
Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusuf, Penolong Mufti (Buhuth), hari ini bertolak ke Republik Singapura sebagai wakil kepada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan bagi menghadiri dan seterusnya menyampaikan ceramah di Singapore Muslim Festival (SMF) 2024, anjuran Jamiyah Singapore.
Acara festival tersebut akan berlangsung selama 3 hari, bermula pada 01 sehingga 03 Mac, 2024 bertempat di Singapore Expo Convention and Exhibition Centre, Hall 6, Republik Singapura.
Turut mengiringi beliau ialah Pg Muhammad Wafiuddin bin Pg Haji Zulkarnain, Pegawai Buhuth di Jabatan Mufti Kerajaan.
Antara pengisian SMF 2024 ini adalah forum dan ceramah oleh cendekiawan Islam antarabangsa, persembahan kebudayaan dan pameran “SEERAH” yang menampilkan tentang perjalanan kehidupan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam bentuk Realiti Maya (VR) serta pameran artifak yang berkaitan dengan Nabi.
Tujuan SMF 2024 diadakan adalah bagi mempromosikan nilai-nilai Islam serta memupuk keharmonian diantara agama dengan memberikan pemahaman yang menyeluruh tentang agama Islam dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.