Majlis Doa Kesyukuran

Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bertempat di Ruang Legar, Darulifta’ Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan pada 10 Zulkaedah, 1437H bersamaan dengan 13 Ogos, 2016M.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.

Tujuan majlis diadakan adalah untuk meraikan pegawai-pegawai Jabatan Mufti Kerajaan yang telah dikurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam bersempena dengan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan yang ke-70 tahun. Majlis ini juga diadakan bagi meraikan dan menghargai jasa bekas pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan yang sama ada telah bersara mahupun yang telah naik pangkat dan berpindah ke Jabatan-jabatan Kerajaan yang lain. Di kesempatan Majlis ini juga telah disampaikan penghargaan kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan yang telah turut serta dan mewakili Jabatan Mufti Kerajaan pada tahun ini dalam Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah disusuli dengan ucapan daripada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku tetamu kehormat. Sejurus selepas itu, majlis diteruskan dengan ucapan dari Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan sebagai wakil pegawai yang diraikan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian cenderahati dan sijil-sijil penghargaan kepada penerima-penerima yang diraikan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Seramai 3 orang pegawai Jabatan Mufti Kerajaan telah dikurniakan bintang kebesaran pada tahun ini iaitu Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin telah dikurniakan bintang Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Kedua (D.S.S.U.B). Manakala, Yang Mulia Haji Dennie bin Haji Abdullah, Pegawai Istinbat Kanan dan Yang Mulia Hajah Safiyah binti Haji Tuah, Penolong Ketua Qismulhikmah masing-masing telah dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B).

Sementara itu, seramai 27 bekas pegawai dan kakitangan yang pernah berkhidmat di Jabatan Mufti Kerajaan juga menerima sijil penghargaan diatas sumbangan yang telah diberikan sebelum ini kepada Jabatan Mufti Kerajaan.

Sijil penghargaan juga telah diberikan kepada ahli Kumpulan B.U.F (Bahagian Urusetia Fatwa) seramai 6 orang pegawai dan kakitangan yang telah ikut serta dan mewakili jabatan dalam Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang tahun ini.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa kesyukuran dan doa selamat.