Sabtu, 27 Jamadilawal 1448 bersamaan 07 November 2026
Tajuk – “MELAYU ISLAM BERAJA (MIB) TONGGAK KEDAULATAN NEGARA”.
Disampaikan oleh:
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned
Mufti Kerajaan
Negara Brunei Darussalam
di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas,
Negara Brunei Darussalam.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ الله ، وَعَلَى اٰلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ وَوَالَاه. أَمَّا بَعْدُ
Mengadap ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Ampun beribu ampun, hamba Kebawah Duli Tuan Patik menjunjung kurnia perkenan untuk hamba Kebawah Duli Tuan Patik menyempurnakan hajat Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu Tahun 1448/2026 bagi hamba Kebawah Duli Tuan Patik menyampaikan Ceramah Khas bertajuk: “Melayu Islam Beraja (MIB) Tonggak Kedaulatan Negara”. Hamba Kebawah Duli Tuan Patik juga menjunjung kurnia keizinan untuk menyampaikan ceramah ini dalam bahasa biasa sebagai kemudahan jua.
Para hadirin yang dihormati,
Untuk selama 6 atau 7 abad, Brunei sangat bangga dengan MIB. Brunei yang comel ini hidup berugama dan berpemerintahan beraja. Inilah Brunei. Ugama dan Raja, sama sekali tidak dapat dipisahkan, kerana survival dan kekuatan Brunei bergantung kepada ugama dan raja.
Perkara ini sudah pun termaktub dalam sejarah, mari! Mari kita sama-sama menghayatinya, khasnya generasi pelapis, janganlah ada yang terlepas pandang untuk memahami perkara ini.
Setelah 6 atau 7 abad Brunei berdamping rapat dengan MIB tanpa sebarang gangguan, tiba-tiba tanpa disangka-sangka muncul sebuah kuasa untuk cuba-cuba mengubur MIB.
Pada tahun 1573, satu utusan dari sebuah kuasa datang ke Brunei untuk meninjau dan mempelajari keadaan Brunei sambil membuat pemetaan mengenai Brunei.
Pada tahun 1574, utusan yang sama datang pula ke Brunei. Diketuai oleh Dr. Fransisco de Sande. Siapakah Dr.Fransisco de Sande? Semua orang tahu siapa dia. Dia adalah utusan negaranya, sebuah kuasa besar pada ketika itu, untuk mencari tanah atau negeri yang boleh dijadikan tanah atau negeri jajahan. Maka Brunei pun menjadi salah sebuah negeri idaman. Lalu kedatangan Dr. Fransisco kali ini ialah untuk membawa sepucuk surat, meminta Sultan Saiful Rijal bersahabat dan sekaligus bernaung di bawah Kerajaan pendatang ini.
Semua kehendak atau hajat yang serong ini ditolak oleh Sultan malah mendatangkan kemurkaan kepada Baginda. Maka gagallah pendatang untuk memaksa Brunei membenarkan pemintaan mereka, namun pendatang terus berazam dan mencari jalan untuk menakluk Brunei.
Setelah beberapa tahun berselang sesudah pendatang gagal untuk mengajak Brunei berbaik-baik dan bernaung di bawah pemerintahan pendatang, maka pada tahun 1578, Dr. Fransisco de Sande telah datang pula ke Brunei dengan membawa 40 buah kapal perang dan beribu-ribu askar. Setelah sampai di Brunei, Dr. Fransisco menghantar surat kepada Sultan. Isi surat antara lain: Meminta Sultan supaya menerima paderi-paderi dan memberi jaminan keselamatan terhadap paderi-paderi dalam masa paderi-paderi itu menyebarkan ugama kufur di Brunei.
Permintaan pendatang asing ini ditolak mentah oleh Sultan, menjadikan Dr. Fransisco de Sande bertindak naik ke darat mengeledah Istana Sultan Abdul Kahar (Raja Tua), dan berikutnya mengeledah juga Istana Sultan Saiful Rijal. Mujur kedua-dua Raja ini sempat berangkat meninggalkan Istana ke Meragang kemudian ke Jerudong, sebagai ikhtiar atau usaha untuk mengelakkan diri daripada ditangkap atau dibunuh oleh pendatang asing itu.
Walaupun musuh bertindak ganas memberi tekanan, namun Sultan Saiful Rijal tetap tidak menyerah kalah. Sekali-kali Baginda tidak mengaku kalah. Kerana Baginda tahu, jika Baginda menyerah kalah atau mengaku kalah, maka bererti MIB akan berkubur dan institusi Raja juga akan roboh dan lebur. Kerana itu Sultan tetap bertahan, bertawakkal kepada Allah tidak akan menyerah kalah, dan sama sekali tidak redha untuk membiarkan bumi Darussalam ini ditukar akidahnya kepada akidah kufur. Allahu Akbar! Allah Maha Besar! Lagi Maha Perkasa.
Para hadirin,
Inilah pendirian Sultan Saiful Rijal yang cuma didokong oleh Pengiran Bendahara Sakam bersama-sama dengan seribu (1,000) orang pemuda yang dilatih sebagai prajurit.
Ini sahaja yang ada pada Brunei, berbanding dipihak musuh mereka mempunyai kapal-kapal perang raksaksa, alat-alat senjata moden yang canggih dan ramai askar yang cukup terlatih.
Sebenarnya pada tahap ini, Brunei sudah boleh dianggap kalah dan pendatang menang. Betapa tidak, bukankah pendatang dengan sesuka hati telah bermaharajalela sampai bertindak mengeledah Istana, sementara Raja pula telahpun meninggalkan Istana.
Tetapi amat menakjubkan, pendatang tiba-tiba sahaja angkat kaki meninggalkan Brunei, mengapa?
Inilah misteri sejarah yang tidak mampu untuk dihuraikan oleh akal fikiran, melainkan semua itu 100% adalah kehendak Allah jua, berupa pertolonganNya kepada Brunei, kepada Raja yang soleh lagi beriman, Sultan Saiful Rijal, yang berniat suci mempertahankan Brunei daripada dijajah dan melindungi MIB dan institusi beraja daripada cuba-cuba untuk dikubur oleh musuh.
Ini bukan dongengan, tetapi peristiwa yang benar. Mari! Mari kita mengambil iktibar daripada sejarah perang badar, dalam zaman permulaan Islam, di mana orang Islam pada ketika itu sangat lemah. Hanya mempunyai seramai 300 orang tentera, berbanding musuh seramai 1,000 lebih orang yang lengkap dengan baju besi dan tentera berkuda. Tetapi Allah memuliakan Islam dan orang Islam dengan kemenangan dan menghinakan musuh dengan kekalahan. Bagaimanakah Allah memuliakan Islam itu? Iaitu dengan memberikan pertolonganNya seperti yang disebut oleh Al-Qur’an, Surah Aali `Imran ayat-ayat 123 hingga 127.
Mari, mari kita hayati ayat-ayat ini.
Ayat 123, tafsirNya:
“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu (mencapai kemenangan) dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (dengan jumlah yang sedikit dan kurang peralatan perang). Oleh itu bertawakkallah kamu kepada Allah supaya kamu bersyukur (dengan kemenangan ini).”
Ayat 124 pula, tafsirNya:
“(Ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau berkata kepada orang-orang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, Allah membantu kamu dengan tiga ribu (3,000) tentera dari kalangan malaikat yang diturunkan?”
Kemudian ayat 125, menambah, tafsirNya:
“Bahkan (mencukupi malah) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan andainya (musuh) dengan serta merta menyerang kamu, nescaya Allah akan membantu kamu dengan lima ribu (5,000) malaikat yang masing-masing bertanda.”
Para hadirin yang dihormati,
Adakah pertolongan Allah ini hanya khusus untuk tentera Badar sahaja? Jawabnya tidak! Sekali-kali tidak! Malah ia juga boleh berlaku disemua peringkat zaman, termasuk zaman Brunei dalam pemerintahan Sultan Saiful Rijal. Pertolongan Allah sama sekali tidak hanya terhad kepada tentera Badar sahaja pada seribu tahun lebih yang lampau, tidak! Tetapi ia juga boleh berlaku selepas itu kepada mana-mana jua orang Islam atau kerajaan Islam yang dapat memenuhi persyaratan bertaqwa dan beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala sebagaimana firmanNya:
وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ (الروم : 47)
Tafsirnya: “Dan adalah kewajipan Kami (Allah) untuk menolong orang-orang yang beriman.”
FirmanNya lagi:
إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ ۗ ءَامَنُوٓا۟ ۗ (الحج : 38)
Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman.”
Kita yakin syarat bertaqwa dan beriman ini dapat dipenuhi oleh Brunei pada zaman Saiful Rijal, makanya, Allah pun menolong Brunei dengan menjadikan musuh meninggalkan Brunei. Kita tidak pasti apa sebab-sebab musuh meninggalkan Brunei, tetapi musuh sendiri pasti tahu mengapa mereka itu lari meninggalkan Brunei. Mungkin sahaja mereka ada nampak atau mendapati prajurit Bendahara Sakam yang diketahui hanya berjumlah seribu (1,000) orang itu bukan seribu, tetapi puluhan ribu atau ratusan ribu yang sedia bertempur dengan musuh.
Siapakah yang selebihnya puluhan atau ratusan ribu itu, siapa? Jawabnya: Tidak mustahil mereka itulah malaikat yang diperintahkan oleh Allah untuk menolong Brunei.
Perkara ini jangan ditertawakan, tetapi wajib diyakini berdasarkan ayat-ayat Allah yang telah kita sebutkan terdahulu.
Kerana berlakunya pertolongan Allah itulah, makanya musuh sampai naik takut, lalu Dr. Fransisco de Sande mengarahkan askar-askarnya untuk pulang sahaja ke Manila.
Demikian itu penangan “takut” menjadikan musuh kehilangan diri dan ketandusan semangat. Firman Allah:
سَنُلْقِى فِى قُلُوبِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلرُّعْبَ (آل عمران : 151)
Tafsirnya: “Kami (Allah) akan mengisi hati-hati mereka (orang-orang kafir) dengan perasaan takut.”
Sila perhatikan, tidakkah di sini, perasaan takut itu juga adalah tentera Allah? Ya manakala perasaan takut (tentera Allah jenis ini) dicampak ke dalam hati-hati musuh, maka musuh boleh sahaja berkeadaan tidak keruan, termasuk lari menyerah kalah.
Tentera Allah, ya tentera Allah.
Orang tidak beriman memang tidak memahami perkara ini. Mereka tidak tahu bahawa malaikat adalah tentera Allah. Mereka tidak faham bahawa api adalah tentera Allah. Air juga tentera Allah. Api yang panas boleh bertukar sejuk menyelamatkan Nabi Ibrahim `alaihissalam atas sifatnya tentera Allah. Air juga telah memusnahkan penentang-penentang Nabi Nuh `alaihissalam. Laut, juga ternyata tentera Allah membantu Nabi Musa dan kaumnya menyelamatkan diri daripada kejaran Firaun dan sekaligus menelan mati firaun dan askar-askarnya, burung juga adalah tentera Allah. Contoh ialah burung ababil dalam Surah Al-Fiil yang melontarkan peluru kepada tentera bergajah yang hendak meruntuhkan ka’bah. Angin taufan dan hujan batu menghancurkan kaum Luth, dan jangan lupa perasaan takut juga adalah tentera Allah, boleh rujuk Al-Qur’an Al-Karim.
Alhamdulillah, Brunei kita telah pun selamat kerana pertolongan Allah. Sultan telah selamat kerana pertolongan Allah. MIB selamat kerana pertolongan Allah. Institusi beraja juga selamat kerana pertolongan Allah dan kita semua telah selamat kerana pertolongan Allah. Ya, kerana pertolongan Allah lah musuh angkat kaki meninggalkan Brunei. Sekali lagi, kerana pertolongan Allah lah, musuh angkat kaki meninggalkan Brunei.
Wahai bangsaku dan sekalian warga negara tercinta, jadikanlah kejadian ini iktibar atau pengajaran, supaya kita selamat. Ingat! Jika MIB selamat, semua kita selamat. Jika MIB selamat, ugama selamat. Jika MIB selamat, negara selamat, dan jika MIB selamat, raja kita insya Allah, raja kita dengan izin Allah, juga pasti selamat.
Ampun beribu ampun, sekian sahaja ceramah ringkas, hamba Kebawah Duli Tuan Patik menjunjung ribuan ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang kekhilafan atau suruk langkah yang tidak disenghajakan.
,وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
* * *