Rabu, 15 Jamadilakhir 1448 bersamaan 25 November 2026
BANDAR SERI BEGAWAN, BRUNEI MUARA – Dua orang pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri telah dijemput sebagai pembentang kertas kerja pada Majlis Muzakarah Haji Kali Ke-34, Tahun 1448H/2026M anjuran Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU). Majlis berlangsung di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Pembentangan kertas kerja tersebut telah disampaikan oleh Yang Mulia Hajah Siti Khadizah binti Haji Emran, Pegawai Istinbat Kanan, dan Yang Mulia Noorus Sadiqin binti Haji Mohd Yasin, Pegawai Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.
Majlis muzakarah berkenaan turut diisikan dengan sesi soal jawab bersama para peserta yang hadir bagi memberikan pencerahan lanjut mengenai isu-isu fiqh dan ibadat yang berkaitan dengan persediaan menunaikan ibadat haji.
Penganjuran muzakarah seumpama ini merupakan platform penting dalam memperkukuh kefahaman hukum-hakam agama serta memastikan kelancaran pengurusan dan pelaksanaan ibadat haji bagi para bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam.