Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksPemedulian Pelanggan Menurut Perspektif Islam



Halaman :    31 muka surat
ISBN        :    99917-33-71-X             
Harga      :    B$1.00

    

Kandungan

Buku ini membincangkan tentang perspektif Islam dalam pemedulian pelanggan. Ia menggariskan beberapa panduan asas dan etika dalam melaksanakan sikap pemedulian yang berperanan mengatur, menyelia dan membisaikan hubungan pekerja dengan majikan.  

Para pembaca dibawa untuk mengambil i‘tibâr daripada beberapa kisah di zaman Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, seorang  pemimpin unggul yang mengamalkan sifat sentiasa kreatif, efisyen, penyayang, adil, terbuka dan mudah dijumpai. Sifat-sifat terpuji inilah yang perlu dijadikan teladan dan ikutan para pemimpin hari ini. 

Antara yang menarik dibincangkan juga ialah bermusafir (belayar) menurut perspektif Islam. Dalam Islam, pelayaran itu merupakan suatu perkara yang berat, sukar dan susah. Menurut Imam al-Ghazali, etika bermusafir itu antaranya  ialah dengan berteman bagi tujuan-tujuan berbincang ketika menghadapi kesukaran, ketika sakit dan sebagainya. Oleh sebab itulah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang umatnya musafir bersendirian sebagaimana hadits Baginda yang bermaksud: “Sekiranya orang tahu apa (keburukan, risiko) bersendirian itu, nescaya tidak berjalan orang yang berkenderaan seorang diri pada malam hari buat selamanya.” 

Buku ini menjelaskan bahawa sekurang-kurang teman dalam pelayaran ialah dua orang. Malah sebuah hadits menyebutkan bahawa (maksudnya): “Sebaik-baik teman itu adalah empat orang.”  

Pemilihan teman dalam pelayaran itu hendaklah mengambil kira hukum  halal haram menurut syara’ contohnya janganlah diarahkan dua orang berlainan jenis yang bukan mahram bermusafir bersama-sama. Perkara ini amat ditegah oleh Islam. Apa yang dikehendaki oleh Islam ialah berteman cara Islam. 

Sebuah hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang  panduan dalam merealisasikan sikap “Mesra Pelanggan” mengakhiri buku ini (maksudnya): “Barang siapa bertindak melepaskan satu hajat saudaranya, menyelesaikan satu masalah atau kesusahan saudaranya, adalah dia seperti beri‘tikaf di masjidku ini selama sepuluh tahun. Beri‘tikaf satu hari di masjidku ganjarannya Allah akan menjauhkannya dari api neraka dalam jarak tiga khandaq (tiga longkang besar). Tiap-tiap satu longkang itu keluasannya adalah lebih jauh daripada antara langit dan bumi.”