Program Bicara Ilmuwan Se-Borneo 1448H/2026M: Penolong Mufti (Buhuth) Tekankan Kepentingan Ukhuwwah dan Kerjasama Serantau

Isnin, 15 Jamadilawal 1448 bersamaan 26 Oktober 2026

KUCHING, 26 OKTOBER 2026 – Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof, Penolong Mufti (Buhuth) telah menyertai Program Bicara Ilmuwan Se-Borneo sempena Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Islamic Information Centre (IIC) Majlis Islam Sarawak, Kuching, Sarawak.

Penyertaan beliau adalah bagi mewakili Yang Berhormat Mufti Kerajaan. Turut mengiringi beliau dalam program berkenaan ialah Pegawai Buhuth, Yang Mulia Pengiran Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain.

Program bertemakan “Al-Quran Menyatukan Hati: Memperkukuh Ukhuwwah Ummah Se-Borneo” ini mengetengahkan peranan Al-Quran bukan sahaja sebagai panduan ibadah semata-mata, malah sebagai asas perpaduan, titik pertemuan, dan landasan utama dalam merapatkan perbezaan di tengah-tengah kemajmukan masyarakat serantau.

Selain Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof, turut tampil dalam barisan panelis ialah Mufti Sarawak, Yang Mulia Sahibus Samahah Datu Haji Khalidi bin Haji Ibrahim; Mufti Negeri Sabah, Yang Mulia Sahibus Samahah Datuk Haji Bungsu@Aziz bin Haji Jaafar; serta pensyarah Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak, Indonesia, Yang Mulia Dr. Harjani Hefni.

Semasa sesi perkongsian dalam program tersebut, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof telah menyentuh berkenaan dengan memperkukuh ukhuwwah, yang mana, Al-Qur’an menegaskan bahawa hubungan sesama orang yang beriman bukan sekadar hubungan biasa sesama individu, bahkan ia merupakan hubungan ikhwah atau persaudaraan. Beliau turut menambah bahawa dalam membina kepercayaan sesama masyarakat, akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam wajar dijadikan panduan dan teladan utama dalam segenap aspek kehidupan..

Mengulas mengenai kaedah mengurus perbezaan pandangan, beliau menjelaskan bahawa Al-Quran menuntut umat Islam agar sentiasa berpegang teguh pada agama Allah dan menjauhi perpecahan. Al-Quran juga menuntut umat Islam untuk menyeru ke jalan Allah Ta‘ala dengan penuh hikmah, nasihat yang baik, serta bertukar pandangan (berdebat) secara berhemah.

Dalam pada itu, beliau turut berpendapat bahawa usaha membina kerjasama Se-Borneo yang melibatkan pelbagai institusi Islam di Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan merupakan satu inisiatif yang sangat baik dalam meningkatkan pembangunan ilmu, ekonomi dan masyarakat.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerjasama tersebut perlu dilaksanakan mengikut kerangka perundangan dan tatacara yang bersesuaian dengan negara masing-masing. Langkah pelaksanaannya boleh diperkasakan menerusi perkongsian ilmu serta kepakaran, penyelidikan bersama, program pembangunan belia, dan aktiviti kemasyarakatan yang mampu mengeratkan hubungan serta membina jaringan ukhuwwah berterusan demi manfaat masyarakat di rantau Borneo.

Penganjuran program ini adalah sebahagian daripada pengisian sambutan Tilawah Al-Quran dan Hafazan Se-Borneo dengan penyertaan 32 peserta daripada Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan lima wilayah di Kalimantan.