


Bandar Seri Begawan, Selasa, 11 Zulhijjah 1445H / 18 Jun 2024M
Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri melancarkan tiga (3) buah buku terbitan terbaharunya berjudul KEUTAMAAN TAUBAT; PENGHAYATAN NILAI-NILAI ISLAM DALAM PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI dan ADAB-ADAB DALAM ISLAM bertempat di Ruang Legar, Darulifta’ Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan.
Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyempurnakan pelancaran buku tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan. Majlis turut dihadiri oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; Timbalan Mufti Kerajaan, Penolong-Penolong Mufti, Pemangku Pengarah Pentadbiran dan pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan.
Majlis turut menjemput tetamu khas iaitu Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza Bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Pesuruhjaya Polis dan Timbalannya, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta Ketua-Ketua Jabatan daripada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Faatihah disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman, Pemangku Pengarah Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan. Majlis diteruskan dengan ucapan dan pelancaran oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan penyampaian waqaf buku kepada 6 buah perpustakaan iaitu Perpustakaan Islam Brunei, Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan UBD, Perpustakaan UNISSA, Perpustakaan KUPUSB dan Perpustakaan UTB. Sejurus selepas itu, bacaan doa selamat telah disampaikan oleh Yang Mulia Haji Muhammad Ahmad Roza bin Haji Daud, Pegawai Istinbat Kanan di Jabatan Mufti Kerajaan.
Majlis diakhiri dengan sesi penandatanganan buku baharu oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan dan bergambar kenangan bersama tetamu-tetamu khas.