Ahad, 22 Rabiulakhir 1448 bersamaan 04 Oktober 2026
Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, selaku wakil kepada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, telah bertolak ke Phnom Penh, Kerajaan Kemboja hari ini bagi menghadiri Persidangan ASEAN ‘Khair Ummah’ Ke-4.
Turut mendampingi beliau dalam rombongan tersebut ialah Yang Mulia Awang Abdul Hafiy bin Yahya, Pegawai Istinbat di Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.
Dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula pada 5 hingga 6 Oktober 2026 di Phnom Penh, persidangan bertemakan ‘Pengenalan Salafisme dan Kelebihannya di Negara ASEAN (Introducing Salafism and Its Merits in ASEAN Countries)’ menumpukan konsep kesederhanaan (Wasatiyyah) dan peranan Khair Ummah. Persidangan ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Kerajaan Arab Saudi bersama pihak berkuasa Kerajaan Kemboja.
Antara fokus utama persidangan tersebut termasuklah membincangkan keutamaan pendekatan Wasatiyyah dalam pegangan akidah, ibadah, akhlak, serta menangani cabaran-cabaran pemikiran moden, di samping memperkukuh peranan minoriti Muslim dan institusi rasmi Islam dalam mempromosikan keamanan dan keharmonian sejagat di rantau ASEAN.
Sheikh Dr. Abdullatif Al Alsheikh, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi dijadualkan untuk mempengerusikan persidangan pada kali ini, yang akan dihadiri oleh Menteri-Menteri, Mufti-Mufti, wakil dari Universiti-Universiti, Persatuan-Persatuan Islam, Pemimpin agama dan budaya dari negara-negara ASEAN.
Kehadiran rombongan Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam ke persidangan ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam menyokong usaha perpaduan ummah, pertukaran fikrah keagamaan, serta pemantapan fahaman Islam yang sederhana dan inklusif di peringkat serantau mahupun antarabangsa.