Majlis Ibadah Korban 1445h Anjuran Bersama Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) Dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB)

Bandar Seri Begawan, Khamis, 13 Zulhijjah 1445H / 20 Jun 2024M

Sejumlah enam (6) ekor sapi dan empat (4) ekor kerbau telah disembelih untuk dijadikan ibadah korban bagi warga Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB). Majlis pengagihan daging korban telah berlangsung di Ruang Legar, Bangunan Darulifta’, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.

Tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, Mufti Kerajaan. Majlis turut dihadiri oleh Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza Bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Timbalan Pengerusi RB; Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti; Kapten Sabirin bin Haji Abd Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif RB; Penolong-Penolong Mufti; pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan dari kedua-dua institusi.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman, Pemangku Pengarah Pentadbiran JMK selaku Pengerusi Bersama majlis.

Majlis diteruskan dengan penyerahan daging korban kepada 100 ketua keluarga dan wakil penerima yang disempurnakan oleh YB Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, Mufti Kerajaan dan Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza Bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Menteri di JPM. Pada tahun ini, seramai 262 orang asnaf daripada Mukim Kota Batu, Mukim Kianggeh dan Mukim Tamoi telah dipilih untuk menerima daging ibadah korban JMK dan RB.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pg Wafiuddin bin Pg Hj Zulkarnain, Pegawai Buhuth.

Majlis Ibadah Korban yang dilaksanakan secara bersama ini adalah merupakan acara tahunan antara kedua-dua institusi ini. Kesepakatan ini telah lahir sejak 25 tahun yang lalu bermula pada tahun 1999 lagi.