Timbalan Mufti Kerajaan Hadiri Persidangan Antarabangsa Pemikiran Islam Kali Ketiga (PEMIKIR 3) 2023

Timbalan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin hari ini bertolak ke Johor, Malaysia bagi menghadiri dan seterusnya menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Pemikiran Islam Kali Ketiga (PEMIKIR 3) 2023 pada 26 Julai, 2023M bersamaan 08 Muharram, 1445H.

Turut mengiringi beliau ke persidangan tersebut ialah Yang Mulia Haji Awang Mohamad Raimi bin Awang Tengah, Penolong Ketua Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan.

Persidangan ini dikelolakan oleh Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) & Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ). PEMIKIR 3 akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 26 sehingga 27 Julai 2023 bertempat di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia, Johor, Malaysia.

Persidangan ini akan membincangkan isu, cabaran dan masa depan berkaitan dengan pemikiran yang selari dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. PEMIKIR memberi tumpuan kepada soal kesejahteraan ummah melalui gabungan pemikiran Islam. Tema persidangan pada kali ini ialah “Memperkukuhkan Kesejahteraan Ummah Berlandaskan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.”