Lawatan Kerja ke Syarikat Haszai Agro Farm

7 Zulkaedah 1436 bersamaan 22 Ogos 2015​

Seramai 17 orang pegawai Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) terdiri dari ketua-ketua bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan ini telah mengadakan lawatan kerja ke Syarikat Haszai Agro Farm Kampong Padang Bukit Udal, Tutong pada 7 Zulqaedah, 1436 bersamaan 22 Ogos, 2015.​​

Lawatan kerja tersebut bertujuan bagi membuat kajian dan penyelidikan mengenai proses yang dilakukan oleh syarikat berkenaan untuk menghasilkan produk-produk daripada Sarang Burung Walit.

Sebelum memulakan lawatan kerja, taklimat mengenai proses produk tersebut disampaikan oleh Awang Hassan bin Haji Zunaidi selaku Pengurus Syarikat berkenaan.

Antara kandungan taklimat ialah penerangan mengenai spesies burung, proses membuat sarang burung melalui ‘air liur’, proses pembersihan sarang burung, produk-produk yang dihasilkan dan khasiat-khasiat yang boleh diambil untuk menyembuhkan penyakit.

Sejurus selepas taklimat, pegawai-pegawai dan kakitangan JMK diberikan peluang melihat sendiri ke ruangan khas tempat sarang burung yang telah dikutip, diproses untuk pembersihan. Antara kaedah-kaedah yang digunakan ialah pembersihan secara manual dengan rendaman air, seterusnya membersihkan kotoran yang terdapat pada sarang burung dan proses pembersihan dengan menggunakan mesin-mesin khas.

Produk-produk yang berjaya dihasilkan oleh syarikat tersebut selain dari sarang burung itu sendiri ialah air minuman dan produk kosmetik seperti sabun serta krim muka juga turut dihasilkan.

Di akhir lawatan pihak dari syarikat bersama pegawai-pegawai dan kakitangan JMK bergambar ramai sebagai catatan kenangan.