sesuatu iaitu jangan lupa membaca doa, jangan lupa membaca “Asmaullah al-a’zham” atau Basmallah, dan baca juga walau sedikit ayat al-Qur’an yang kita sedia hafaz untuk mengambil tabarruk.

Menurut Yang  Berhormat Pehin, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadits baginda dari Sayyidina Ali Karamalluhu Wajhah, bersabda (ertinya):  “Barangsiapa hendak belayar, lalu ia membaca 11 kali surah al-Ikhlas, adalah Allah, jadi pengawal kepadanya, sehingga ia kembali semula dari pelayaran itu.”

Di sinilah jelas Yang Berhormat Pehin, Brunei kita dianggap sebagai layak untuk menempati tangga paling tinggi dalam perkara mengendali dan melaksanakan perhubungan.

Menurutnya, Brunei sudah terbukti sebagai mampu untuk mengungguli doa di dalam setiap penerbangannya.

Doa mudah disebut dan kepentingannya juga diakui oleh semua pihak, tetapi, katanya Brunei Darussalam bukan hanya setakat mengakui, bahkan juga  melakukannya tanpa ragu-ragu dan malah lebih hebat lagi, pesawat khas raja kita sendiri telahpun lebih awal mengumandangkan “Doa Safar” di dalam setiap penerbangannya mendahului penerbangan-penerbangan biasa yang lain.

Tanpa Kawalan, Laman Sosial Bawa Kesan Negatif

Membicarakan mengenai mencari selamat dan berkat dari wadah atau platform perhubungan dunia siber (Cyber world), Yang Berhormat Pehin menegaskan melaluinya hubungan mampu dijalin  melalui laman-laman web Facebook, Twitter dan lain-lain lagi yang semuanya itu menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan menarik malah menyeronokkan.

Menurutnya, dari sudut positifnya, laman sosial ini memang ada kelebihannya, seperti mampu untuk menjalin hubungan-hubungan bagi mengetahui perkembangan-perkembangan terkini atau untuk membincangkan pelbagai isu besar dan penting dan lain-lain lagi.

Namun, tegasnya tidak wajar kita lupa bahawa laman social juga turut menyediakan ruang yang amat luas untuk keburukkan-keburukkan berkembang kerana penggunaannya tanpa kawalan.

Ruang siber, tegasnya mampu untuk melakar wajah-wajah jenayah di seluruh dunia, antaranya di United Kingdom tahun lalu, jenayah yang melibatkan computer melebihi jenayah fizikal.  Dalam ekonomi, ada kajian menganggarkan bahawa menjelang tahun 2019, jenayah siber akan mengakibatkan kerugian lebih dari 2.1 trilion dolar Amerika.  Tahun lepas, katanya berlaku satu serangan sangat canggih ke atas lebih 100 bank dari 11 buah negara, menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah satu billion dolar Amerika.

Yang Berhormat Pehin menambah bahawa jenayah siber bukan terbatas kepada musibah yang menyebabkan kerugian kewangan sahaja, tetapi juga meliputi pengedaran dadah, pornografi kanak-kanak, pelacuran, seks bebas, penculikan dan pemerdagangan manusia.

Dunia di mana saja, katanya adalah bimbang dengan kesan negatif penggunaan internet tanpa kawalan.

“Ia turut mendedahkan kanak-kanak, para remaja dan tidak terkecuali para pelajar kepada unsur-unsur luaran dan budaya kuning.  Dengan melayari internet, mereka amat mudah untuk menemukan bahan-bahan lucah, seperti gambar dan video klip tanpa tapisan. Orang juga boleh mencari dan mendengar lagu-lagu rock dan blackmetal. Semua ini boleh mendorong kepada perlakuan-perlakuan maksiat yang teruk,” tegasnya.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan, menurut kajian 2009, laman web lucah adalah kekal di tempat tertinggi, iaitu pada tempat ke-4 dan ke-5 daripada 100 laman web yang kerap dikunjungi oleh kanak-kanak dan remaja termasuk dari kalangan pelajar.

Yang Berhormat Pehin turut melahirkan kebimbangan tentang kelekaan atau kecenderungan untuk mendapatkan rakan baru di alam maya melalui keseronokkan berchatting yang akan menjadikan anak-anak muda lupa daratan.

Baru-baru ini, katanya sangat tidak disangka, apabila seorang bapa memberitahu sambil meminta pandangan apa hendak dibuat, terhadap anak gadisnya seorang pelajar di Brunei berkeras untuk mengikut kawannya seorang jejaka warga Hong Kong, yang baru dikenalinya melalui jaringan media social.  Walaupun belum pernah  bertemu secara bersemuka, tetapi si gadis ini tetap berkeras untuk pergi juga ke Hong Kong menemui jejaka warga Hong Kong itu.  Si gadis adalah orang kita berbangsa Melayu dan beragama Islam, sementara si jejaka pula berbangsa lain dan bukan beragama Islam.

“Bayangkan apa sudah jadi ini?  Dan bayangkan juga apa akan jadi 10 tahun lagi?” Soal Yang Berhormat Pehin.

Pada masa ini pun, katanya menurut bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, kira-kira 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak Malaysia terdedah kepada gejala negatif dunia siber dan sekaligus mampu untuk mempengaruhi emosi dan syakhsyiah mereka. Bekas menteri itu seterusnya menyebut, pelajar-pelajar Malaysia menjadikan internet, terutama laman web jaringan sosial, seperti Youtube, Facebook, MySpace, Twitter dan sebagainya sebahagian daripada hidup mereka.

Yang Berhormat Pehin menambah bahawa tidak diragukan lagi, disamping mendapat manfaat daripada penggunaan teknologi ini, manusia juga sekarang sedang berhadapan dengan pelbagai musibah kerananya. Kalau di masa lalu, kita hanya mendengar orang menyebut mengenai ketagih dadah, ketagih rokok dan arak, tetapi sekarang, pakar-pakar ilmu jiwa dan kemasyarakatan telah menambah satu lagi jenis ketagih iaitu “ketagih internet”.

Telefon Pintar dan Internet: Penyalahgunaan Membawa Kerugian

Paling mutakhir setakat ini, katanya muncul pula satu lagi permainan  yang juga menggunakan rangkaian internet dan GPS (Global Positioning System) yang dilakukan dengan cara berjalan-jalan di tempat-tempat yang dikesan ada karektor yang dipanggil sebagai karektor pokemon yang dapat dilihat melalui skrin telefon pintar.

Menurutnya cara permainan ini telah menimbulkan persoalan ramai dan rata-rata orang melihat sebagai mengundang kepada bahaya kerana ia boleh dimain di mana-mana sahaja tanpa ada batas kawasan termasuk di kawasan-kawasan terkawal atau terlarang dan malah boleh juga dimain ketika memandu kenderaan.

Menurut Yang Berhormat Pehin, permainan ini adalah jelas turut menyangkut perkara-perkara keselamatan dan ketenteraman, dan sejak ia diperkenalkan, ratusan insiden sudah direkodkan antaranya ditembak mati ketika bermain, disaman atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu kerana memburu karektor pokemon, golongan pekerja berhadapan resiko dipecat oleh majikan kerana gara-gara terlalu asyik bermain pokemon pada waktu bekerja dan lain-lain lagi.

Tambahnya tidak diragukan lagi seluruh dunia adalah tidak menafikan bahawa permainan baharu ini boleh mendatangkan mudharat dan ancaman.

Di sana, katanya terdapat beberapa pendapat, bahawa disamping ianya boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain, permainan ini juga tidak mustahil dapat digunakan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja pengintipan atau perisikan.

Dari butir-butir yang disebutkan itu, tegas Yang Berhormat Pehin memang patut permainan ini dihindari dan malah wajar, kalau pihak-pihak yang berkenaan dengan keselamatan dan ketenteraman menegahnya sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan orang ramai dan negara dari mendapat kesan buruk yang tidak diingini.

Secara amnya, jelas Yang Berhormat Pehin seluruh dunia adalah sangat rapat dengan telefon pintar.   Hubungannya dengan manusia sangatlah akrab dan kita dapat saksikan, di mana-mana sahaja orang ada membawa telefon pintar.  Semuanya berkawan dan berteman rapat dengan telefon pintar sehingga tidak sanggup lagi untuk berenggang atau berpisah.   Pendeknya, manusia adalah berhubung, berurus, berhibur dan bermain-main, semuanya dengan telefon pintar.

“Bukan tujuan kita untuk melarang orang menggunakan telefon pintar dan lain-lain kemudahan teknologi maklumat, bukan!  Tetapi “cara” adalah perlu diperbaiki.  Kita mesti memperbetulkan cara.  Kita mesti elakkan diri dari sampai ketagih mengaplikasi alat-alat ini,” tegas Yang Berhormat Pehin.

Memetik pendapat pakar, Yang Berhormat Pehin menegaskan ketagih telefon pintar dan internet boleh beresiko mengalami symptom gangguan mental dan membuang banyak masa.

Katanya, Ketua Jabatan Teknologi Multimedia, Universiti Utara Malaysia, Dr. Muhammad Subhi Ishak berkata: Sebahagian besar responden, adalah beresiko mengalami symptom ini, berpunca dari ketagihan laman rangkaian social (SNS), seperti Facebook, WhatsApp, WeChat, Instagram dan Youtube.

Oleh itu, tegas Yang Berhormat Pehin, kita mesti elakkan penggunaan yang salah ini dari terus diamalkan.

Menurut satu kajian, katanya golongan belia berumur antara 18 hingga 25 tahun, menghabiskan masa lebih dari lima jam sahari untuk melayari internet sahaja.  Ini belum termasuk masa menonton televisyen, mendengar radio dan melayani telefon pintar.

“Cuba bayangkan, kalau sudah lima jam dengan internet sahaja, berapa jam pula dengan televisyen, dengan radio dan telefon pintar? Tidak mustahil, total masa yang diambil mungkin sahaja boleh mencapai belasan jam sehari.  Selebihnya itu, barulah untuk yang lain-lain,” jelasnya.

Kita, tegasnya bukanlah anti kemajuan, dan kita juga maklum bahawa mana-mana negara yang menguasai teknologi maklumat dan komunikasi adalah bakal peneraju dunia, tetapi yang kita rungsingkan ialah penyalahgunaan teknologi ini.

Menurutnya penyalahgunaan itu setentunya membawa rugi:  rugi dunia dan rugi akhirat.  Rugi dunia ialah, apabila kerananya banyak tersebar keburukan-keburukan, dan rugi akhirat pula kalau kita hanya semata-mata mengutamakan hubungan dengan sesama manusia sahaja.

Jelasnya, kita perlu sedar, hubungan itu ada dua:  (1) Hubungan sesama manusia, dan (2) Hubungan manusia dengan Allah.  Hubungan sesama manusia ini ada alatnya iaitu ICT, dan hubungan manusia dengan Allah pula, juga ada alatnya iaitu Zikir.

Beraplikasi dengan zikir, tegasnya akan menjalin hubungan manusia dengan Allah.

Yang Berhormat Pehin seterusnya mempersoalkan mengapa orang boleh berkawan rapat dengan ICT sehingga tidak dapat lagi berenggang dan berpisah, tetapi tidak dapat berkawan rapat dengan zikir dan al-Qur’an? Berkawan dengan ICT, katanya orang sampai jadi ketagih, tetapi mengapa dengan zikir dan al-Qur’an orang tidak jadi ketagih? Padahal, ketagih ICT kata pakar, boleh mengundang kepada gangguan mental dan membuang banyak masa, sedang kalau ketagih zikir dan al-Qur’an kata Allah, adalah sebaliknya, menjadi penawar dan rahmat kepada manusia.

Menurut Yang Berhormat Pehin, dengan kesedaran dan tindakan bijaksana, kita sebenarnya boleh mengaut keuntungan berganda dari menggunakan dua-dua alat perhubungan, ICT dan zikir atau al-Qur’an, walaupun tahap keuntungan itu berbeza.

Menurutnya sekali kita menggunakan ICT, kita akan mendapat satu ganjaran atau keuntungan, manakala sekali juga kita menggunakan alat zikir atau al-Qur’an, kita akan mendapat sepuluh ganjaran keuntungan.

Jadi, tegasnya dari ICT bukan ia kosong, tetapi tetap ada manfaatnya.  Sekali kita menggunakan internet atau telefon pintar untuk satu-satu tugas negara umpamanya, maka kita sudah boleh mendapat satu ganjaran (pahala).  Kalau ditambah lagi dengan menggunakan zikir atau al-Qur’an untuk berhubung langsung dengan Allah, maka setiap satu huruf daripadanya kita akan mendapat sepuluh ganjaran (pahala).

Katanya daripada alat kedua ini, zikir dan al-Qur’an, semua itu adalah bersih, tidak ada apa-apa masalah, tetapi daripada alat perhubungan pertama, ICT, kita sekali-kali tidak boleh melupakan faktor “kebajikan”.

Tegas Yang Berhormat Pehin, jika faktor “kebajikan” ini dicuaikan, maka ganjaran baik akan hangus begitu saja.  Jika ia digunakan untuk melakukan jenayah-jenayah siber, untuk melayari laman-laman lucah atau digunakan saja-saja untuk membuang-buang masa tanpa tujuan, maka ganjaran baik tidak ada di sini dan pahala tidak berbangkit.  Yang berbangkit, jelasnya hanya dosa, dosa adalah punca musibah bukan punca selamat.

Diakhir ceramahnya, Yang Berhormat Pehin mengingatkan bahawa Allah adalah menilai amalan kita semuanya, kecil atau besar, banyak atau sedikit.  Yang Berhormat Pehin memetik firman Allah di dalam surah az-Zazalah ayat 7 dan 8 (tafsirnya):  “Barangsiapa berbuat kebajikan (walau) seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (amalannya itu dalam buku suratannya).  Dan (begitu juga), barangsiapa yang berbuat kebajikan (walau seberat zarah), nescaya akan dilihatnya (amalannya itu dalam buku suratannya).”