Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

13 Julai 2022 - Penolong Mufti (Buhuth) Menyampaikan Agihan Daging Korban Anjuran BIBD

​Oleh: Rawandi Rafie Yahya






Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampong Masin telah mengadakan acara Ibadah Korban bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidil Adha. Majlis berlangsung pada 13 Julai 2022M bersamaan dengan 13 Zulhijjah 1443H, bertempat di Masjid Kampong Masin.

Sebanyak sembilan (9) ekor lembu telah dikorbankan dan diagihkan kepada seramai 35 keluarga – terdiri daripada ahli masyarakat yang kurang berkemampuan dan ahli keluarga penerima BIBD 'Advocating Life-Long Learning for an Aspiring Future' (BIBD ALAF).

Tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof, Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan selaku Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD. Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Irwan bin Lamit, Timbalan Pengarah Urusan BIBD dan Ketua Kumpulan Perbankan Runcit serta pegawai-pegawai kanan BIBD dan AJK Takmir Masjid Kampong Masin.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah diikuti dengan penyerahan daging korban kepada para penerima yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Pada majlis tersebut, BIBD juga berkesempatan untuk mewaqafkan sebanyak 100 buah buku Yaasin kepada masjid berkenaan yang diserahkan oleh Yang Mulia Awang Irwan bin Lamit, Timbalan Pengarah Urusan BIBD dan Ketua Kumpulan Perbankan Runcit.

Majlis diakhiri dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Imam Jeffry bin Hj Metassim, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampong Masin.

Menurut kenyataan BIBD, sambutan Aidil Adha sememangnya dapat menaikkan semangat perkongsian dan kesanggupan untuk berkorban demi mencari keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Ianya adalah masa yang terbaik bagi umat Islam di negara ini untuk berkongsi rezeki dan harta dengan sesama umat Islam yang kurang bernasib baik, selaras dengan konsep korban itu sendiri.


Attachments