CERAMAH KHAS BERSAMA MUFTI: MOTIVASI BERTERUSAN MEMBACA AL-QUR'AN
(Oleh: Awang Osman bin A. Bakar)
.jpg)
Dalam bulan Ramadhan, tempat-tempat ibadat mahupun rumah-rumah kediaman sangat meriah dengan al-Qur'an. Tua muda membaca al-Qur'an. Tetapi adakah kemeriahan ini akan berterusan apabila Ramadhan menutup pintunya? Pada biasanya didapati tidak, ataupun sangat berkurangan.
Sepatutnya, kalaupun tidak dibaca secara berkumpulan atau beramai-ramai, tetapi secara bersendirian al-Qur'an mesti terus dibaca, kerana ia bukan ibadat bermusim tetapi ibadat sepanjang masa. Minat kita kepadanya janganlah mati tetapi biar mekar dan terus hidup. Kerana membaca al-Qur'an itu bukan kosong tetapi membawa laba.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan ketika menyampaikan Ceramah Khas Bersama Mufti: Motivasi Berterusan Membaca Al-Qur'an yang disiarkan di Radio dan Televisyen Brunei pada hari ini, 9 Mei, 2021M.
Kita orang-orang Islam, jelas Yang Berhormat Pehin mesti benar-benar faham dan tahu apa kedudukan atau status al-Qur'an itu. Tidaklah memadai setakat menyebutnya 'kitab suci', tetapi apa statusnya. Apa kedudukannya. Apa mertabatnya di sisi Allah? Tidak ada siapa yang dapat menjelaskan. Tidak ada pakar yang layak untuk menjawabnya, kecuali hanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam jua yang dapat memberi gambaran tepat dengan sabdanya yang bermaksud: "Kelebihan perkataan Allah (al-Qur'an) ke atas lain-lain perkataan ialah umpama kelebihan Allah sendiri ke atas makhlukNya."
Bukti-bukti atau dalil-dalil lain tentang keagungan al-Qur'an itu, jelasnya lagi adalah banyak, antaranya bersabda Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: "Barang siapa yang ingin untuk berkata-kata atau bercakap-cakap dengan Allah, maka bacalah al-Qur'an." Dalam hadis lain, Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang kamu suka untuk Allah menyukainya, maka bacalah al-Qur'an."
"Ini semua merujuk kepada keistimewaan al-Qur'an. Dengan membacanya kita adalah bercakap-cakap dengan Allah. Betapa hebat bercakap-cakap dengan Allah. Kalau bercakap dengan sesama insan, tidak ada makna besar yang dapat diraih, tetapi bercakap-cakap dengan Allah melalui bacaan al-Qur'an, pahala kita dapat, rahmat kita dapat dan berkat kita dapat. Pahala, rahmat dan berkat tidak ada dipasaran untuk dibeli, melainkan hanya daripada Allah semata-mata," tegasnya.
Menurut Yang Berhormat Pehin, pembaca al-Qur'an akan mendapat syafaat (pertolongan) daripada al-Qur'an itu pada hari kiamat. Syafaat adalah perkara hebat yang bukan mudah untuk didapat, lebih-lebih lagi pada hari kiamat, "hari huru-hara besar" paling dahsyat, di mana semua orang hanya sebok dengan diri sendiri, termasuk sebok mencari dan mengharap-harap kiranya ada sebarang syafaat atau pertolongan untuk dapat diterima, tetapi tidak ada. Kerana tiada siapa yang mempunyai kelebihan untuk dapat menolong orang lain pada ketika itu. Tetapi dalam keadaan huru-hara yang dahsyat itu, al-Qur'an tampil, datang kepada pembacanya untuk memberikan syafaat (pertolongan).
Di dalam ceramahnya, Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan tentang kelebihan surah al-Faatihah iaitu satu kurnia istimewa daripada Allah untuk umat Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam.
Dengan kurnia itu, katanya para iblis kecewa, kerana barangsiapa yang membaca al-Faatihah, akan memusnah dan menggagalkan segala tipu daya iblis untuk menyesatkan mereka. Bahkan bukan itu sahaja, pembaca al-Faatihah juga telah dijamin SyurgaNya, Insyaallah akan masuk Syurga, dan di dunia pula akan beroleh 'afiat dan keselamatan serta sekaligus perlindungan dan pertolongan Allah, kerana dalam al-Faatihah terdapat ikrar dan doa yang tafsirnya: "Hanya Engkau sahajalah (Ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepadaMu jua kami memohon pertolongan."
"Ini ikrar dan doa itu, yang sentiasa basah di bibir-bibir kita orang Islam yang tidak pernah kering atau terhenti diucapkan, sekurang-kurangnya 17 kali pada setiap hari dalam sembahyang fardhu lima waktu.
"Di sinilah makhluk iblis Syaithan kecewa tidak dapat berbuat apa-apa terhadap orang-orang Islam yang menjadikan al-Faatihah sebagai pakaian mereka," jelas Yang Berhormat Pehin.
Menurut Yang Berhormat Pehin, dari ayat pertama lagi dalam surah ini adalah ia berupa Ismul a'zham (nama besar bagi Allah Ta'ala), iaitu "Bismillahir Rahmanir Rahim".
Kata Yang Berhormat Pehin, menurut 'Aishah Radhiallahu anha, manakala turun sahaja "Bismillahir Rahmanir Rahim" ini, gunung-gunung bertasbih memuji kebesaran Allah, sehingga tasbih gunung-gunung itu dapat didengar oleh penduduk Mekah.
Sementara apabila ia dibaca, katanya Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda (maksudnya): "Barang siapa membaca "Bismillahir Rahmanir Rahim" dengan yakin, telah bertasbih bersama-samanya gunung-gunung, kecuali tasbih gunung-gunung itu tidak dapat didengar."
"Ertinya, setiap sahaja kita membaca "Bismillahir Rahmanir Rahim", gunung-gunung akan bertasbih bersama-sama dengan kita yang membaca Basmalah itu. Tidak kira membaca waktu manapun, membaca dalam sembahyang, membaca di luar sembahyang, gunung-gunung tetap bertasbih bersama-sama.
"Bayangkan, kalau penduduk sebuah negara membudayakan diri mereka dengan "Bismillahir Rahmanir Rahim", maka sudah tentu negara itu akan dipenuhi dan dimeriahkan oleh tasbih gunung-gunung, bukit-bukit yang ada di dalam negara tersebut. Dan perlu diingat, bahawa tasbih kepada Allah bukanlah angin lalu, tetapi infaknya membawa rahmat dan keberkatan.," jelas Yang Berhormat Pehin.
Kalau begitu kedudukan "Bismillahir Rahmanir Rahim", katanya adalah rugi kalau kita mengabaikannya, tetapi gunakanlah ia sepenuh masa dan dalam semua keadaan.
Semua kita, sesiapa saja termasuk kanak-kanak, tegasnya kita ingatkan, pandu dan ajar mereka itu menggunakan "Bismillahir Rahmanir Rahim".
"Subhanallah, begitu, baru membaca beberapa surah dan ayat dari al-Qur'an, pahalanya berupa rahmat Allah sudah melimpah ruah, betapa kalau melazimi membaca al-Qur'an itu seluruhnya," tegas Yang Berhormat Pehin mengakhiri ceramahnya.