Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
18 April 2022 - Jabatan Mufti Kerajaan Terbitkan Buku ‘FATWA MUFTI KERAJAAN 2020’

​Oleh: Osman Abu Bakar



Visi Jabatan Mufti Kerajaan ialah Menjadi Institusi Fatwa yang berwibawa dan pusat rujukan Islam yang lengkap sempurna; sementara misinya ialah menunaikan Ifta’ dan melaksanakan agenda ilmu  dengan organisasi yang berupaya.

Setentunya visi dan misi tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk direalisasikan dan dilaksanakan tanpa gerakan-gerakan yang teratur, berterusan dan komited pada usaha yang dilaksanakan.  Untuk memenuhi tuntutan visi dan misi itu,  tugas dan fungsi Jabatan Mufti Kerajaan ialah mengeluarkan fatwa dan Irsyad.  Dimasyarakatkan fatwa tersebut dalam bentuk penerbitan termasuk dengan menerbitkan Buku Fatwa Mufti Kerajaan pada setiap tahun.

Terbaharu pada tahun 2022 ini, Jabatan Mufti Kerajaan telah menerbitkan buku Fatwa Mufti Kerajaan 2020.

Buku ini mengandungi sebanyak 33 fatwa yang telah difatwakan pada tahun 2020 yang lalu.  Selain menjawab beberapa persoalan lazim seperti dalam hal ehwal aqidah, Ibadat, Muamalat, Kebudayaan, Perubatan dan lain-lain, buku ini juga memuatkan beberapa fatwa dalam persoalan dan keraguan hukum semasa menghadapi penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia bermula pada penghujung tahun 2019 yang lalu.  Antaranya tentang persoalan Sembahyang berjemaah dengan penjarakan, persoalan Sembahyang  Jama’ bagi jururawat pesakit COVID-19 yang memakai Personal Protective Equipment (PPE), persoalan sembahyang berjemaah dengan penjarakan di antara jemaah dalam satu saf dan menunaikan dua Jumaat dalam satu masjid,  persoalan menjama’ sembahyang dalam perjalanan ketika penutupan masjid dan surau kerana wabak COVID-19, persoalan penghantaran jemaah haji untuk menunai fardhu Haji dalam situasi pandemik wabak COVID-19, persoalan tentang cara pengurusan jenazah bagi pesakit COVID-19 dan persoalan beberapa isu perubatan berkenaan penularan wabak COVID-19.

Salah satu ciri khas fatwa dalam buku ini ialah bukan sahaja memberikan jawapan terhadap soalan/permasalahan yang ditanyakan dan dipohonkan penjelasan hukum mengenainya, tetapi juga turut menghuraikannya dari berbagai aspek pandangan ulama-ulama mu’tabar Ahli Sunnah wal-Jama’ah, di samping penghuraian tersebut juga penuh dengan ciri-ciri ilmu pengetahuan yang mudah dihayati.

Kerana itu, buku ini perlu dimiliki oleh umat Islam untuk dimanfaatkan sebagai bahan rujukkan kerana fatwa-fatwa yang dikeluarkan itu menyentuh berbagai perkara kehidupan harian yang sering dihadapi.  Di samping itu, fatwa-fatwa itu tetap dengan ciri dan sifatnya memberi bimbingan dan ilmu agama yang relevan dengan isu yang ditanyakan.

Buku setebal 277 halaman ini dijual dengan harga BND$ 7.00 senaskhah dan boleh didapati di kedai buku Jabatan Mufti Kerajaan pada waktu-waktu bekerja.


Attachments