Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
20 April 2021 - Simposium Pendidikan Negara Zikir Melayu Islam Beraja

Oleh: Awang Osman bin A. Bakar


rsz_img_0093.jpgIMG_0072JPG.jpg

Sesebuah negara itu sama ada itu layak untuk menerima jolokkan ‘Negara Zikir” ataupun tidak, dapat dilihat dari cara negara itu diurus atau ditadbir,  apa filosofi yang dipakainya  dan ‘gaya’ kepimpinan yang mencorakkannya sebagai sebuah negara.  

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam menegaskan bagi Brunei, rajanya selaku kepala atau ketua pimpinan sedang rancak merealisasikan ciri ini.  

Di dalam bidang pentadbiran, tegasnya raja mentadbir penuh keadilan, sehingga tiada siapapun yang merasa teraniaya.  Semua orang riang dan gembira mengecap keadilan raja.

Keadilan, katanya adalah ciri paling utama, kerana itu Islam meletakkannya paling atas untuk dilaksanakan dan Allah sama sekali tidak berkompromi mengenai keadilan.  

“Siapa yang adil ditolongNya, sementara yang zalim, jika tidak cepat tetapi lambat laun, pasti dihukumNya.  Kerana itulah berapa banyak kerajaan di dunia, tidak terkecuali juga kerajaan-kerajaan Islam yang hebat-hebat dan besar, tetapi satu demi satu runtuh berkubur kerana kezaliman.  Ini adalah sejarah, dan lidah sejarah sangat petah untuk berkata-kata,” tegasnya.

Selaku hakikat, ungkapan ‘Negara Zikir’, menurut Yang Berhormat Pehin adalah ungkapan keramat yang mampu melakar imej indah untuk Brunei Darusalam.

IMG_0070JPG.jpg

Yang Berhormat Pehin menjelaskan demikian ketika menyampaikan Kuliah Perdana II bertajuk ‘Negara Zikir Melayu Islam Beraja’ di Simposium Pendiddikan Negara Zikir Melayu Islam Beraja Edisi Ke-2 yang berlangsung di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada 20 April, 2021.

Terdahulu Yang Berhormat Pehin, menjelaskan bahawa Negara Zikir lahir atau wujud pada tahun 1428 Hijrah bersamaan tahun 2007 Masehi dan ia mula diungkapkan oleh raja kita, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Sultan Haji Omar ‘Ali Saiffuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut ‘Idul Adha pada tahun tersebut melalui Radio dan Televisyen.

Menurutnya ungkapan yang dilafazkan oleh raja kita ini ternyata berkat, sehingga sampai sekarang ia terus bermain di bibir-bibir kita dan tidak syak lagi ia adalah ungkapan menggetarkan yang amat menawan lagi menghidupkan jiwa.

Bercakap mengenai Melayu Islam Beraja iaitu MIB,  ketiga-tiganya, tegasnya adalah ibarat kembar yang mewarisi ‘kesamaan’ sifat dan peranan.

Melayu, katanya adalah nama bangsa, dan menurut beberapa kamus dan ensyklopedia, bangsa itu merujuk kepada satu kumpulan besar manusia yang mempunyai bahasa dan adat resamnya sendiri.

Pembahagian bangsa itu, katanya lagi biasanya berdasarkan alam atau ilmu bumi, yang menjadikannya mudah dikenali atau diketahui.

Menurutnya urutan asal, terbentuknya bangsa-bangsa adalah, apabila Nabi Adam ‘alaihissalam dan isterinya dikurniakan zuriat oleh Allah,  maka bermula dari sinilah berkembangnya zuriat manusia itu sampai melahirkan sekian banyak bangsa dan puak.  

“Bangsa-bangsa dan puak-puak itu wujud adalah selaku ciptaan Allah, bukannya terjadi dengan sendirinya atau secara kebetulan, dan tujuannya pula mengandung hikmah untuk berkenal-kenalan dan dari perkenalan tersebut akan meraih manfaat secara timbal balik,” jelasnya.

Berbalik tentang bangsa Melayu, katanya  dalam mesyuarat wartawan Nusantara III yang berlangsung di Pontianak pada 17 – 21 Julai, 1994, telah dibincangkan istilah ‘Melayu’dan  salah seorang perwakilan dari negara jiran berpendapat:  Melayu itu ditunjukkan oleh bahasanya “Bahasa Melayu” dan agamanya “Agama Islam”.

“Bangsa Melayu yang menempati pulau-pulau Nusantara mempunyai sejarahnya yang panjang.  Akibat pengaruh-pengaruh yang mendatangi mereka, menjadikan bangsa ini pelbagai corak.  

“Tetapi walaupun pelbagai pengaruh dan tamaddun memasuki Nusantara, namun yang tetap muncul atau timbul ialah bangsa Melayu itu dengan bahasanya (Bahasa Melayu) dan agamanya (Agama Islam),” tegasnya.

Menurut pakar sejarah dan lain-lain bidang, katanya penonjolan Melayu dan Islam sebagai ciri Nusantara, tidak disenangi oleh setengah kalangan orang yang memilih agama lain, kerana mereka beranggapan semua ini akan menjadikan mereka terpinggir, padahal anggapan ini sama sekali salah dan tidak betul.

Menurutnya lagi orang-orang di luar Melayu dan di luar Islam tidaklah perlu curiga, apatah lagi terhadap bangsa Melayu dan agama Islam kerana bangsa Melayu adalah bangsa paling baik hati dan berbudi tinggi.  

“Allahyarham Prof. Sutan Ali Sahbana, seorang ahli fikir, budayawan dan sasterawan yang sangat terkenal, beliau menyebut salah satu ciri kemalayuan ialah terlalu baik hati, peramah dan pemurah.  Beliau berkata:  “Budaya Melayu adalah budaya tidak banyak berkira.  Contohnya:  Kalau buah-buahan di halaman rumah dikebas orang, kita masih saja dengan tenang berkata: “Ah, tak apalah!” dan kerana ‘tak apa’ itulah menurut professor ini, hak-hak Melayu banyak yang tergadai,” katanya.

Sementara Islam pula, jelas Yang Berhoramt Pehin bukanlah seperti yang suka di gambar-gemburkan oleh musuh, konon-kononnya Islam itu kejam, menganjurkan keganasan dan sebagainya.   Semua ini, menurutnya sama sekali palsu dan tidak benar dan Islam adalah sebaliknya, agama rahmat, agama memelihara hak dan agama belas kesihan terhadap siapa saja termasuk haiwan.

Melayu Islam Beraja adalah tiga patah kata kembar yang sangat padu, yang tidak boleh dicerai-cerai atau dipisah-pisah antara satu dengan yang lain. Adapun Islam dan raja itu jelasnya memang sedia berkaitan dan berkata Imam al-Ghazali Rahimahullah:  Bahawa Allah subhanahu wa Ta’ala memilih dari kalangan manusia dua golongan, iaitu golongan pertama terdiri daripada para Nabi dan para Rasul, dengan tujuan dan hikmah untuk menyampaikan perintah dan ajaran menyembah Allah subahanahu wa Ta’ala.  Manakala golongan kedua pula ialah raja-raja bagi mengawal dan memelihara segala maslahat dan kepentingan manusia.  Kedua-duanya, para Nabi dan Rasul serta raja, wajib ditaati.

Dari pendapat dan huraian para ulama, bahawa setelah wafat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Ulil Amri itu ialah khalifah, raja-raja atau imam-imam, pemerintah-pemerintah atau penguasa-penguasa yang berkuasa.  Dinamakan Ulil Amri kerana di tangan mereka itu terletak semua urusan umat.

Dengan merujuk perkataan-perkataan para ulama muktabar, katanya dapatlah dirumus bahawa melantik raja itu adalah wajib bagi orang-orang Islam, untuk menjalankan hukum Islam, menguatkan ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, membela orang-orang yang teraniaya, menyempurnakan segala hak dan meletakkan hak-hak itu pada tempatnya, termasuk menguatkan tempat dan pusat pertahanan, mengumpul zakat, membenteras penjahat seperti pencuri dan perompak dan lain-lain lagi yang menyangkut kepentingan umat.

Maka di sini, tegasnya situasi atau kedudukan serta tradisi Brunei mempunyai raja adalah menepati kehendak dan ajaran agama.  

“Kerana itu konsep atau falsafah MIB adalah suatu yang luhur untuk diterima.  Konsep atau falsafah ini sudahpun wujud sejak ratusan tahun lagi, bukan ia baru,” tegasnya.

Yang Berhormat Pehin menyeru agar kita semua rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, apapun peringkat, untuk sama-sama menanai MIB, memperkukuh dan memperkasakannya dengan menguatkan landasannya.

Kekuatan Melayu ialah bahasanya dan bukankah bahasa itu jiwa bangsa?  Kerana itu, tegasnya ia perlu diperkaya dan diperkuat.  Jangan biarkan ia lemah, kerana kalau bahasa lemah bererti jiwa bangsa lemah, dan jika jiwa lemah, tidak ada perkara besar yang dapat dibuat.

“Kita boleh bercontoh kepada bangsa-bangsa besar di dunia.  Mereka itu tidak mengabaikan bahasa.  Mereka bertutur dan berhubung dengan bahasa sendiri, malah membangun juga dengan bahasa sendiri.

“Inilah contoh, manakala satu-satu bangsa itu ingin maju dan hebat, maka bahasanya mesti berdaulat.” tegasnya.

Islam yang sedia hebat, katanya juga turut mesti di perkasa dengan memakainya sebagai cara hidup dalam semua keadaan, sementara sister beraja hendaklah ditanai dengan ikhlas dan dengan semangat yang berkobar-kobar kita pelihara dan pertahankan ia.

Memperkasa secara keseluruhan Melayu Islam Beraja (MIB) itu, tegasnya adalah dengan mematuhi gesaan Allah sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an surah A-li Imraan ayat 103, yang tafsirnya:  “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada Allah (Agama Islam) dan jangan kamu bercerai berai/berpecah belah."



Attachments