
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan hari ini menerima kunjungan muhibbah Hari Raya ‘Idulfitri daripada Menteri Kanan (Hal Ehwal Luar Negeri dan Pertahanan Singapura) Tuan Yang Terutama Dr. Mohamad Maliki Osman dan isteri, Puan Sadiah Shahal.
Kunjungan Tuan Yang Terutama ke Rumah Hidayah, iaitu kediaman Yang Berhormat Pehin di Jalan Mulaut, Mukim Sengkurong diiringi oleh Setiausaha Parlimen (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Mr. Baey Yam Keng dan isteri Puan Lim Hai Yen; dan Setiausaha Parlimen (Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri), Tuan Amrin Amin.
Turut serta dalam rombongan ialah pegawai-pegawai dari Kedutaan Singapura di Negara Brunei Darussalam di ketuai oleh Duta Besar Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai; Timbalan Duta Besar, Desmond Koh; Setiausaha Pertama, Rachel Leong dan beberapa pegawai yang lain.
Rombongan Menteri Kanan Singapura ini telah dialu-alukan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan dan isteri Datin Hajah Maznah binti Haji Mohammad berserta ahli keluarga; Pemangku Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dr. Haji Awang Mazanan bin Haji Yusof dan beberapa pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan.

