Selasa, 14 Jamadilakhir 1448 bersamaan 24 November 2026
PALANGKA RAYA, KALIMANTAN TENGAH – Yang Mulia Dr. Haji Mas Reduan bin Haji Jumat, Ketua Buhuth selaku wakil kepada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan telah menghadiri dan menyampaikan Ucap Perdana di Seminar Internasional sempena Konferensi Antarbangsa Islam Borneo (KAIB) XVII Tahun 2026 pada 24 November 2026 bersamaan 14 Jamadilakhir 1448. Acara berlangsung di Universitas Islam Negeri (UIN) Palangka Raya.
Turut mengiringi beliau ke konferensi tersebut ialah Yang Mulia Haji Khairul Anwar bin Haji Muhammad, Pegawai Istinbat.
Dalam Ucap Perdana bertajuk “Bagaimana Teknologi AI Boleh Dipandu Oleh Syariah Dan Akhlak Bagi Mendatangkan Kemaslahatan Dan Kelestarian Ummah?,” Yang Mulia Dr. Haji Mas Reduan bin Haji Jumat membincangkan bagaimana teknologi kecerdasan buatan (AI) dapat dipandu oleh syariah dan akhlak demi kemaslahatan serta kelestarian ummah. Beliau menerangkan bahawa walaupun AI membawa manfaat besar dalam pelbagai bidang seperti perubatan dan penyelidikan, penggunaannya turut menimbulkan risiko seperti “halusinasi” maklumat, penyalahgunaan deepfake, serta ketidaktepatan dalam rujukan hukum. Justeru, merujuk kepada ketetapan Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Duwali dan fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, hukum asal AI adalah harus tetapi tertakluk kepada parameter syarak dan nilai akhlak, manakala AI tidak boleh menggantikan mufti atau tanggungjawab manusia menilai kebenaran.
Bagi menangani cabaran tersebut, beliau menegaskan keperluan tanggungjawab kolektif merangkumi keluarga, institusi pendidikan, media, pihak perundangan, dan institusi agama. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, perhatian turut diberikan kepada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang mengingatkan agar penggunaan AI berpandukan al-Quran, as-Sunnah, prinsip syarak, serta adab keilmuan supaya tidak meracuni pemikiran atau memesongkan akidah, sambil menyeru masyarakat memastikan kemajuan teknologi sentiasa memelihara ilmu yang benar dan maruah ummah.
Terdahulu, rombongan Jabatan Mufti Kerajaan telah menghadiri acara pembukaan rasmi konferensi pada Isnin, 23 November 2026 bersamaan 13 Jamadilakhir 1448. Majlis pembukaan yang diadakan di Ballroom Seruyan Hotel Bahalap itu telah dirasmikan oleh Wakil Gabenor Kalimantan Tengah, H. Edy Pratowo, dan menghimpunkan para intelektual, ulama, penyelidik serta pengamal akademik dari tiga negara serumpun, iaitu Indonesia, Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.
Konferensi ini adalah anjuran UIN Palangka Raya dengan kerjasama rakan-rakan strategik institusi pengajian tinggi di Borneo dan membawa tema “Transformasi Peradaban dan Kelestarian Ummah dalam Era Teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI)”.