
Penolong Mufti (Buhuth), Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusof telah bertolak ke Selangor, Malaysia pada 19hb Jun, 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444 sebagai wakil kepada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan untuk membentang ucaptama bertajuk “Hukum dan Fatwa Kutipan dan Agihan Zakat: Pengalaman Brunei” di Muzakarah Zakat Nusantara Tahun 2023 (Edisi Khas).
Turut mengiringi beliau ialah Ustaz Haji Martino @ Abd Azim bin Haji Ahmad, Pegawai Buhuth di Jabatan Mufti Kerajaan.
Muzakarah Zakat Nusantara Tahun 2023 (Edisi Khas) ini dijadualkan berlangsung selama 3 hari bermula pada 20 sehingga 22 Jun, 2023, bertempat di Concorde Hotel, Shah Alam, Selangor, Malaysia. Muzakarah tersebut adalah anjuran Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Selangor (LZS).
Tujuan penganjuran muzakarah ini adalah sebagai ajang (platform) untuk mempertemukan para ilmuwan Islam khususnya yang terlibat dalam bidang zakat dan juga para pengamal industri zakat di persada Nusantara untuk berkongsi buah fikiran, pengalaman serta input baharu mengenai perkembangan fatwa-fatwa zakat di negara masing-masing.