Khutbah Jumaat Khas di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan menjelaskan bahawa semua petugas masjid mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah. Bermula dari imam, bilal, marbut, sampai kepada tukang sapu masjid mempunyai kedudukan yang istimewa itu.
Di zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kata Yang Berhormat Pehin terdapat seorang perempuan berkulit hitam yang namanya Ummu Mihjan. Ummu Mihjan ini, katanya telah menjadikan dirinya sebagai pekerja sukarela tetap untuk membersihkan dan menyapu masjid tanpa mengambil sebarang upah atau gaji. Perempuan ini pada tiap-tiap hari kelihatan berada di masjid membersih masjid.
Pada suatu hari perempuan tersebut tidak kelihatan di masjid, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bertanya kepada para sahabat: “Mana perempuan itu?” Para sahabat menjawab: “Wahai Rasulullah dia telahpun meninggal dunia.” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan rasa kesal bersabda: “Mengapa kamu tidak memberitahu aku? Boleh aku menyembahyangkannya?” Para sahabat menjawab: “Pada hari perempuan itu meninggal, cuaca amat panas, makanya kami tidak memberitahu Tuan kerana tidak mahu Tuan terganggu oleh cuaca yang sangat panas itu.” Mendengar ini Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam meminta untuk dibawa ke kuburan perempuan itu dan Baginda sembahyang jenazah di atas kuburnya. Sesungguhnya sembahyang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ke atas jenazah adalah ia syafaat atau pertolongan kepada simati.
“Begitu gambaran harga manusia petugas masjid. Masjid adalah rumah Allah, bukan rumah sipolan-sipolan, bukan! Tetapi rumah Allah. Rumah Allah jangan ia dihina, jangan ia dirosakkan, mentelah lagi dibakar, jangan! Jangan bakar masjid, membakar masjid adalah membakar rumah Allah,” tegas Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan Khutbah Juma’at Khas di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong sempena Sambutan Penubuhan 60 Tahun masjid berkenaan pada 13 Rabiul Akhir, 1448 Hijriah bersamaan 25 September, 2026 Masehi.
Pada bulan Ogos yang lalu, katanya lagi di sebuah negara telah berlaku orang membakar masjid. Masjid rumah Allah dibakar, dibakar sampai musnah. Mereka yang membakar bersorak melihat masjid terbakar.
“Ketahuilah oleh semua bahawa Allah pemilik masjid, rumahNya, tidak tidur. Allah sekali-kali tidak tidur. Allah tidak pernah tidur. Maka hanya setelah sedikit masa berlalu, Allah secara tiba-tiba bertindak, membalas perbuatan jahat para pembakar rumahNya, dengan memerintahkan air dan tanah susur untuk menghanyutkan kediaman para pembakar masjid. Maka tampillah para pemberita membuat liputan berita bahawa korban banjir dan tanah susur adalah seramai 1,252 kematian dan 4200 lagi masih hilang. Ini baru anggaran awal.
Demikian itu, tegasnya Allah telah mengajar siapa yang membakar rumahNya, masjid.
Perkara seperti ini juga, tegasnya lagi telah berlaku seribu tahun lebih yang lampau, di mana tentera bergajah pimpinan seorang penguasa bernama Abrahah telah datang ke Mekah untuk meruntuhkan Ka‘bah, rumah Allah. Ya, Ka‘bah juga adalah rumah Allah. Boleh bayangkan seekor sahaja gajah sudah cukup untuk menghancurkan Ka‘bah, tetapi atas nama tentera bergajah, tentu sahaja bukan seekor gajah tetapi banyak gajah-gajah itu.
“Sila sama-sama perhatikan bahawa pada masa tentera bergajah itu memasuki Mekah, adalah Allah yang ampunya Ka‘bah tidak tidur. Sekali-kali Allah tidak tidur. Lalu, dengan kuasaNya, Dia telah mengutus tentera dari langit berupa burung ababil untuk menghancurkan tentera bergajah,” jelasnya.
Menurut Yang Berhormat Pehin, kisah ini terakam dalam Al-Qur’an, Surah al-Fil ayat 1 hingga 5, firman Allah tafsirnya: Tidakkah engkau (wahai Muhammad) mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan ke atas angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, yang bertujuan untuk meruntuhkan Ka‘bah? Bukankah Tuhan mu telah menjadikan rancangan jahat mereka itu satu kerugian bagi mereka dan bahkan memusnahkan mereka sendiri? Dan Dia (Allah) telah menghantarkan kepada mereka burung-burung berpasukan, yang melontar mereka dengan batu-batu dari jenis tanah keras yang dibakar. Lalu Dia (Allah) menjadikan mereka itu hancur berkecai seperti daun-daun kayu dimakan ulat.
Menurut Yang Berhormat Pehin, dua contoh kejadian ini memadai menjadi ikhtibar kepada dunia bahawa masjid sekali-kali jangan ia dikacau apatah lagi dibakar. Kerana, tegasnya membakar masjid akibatnya sangat buruk akan dibalas oleh Allah. Sebaliknya menghormati masjid akan mendapat rahmat daripada Allah.
“Maka oleh hal yang demikian, dengan ikhlas hati kita mencanangkan kepada dunia, kita menghebahkan kepada dunia: Wahai dunia, marilah sama-sama kita melakukan mesra masjid, rumah Allah. Tidak ada ruginya berbuat baik kepada masjid, tetapi sebaliknya awas! Dua contoh kejadian yang telah disebut, iaitu (1): Peristiwa membakar masjid pada Ogos yang lalu, dan (2), percubaan meruntuhkan Ka‘bah pada seribu lebih tahun yang lampau, kedua-duanya itu telahpun dibalas oleh Allah dengan kebinasaan dan kehancuran.
“Apakah semua ini belum cukup untuk kita dan dunia mengambil pengajaran daripada dua peristiwa ini?” Ujar Yang Berhormat Pehin.