Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
11 Mei 2020 - Ceramah Perdana di dalam Rancangan Khas Sempena Memperingati Nuzul al-Qur’an tahun 1441H

​Oleh: Osman Abu Bakar


Rezeki Berkat Membawa Bahagia

Rezeki menempati fokus yang amat luas.  Ia bukan semata-mata wang ringgit dan komoditi barangan, tetapi rezeki juga mencakup jiwa yang tenang, hati riang, fikiran lapang, sihat tubuh badan, ada pekerjaan, elok pendidikan, rumah tangga aman, pendeknya segala macam dan rupa kebajikan itu adalah ia rezeki.

Tetapi rezeki juga diketogerikan kepada dua:  1. Rezeki luas, 2. Rezeki sempit.  Rezeki luas mendukung maksud rezeki yang disenangi, sementara rezeki sempit, tidak disenangi.

Dari sinilah wajar untuk diungkap ungkapan ini:  “Menjana Keberkatan Rezeki”.  Ertinya kita hanya berhajat untuk membina rezeki yang berkat, kita mahu untuk mendapat rezeki yang berkat.  Rezeki berkat itu boleh saja ia disebut sebagai rezeki luas atau rezeki halal atau rezeki yang menyenangkan atau rezeki yang membawa bahagia.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan ketika menyampaikan ceramah perdana di dalam Rancangan Khas Sempena Memperingati Nuzul al-Qur’an tahun 1441H. bertajuk mengikut tema sambutan “Menjana Keberkatan Rezeki dengan al-Qur’an” yang disiarkan melalui radio dan televisyen Brunei pada hari ini, Isnin, 17 Ramadhan, 1441 Hijrah bersamaan 11 Mei, 2020 Masehi.

Menurut yang Berhormat Pehin rezeki yang kita mahukan, cuma rezeki yang berkat, bukan sebarang rezeki, kerana rezeki yang berkat itu ibarat kenderaan yang selamat untuk menyampaikan kita ke distinasi yang selamat pula, iaitu selamat di dua-dua buah negara sekaligus:  negara dunia dan negara Akhirat.

Kita manusia ini, tegasnya tidak ada lain dari mengimpikan kehidupan bahagia dan semua orang mahu bahagia sama ada  miskin atau kaya, berpangkat atau tidak, semuanya mahu bahagia,   tetapi bagaimana? Dan apa cara untuk mendapat bahagia itu?

Apabila disebut bahagia,  tegasnya lagi ia adalah nikmat, dan nikmat itu juga rezeki.  

“Apa saja yang membawa bahagia adalah ia rezeki.  Wang ringgit halal – rezeki!  Kesihatan – rezeki! Rumah kediaman – rezeki! Pakaian – rezeki!  Makanan – rezeki!  Kenderaan  - rezeki! Pekerjaan – rezeki! Rumahtangga –rezeki!  Anak pinak – rezeki!  Perpaduan – rezeki! Keamanan – rezeki! Semua itu berperanan untuk, menjana bahagia, mencipta bahagia.

“Tetapi bagaimana rezeki-rezeki ini mampu untuk menciptakan bahagia?  Kerana semua orang tahu, bahawa bukan semua pemilik-pemilik rezeki itu hidup bahagia.  Berapa ramai orang kaya tetap tidak mengecap bahagia; berapa ramai orang sihat, tubuh badan saja yang nampak sihat, tetapi rohani mereka sakit.  Begitu juga berapa banyak rumah-rumah kediaman yang hebat-hebat, tetapi penghuninya menderita,” tegasnya.

Menurutnya Ini tentu saja ada yang tidak kena.  Dalam bahasa biasa yang mudah difahami, jelasnya harta yang banyak tetapi tidak dapat membahagiakan tuannya, adalah harta itu harta yang tidak berkat kerana  mungkin sahaja harta itu tidak dizakat misalnya, atau harta hasil haram dari riba atau lain-lain seumpamanya.
 
“Tubuh badan sihat tetapi rohani sakit, mengapa?  Mungkin sahaja kerana makanan tidak halal, bersumber dari bahan yang tidak suci atau syubhah dan lain-lain seumpamanya.

“Begitulah seterusnya, rezeki didapat melimpah-limpah, tetapi tidak mampu untuk membahagiakan pemiliknya, mengapa?  Kerana rezeki itu tidak berkat.  Macamana mahu datang berkat, kalau penggunaan tidak betul.  Al-Qur’an kata, harta yang ada, diinfakkan ia, dibelanjakan ia pada jalan Allah,” tegasnya.

Menginfak dan membelanjakan harta pada jalan Allah itu, jelasnya ada pelbagai, diantaranya:  Menunaikan nafkah keluarga, membayar gaji pekerja, menderma untuk kebajikan, bersedekah kepda fakir miskin, membina masjid, menolong orang-orang susah atau dhaif dan banyak lagi.  

Ini semua, namanya, jelasnya perbuatan di jalan Allah.  Bukan ada rezeki, tetapi menggunakannya pada perkara-perkara yang ditegah oleh agama, seperti pembaziran dan lain-lain seumpamanya.

“Di sinilah hikmah pesanan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Mu’az bin Jabal radhiallahu anh, yang bermakna juga pesanan kepada kita semua, umat Baginda:  “Wahai Mu’az, wahai kamu semua, untuk kamu beroleh bahagia, hidup bahagia, maka hendaklah kamu melazimi membaca al-Qur’an, ambil keberkatan daripada al-Qur’an.”

“Maha benar Rasulullah.  Memang, bukankah al-Qur’an itu cahaya?  Ia akan menyuluh jiwa dan minda orang-orang yang membacanya.  Dan apabila jiwa dan minda sudah bersuluh dengan cahaya al-Qur’an, maka jiwa dan minda yang seperti itu tidak akan dimasuki lagi oleh sebarang pengaruh buruk, dan dengan jiwa minda bersuluh al-Qur’an, akan menjadikan pemiliknya orang yang berbahagia lagi sentosa,” tegas Yang Berhormat Pehin.

Menyebut tentang rezeki, rezeki yang paling agong dan tertinggi menurut Yang Berhormat Pehin ialah Syurga yang akan dikurniakan oleh Allah kepada para hambaNya yang taat.

“Soalan:  Apakah rezeki teragong ini boleh didapat dengan berkat al-Qur’an?

“Mari saudara, kita melihat kepada riwayat, daripada Nabi Shallallhu ‘alaihi wasallam Baginda bersabda (maksudnya):   “Apabila berkata seseorang hamba Allah:  Bismilahir Rahmanir Rahim, berkatalah penghuni syurga:  Kami dengar bacaanmu, kebahagiaan ke atasmu.  Ya Allah, sesungguhnya hambaMu si Polan ini telah membaca Bismilahir Rahmanir Rahim. Ya Allah, hindarkanlah dia dari api neraka dan masukkanlah ke dalam SyurgaMu,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Riwayat lain, jelasnya lagi daripada sahabat Ibn Abas Radhiallahu anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda (maksudnya):  “Sesungguhnya guru apabila dia berkata (mengajar) seorang kanak-kanak membaca Bismilahir Rahmanir Rahim, lalu kanak-kanak itu pun membacanya, ditulis bagi guru dan kanak-kanak itu dan kedua ibu bapa kanak-kanak kelepasan daripada api neraka”.

Ini katanya, bermakna ketiga-tiga pihak ini:  guru, kanak-kanak dan dua ibu bapa kanak-kanak adalah sama-sama terlepas daripada api neraka dan masuk mereka ke dalam Syurga, kerana guru dan kanak-kanak membaca Bismilahir Rahmanir Rahim.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menyeru kita untuk sama-sama mencapai laba keberkatan dari al-Qur’an dan para ibu bapa khasnya, mudah meraih laba ini dengan mengajar atau memberi pendidikan al-Qur’an kepada anak-anak.

Kalau anak pandai membaca al-Qur’an, tegasnya apatah lagi jika hafaz al-Qur’an, maka ibu bapa Insya Allah bolehlah menunggu di Akhirat akan jadi orang besar VVIP, berdasarkan perkhabaran Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu (Maksudnya):  “Siapa yang membaca al-Qur’an (setengah ulama mengeertikan maksud membaca di sini ialah menghafaz) dan beramal dengan ajaran-ajarannya, dipakaikan kepada kedua ibu bapanya mahkota pada hari kiamat.”

Menyebut mengenai hafaz al-Qur’an, Yang Berhormat Pehin menjelaskan raja kita telah memperkenankan penubuhan Institut Tahfis al-Qur’an pada 27 tahun yang lalu, dan kini, statistik terkini, kita sudahpun menghasilkan seramai hampir 70 orang hafiz, dalam makna setakat ini ada 140 orang ibu bapa Insya Allah yang telah dimasukkan ke dalam daftar untuk dipakaikan mahkota Akhirat pada hari kiamat kelak.



Attachments