Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
15 Disember 2021 - Ucapan Penuh YB Pehin Mufti di Majlis Pelancaran Buku-Buku Terbaharu Terbitan UNISSA 2021


UCAPAN

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja

Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned

Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam

Di Majlis Pelancaran Buku-Buku Terbaharu Terbitan UNISSA 2021

15 Disember, 2021


Saya lebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Yang Mulia Rektor dan semua warga UNISSA kerana memberi penghormatan kepada saya untuk melancarkan buku-buku terbitan terbaharu UNISSA 2021.

Selaku peminat buku, saya merasa bahagia mendapat kesempatan ini.  Buku adalah ia  ditulis atau dikarang, kemudian diterbitkan.  Tetapi tidak terhenti setakat di sini saja, malah setelah diterbitkan, buku juga untuk dibaca. Inilah persoalan buku.

Buku itu adalah ibarat sebuah gedung, dengan kepelbagaian isi di dalamnya.  Barang siapa yang mahu tahu isi gedung itu, kenalah mula-mula sekali, dia membuka pintunya, dan kemudian masuki ia, maka dapatlah tahu khazanah di dalamnya.

Ah, ini seharusnya kita dengan buku.

Ertinya di sini, buku bukanlah untuk di kumpul dan disimpan sebagai perhiasan, tetapi untuk dibaca.  Baru ada makna kita berbuku.

Buku juga adalah guru, untuk kita mendapat pendidikan atau pengajaran.  Hanya ia bukanlah guru yang hadir dalam kelas tetapi guru yang tidak perlu hadir.  Namun, peranan keguruan tetap dimiliki oleh kedua-dua guru ini:  Buku dan cikgu.

Maka hasil manfaat keguruan seperti inilah, sejarah telah merakam:  Lahirnya ramai tokoh-tokoh besar di dunia yang sangat ternama.  Misalnya sejarah ada merakam mengenai tokoh yang bernama Bung Karno, mantan Presiden Republik Indonesia, beliau itu pernah dipetik sebagai berkata:  "Aku gemar sekali belajar, gemar membaca sampai boleh dikatakan,  aku kadang-kadang meninggalkan pelajaran-pelajaran di sekolah untuk waktunya aku pakai membaca buku-buku…yang tidak diajarkan di sekolah kepadaku.  Aku membaca sejarah dunia, aku membaca sejarah Bangsa-Bangsa, aku membaca kitab-kitab tentang gerakkan kaum buruh, aku membaca tentang gerakan Islam.  Jadi aku ini memang gemar membaca, oleh kerana aku anggap perlu untuk mengisi otakku, mengisi fikiranku, mengisi semangatku selebar mungkin.  Jendela terbuka, idea-idea masuk dalam ingatanku…" (Saya petik ini dari sebuah artikel).  Namun sebenarnya saya pun sudah lama turut berpeluang membaca tentang tokoh ini, dari umur remaja lagi.

Selain Allahyarham Soekarno, George Washington juga dikenali sebagai penggemar buku, sehingga pernah menunggang kuda berbatu-batu jauhnya, hanya untuk tujuan meminjam buku daripada kawannya.

Abraham Lincoln demikian juga, tidak berenggang dengan buku.  Tidak mempunyai wang untuk membeli buku, beliau meminjam buku.  Sehingga pada satu ketika beliau terpaksa bekerja sambilan untuk semata-mata mendapatkan wang bagi membeli buku untuk mengganti buku kawannya yang dipinjam rosak kerana basah.

Winston Churchil yang dikatakan gagap, tetapi kerana rajinnya berlatih berpidato dan banyak membaca buku-buku falsafah dan politik, sampai menjadikan beliau itu seorang pemimpin terkenal yang mampu berhujah dengan sebaik-baiknya.

Dalam sejarah Islam pula, terdapat nama-nama besar penggemar buku, seperti al-Jahiz, Ibn Sina dan ramai lagi.

Tidak syak lagi, buku adalah membuat jendela dunia terbuka.  Kerana itu ramai tokoh-tokoh besar lahir kerana minat mereka yang tinggi membaca buku.  Ini menunjukkan membaca itu adalah merupakan kuasa raksasa untuk menjadikan manusia: brilliant atau bergeliga.

Inilah makanya, petunjuk Allah melalui ayat pertama yang turun kepada Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam adalah perintah membaca (ٱقرأ - bacalah!).  Kerana itu walau secara zahir Baginda itu Ummi (tidak boleh membaca), tetapi jangan lupa, Malaikat Jibril 'Alaihissalam sering-sering turun membawa wahyu dan mengajarkan kepada Baginda membaca ayat-ayat yang turun itu.  Di samping itu Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam juga adalah seorang yang memang sangat mengambil perhatian berat kemampuan membaca.  Buktinya,  dalam satu peperangan, tentera Muslimin banyak menawan musuh.  Apabila tawanan ini minta dibebaskan,  maka Baginda bersetuju untuk membebaskan, tetapi dengan syarat, seorang tawanan dikehendaki mengajar membaca dan menulis anak-anak orang Islam.

Kalau kita mahu tahu 'kelebihan' membaca, boleh lihat masyarakat Jepun.  Selepas "pasca kalah perang" akibat diguguri oleh bom di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun cepat-cepat bangkit menterjemahkan buku-buku asing ke dalam bahasa Jepun, sehingga tidak lama, mereka pun mampu menyaingi Amerika dan Eropah dalam industri automotif.

Kejayaan "budaya membaca" orang-orang Jepun ini, bagus ditiru, terutama oleh para mahasiswa kita.  Para mahasiswa perlu bergerak memperkaya daya kritis dan intelektualisme mereka.  Maka untuk itu, kebiasaan hedonisme (mementingkan keseronokan sebagai tujuan hidup) sudah masanya untuk ditinggalkan dan diganti dengan tradisi membaca.

Kita melihat di kebelakangan ini, daya intelektualisme para mahasiswa agak meragukan.  Ramai rasa-rasanya yang melupakan tradisi intelektual seperti membaca, menulis dan berdiskusi, berbanding aktiviti mereka terfokus kepada kegiatan hedonisme (mementingkan keseronokan sebagai tujuan hidup).  Perpustakaan kampus sepi, berbanding tempat-tempat lain, yang menjadikan dengan sendirinya, budaya produktif seperti membaca adalah lemah.  Kita belum lagi melihat survey UNESCO tentang minat membaca masyarakat Brunei, di posisi berapakah kita ini berada di peringkat global dan ASEAN?  Rasa-rasanya, perkara ini sangat-sangat perlu untuk dibuat kajian.

Di sempena majlis pada hari ini, saya seikhlasnya mengucapkan syabas dan tahniah yang hangat kepada UNISSA kerana berjaya menerbitkan buku-buku terbaharunya 2021.  Sebanyak 33 buah buku ungkayah setahun, boleh dianggap satu ungkayah yang besar.  Saya secara peribadi turut mengaguminya.  Ini menunjukkan UNISSA ada vision keilmuan, ada usaha menjana budaya menulis dan membaca di kalangan warganya.  Syabas! Teruskan usaha ini.  Dan jika ini berterusan, UNISSA tidak diragukan lagi adalah gedung ilmu bagi Brunei.  Brunei bertuah mempunyai UNISSA.

Sekian saja.  Dengan melafazkan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Saya lancarkan buku-buku terbitan terbaharu UNISSA 2021.


Attachments