Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

1 Oktober 2022 - TAZKIRAH MUNAJAT: Negara Brunei Darussalam Akan Terus Selamat, Aman, Sejahtera Dengan Dzikir.

20221001-Malam-Munajat-00.jpg

Oleh: Awang Osman A. Bakar

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan telah merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama kerana telah mengungkayahkan rancangan Malam Munajat sebagai satu inisiatif mempelopori budaya dzikir.

  

Yang Berhormat Pehin berharap semoga rancangan ini akan dapat mencetuskan kesedaran dan semangat suka berdzikir  di kalangan ummah, dan jika ini berlaku, menurutnya  bererti kitalah warga sebuah negara di dunia yang benar-benar menyahut seruan dan perintah Allah di dalam al-Qur’an surah al-Ahzab ayat 41, yang tafsirnya:  “Wahai orang-orang yang beriman, berdzikirlah kamu kepada Allah sebanyak-banyaknya”.


Yang Berhormat Pehin menyeru agar kita meriahkan bumi Darussalam ini dengan dzikir.  Kita tanai ia dengan dzikir.  Kita hias ia dengan dzikir.  Kita rawat ia dengan dzikir.  Kita pagar ia  dengan dzikir.  Insya Allah, dengan berpagarkan dzikir itu, negara kita Brunei Darussalam akan terus selamat, akan terus aman lagi sejahtera.


Yang Berhormat Pehin membuat seruan tersebut ketika manyampaikan tazkirah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Bandar Seri Begawan pada 1 Oktober, 2022 sempena genap setahun penganjuran Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama.


Rancangan munajat kelolaan Kementerian Hal Ehwal Ugama, tegasnya adalah satu rancangan yang diberkati kerana isi rancangan ini tidak lain, hanya semata-mata dzikir kepada Allah seperti membaca Yaasiin, membaca Sayyidul Istighfar, membaca Asma’ al-Husna, berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, berdoa dan bertazkirah. Sementara tempat dan penglibatan setiap orang menyertai rancangan ini, adalah namanya “Majlis Dzikir” (Majlis menyebut-menyebut nama dan mengingati Allah Subhanahu wa Ta’ala).


"Apa ada dengan majlis dzikir?  Bersabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, maksudnya: “Tiada duduk suatu kaum, mereka itu sedang berdzikir (mengingat Allah), melainkan menaungi mereka ialah para Malaikat, turun ke atas mereka rahmat dan ketenangan.” Bersabda lagi Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam maksudnya: “Tiada beramal seseorang suatu amalan yang lebih menyelamatkannya daripada azab Allah Ta’ala melainkan dzikir kepadaNya.”


“Inilah keramat dzikir.  Ia mengundang kepada perlindungan para Malaikat, mengundang kepada turunnya rahmat, mengundang kepada turunnya ketenangan dan bahkan menjadi penyelamat dari azab Allah Ta’ala,” jelas Yang Berhormat Pehin.


Diantara banyak dzikir itu, jelasnya lagi ada yang namanya “Kepala Dzikir”  iaitu al-Qur’an yang juga dinamakan “Kalam Allah” (perkataan Allah) yang mengatasi lain-lain kalam, sebagaimana hadits Nabi bermaksud:   “Kelebihan Kalam (perkataan) Allah ke atas lain-lain kalam adalah seperti kelebihan Allah sendiri ke atas makhlukNya.”


“Bayangkan, semua makhluk ada bahasa, termasuk makhluk Malaikat, jin, manusia dan binatang, namun Kalam Allah (perkataan Allah) tetap tidak dapat ditandingi oleh mana-mana jua kalam para makhluk itu. Inilah namanya mukjizat al-Qur’an, Kalam Allah,” tegas Yang Berhormat Pehin.


Menyeluk kehebatan mukjizat al-Qur’an, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa kita dapat mengetahui pelbagai hikmah dan kebajikan yang dapat diraih dengan membaca al-Qur’an. Kebajikan itu, katanya ada dua:  Kebajikan duniawi dan kebajikah ukhrawi.

  

Contoh kebajikan duniawi, katanya boleh kita ambil dari ayat Al-Qur’an surah al-Isra’ ayat 82, yang tafsirnya, “Bahawa Allah  menurunkan dari al-Qur’an itu sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman” dan menurutnya lagi satu contoh ayat penawar itu ialah surah al-Faatihah sebagaimana dijelaskan di dalam hadits Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, bahawa “Dalam surah al-Faatihah itu ada penawar untuk segala penyakit.”


Ini, menurut Yang Berhormat Pehin dibuktikan oleh beberapa riwayat sahih, bahawa para sahabat pernah menggunakan surah al-Faatihah untuk mengubat orang yang dipatuk ular atau disengat kalajengking, orang sawan dan orang gila.  Semuanya itu sembuh dengan al-Faatihah.


Menurut Yang Berhormat Pehin, Ibnu Al-Qayyim dalam Zaad al-Ma`ad berkata: “Surah al-Faatihah adalah ibu al-Qur’an, penyembuh yang sempurna, ubat yang bermanfaat, pemelihara kekuatan fizikal, penghapus rungsing dan dukacita.”  Katanya lagi meneruskan: “Telah berlaku ke atas diri saya sendiri semasa berada di Mekah.  Saya telah jatuh sakit, sedang tiada didapati doktor dan ubat pada masa itu. Lalu ikhtiar saya hanyalah merawat diri sendiri dengan membaca surah al-Faatihah ke atas air zam-zam, dan air zam-zam yang dibacai itu saya minum, maka saya mendapati diri saya benar-benar sembuh.


“Berasaskan riwayat dan kisah ini, mengapakah kita tidak mengambil peluang untuk merawat diri kita dengan al-Faatihah?  Kita ambil air dalam gelas dan baca beberapa kali al-Faatihah, kemudian hembus dan minum, Insya Allah pasti berkesan, seperti Ibnu Al-Qayyim merawat dirinya,” tegas Yang Berhormat Pehin.


Kemudian kebajikan ukhrawi pula, katanya lebih ajaib lagi dapat diperolehi dengan keberkatan al-Qur’an, sebagaimana berita sebuah hadits riwayat Muslim, bahawa di suatu ketika sedang Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam duduk-duduk bersama para sahabat, Baginda tiba-tiba bersabda maksudnya: “Di langit, telah dibuka sebuah pintu yang belum pernah dibuka sebelum ini dan daripada pintu itu turun Malaikat, yang juga belum pernah diturunkan sebelum ini.  Malaikat itu berkata kepadaku: “Terimalah wahai Muhammad, satu berita gembira yang belum pernah diberikan kepada sesiapapun sebelum ini, iaitu pertama surah al-Faatihah dan kedua, tiga ayat terakhir daripada surah al-Baqarah. Kedua-duanya itu adalah ‘cahaya’, di mana pada hari kiamat kelak ayat-ayat ini akan berada (mengambil tempat) di hadapan para pembacanya (untuk menerangi jalan mereka).”


“Inilah al-Qur’an, suluh di hari Kiamat dan juga di alam kubur.  Kiamat dan kubur adalah dua alam yang gelap gelita.  Tiada satupun suluh yang mampu meneranginya kecuali al-Qur’an. Al-Qur’anlah pemberi syafaat tertinggi satu-satunya, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud:  “Pada hari Kiamat, tiada pemberi syafaat yang lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah melainkan Al-Qur’an, bukan Nabi dan bukan juga Malaikat dan lain-lain.” (Dipetik dari Syarah Ihya Ulumuddin),” tegasnya.


Malah sebelum lagi Kiamat, menurutnya syafaat al-Qur’an juga akan dapat diterima di alam kubur, sebagaimana berita dari sebuah hadits panjang maksudnya: “Apabila seseorang meninggal dunia dan keluarga sedang sebok menguruskan kafan dan pengkebumian, seseorang yang sangat tampan rupa parasnya akan berdiri di kepala mayat. Apabila mayat dikapankan, orang tampan itu akan berada diantara dada dan kain kafan. Apabila mayat selesai dikebumikan dan orang ramai pulang, maka datanglah dua Malaikat, Munkar dan Nakir.  Dua  Malaikat ini cuba memisahkan orang tampan itu daripada mayat, tetapi orang tampan berkata: “Tidak! Dia (mayat ini) adalah sahabat saya. Saya tidak akan meninggalkannya keseorangan dalam apapun keadaan. Sekiranya kamu mahu menyoalnya, jalankanlah tugas kamu, namun saya tetap tidak akan meninggalkannya sehinggalah saya dapat membawanya masuk ke dalam Syurga. Selepas itu orang tampan berpaling ke arah mayat dan berkata: “Sayalah al-Qur’an, yang kadang-kadang kamu baca dengan suara yang tinggi dan kadang-kadang dengan suara perlahan. Janganlah kamu bimbang, selepas ini kamu tidak akan bimbang-bimbang lagi…”


Tidak diragukan lagi, tegasnya seluruh kebajikan ukhrawi adalah mampu untuk diraih dengan al-Qur’an.  Sebab itu kita orang Islam di tuntut supaya pandai membaca al-Qur’an, kerana jika tidak, kita akan rugi dan kempunan untuk menikmati kebajikan ukhrawi. 

 

Maka lantaran itulah, katanya demi kerana mustahaknya pandai membaca al-Qur’an itu, sehingga Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah hadits riwayat al-Bukhari mengharuskan kita untuk dengki kepada dua jenis manusia, iaitu:  (1) Dengki kepada siapa yang pandai membaca al-Qur’an yang membacanya siang dan malam, dan (2) Dengki kepada siapa yang memiliki harta,  yang membelanjakan hartanya itu pada jalan Allah.


Menurut Yang Berhormat Pehin, untuk boleh pandai membaca al-Qur’an itu  tentu saja dengan jalan belajar,  dan menyebut belajar ini, secara langsung, katanya ia menyangkut kewajipan dan peranan para ibu bapa.


“Ibu bapalah yang menjadi punca atau sebab bagi anak-anak pandai atau tidak  pandai membaca al-Qur’an.  Jika ibu bapa mempunyai wawasan yang baik, sudah barang tentu mereka tidak akan membiarkan anak-anak kosong al-Qur’an.  Lalu dengan itu, jadilah mereka keluarga yang bertuah kerana anak-anak pandai membaca al-Qur’an,” tegasnya.


Bagaimana tidak dianggap bertuah, Imam Ahmad dan Abu Daud, katanya  ada meriwayatkan sebuah hadits bermaksud: “Barangsiapa membaca al-Qur’an dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, maka kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari Kiamat, yang sinaran mahkota itu lebih indah dari cahaya  matahari dunia.”

  

 “Demikian keramat dan mukjizat al-Qur’an apabila ia dibaca.  Siapakah di kalangan ibu bapa yang tidak mahu dipakaikan mahkota Akhirat?  Ya, semua kita mahu.  Tetapi ada syaratnya, iaitu kita - ketika di dunia – dikehendaki terlebih dahulu mesti mempunyai anak yang pandai serta melazimi membaca al-Qur’an,” tegas Yang Berhormat Pehin.

Pada 1 September, 2022 di Majlis Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Peringkat Akhir Kebangsaan, telah muncul dua orang kanak-kanak kurang upaya mempersembahkan hafazan Al-Qur’an.  Berlinang air mata menyaksikan kejadian ini, kerana teringat kuasa Allah mengizinkan dua insan yang kurang upaya, seorang hilang penglihatan dan seorang lagi mengalami masaalah otak (mental), sehingga tidak pernah bersekolah yang menjadikannya tidak celik huruf, tidak tahu membaca  dan menulis, tetapi mampu untuk hafaz 30 juzuk al-Qur’an, malah hafaz yang luar biasa.  Boleh tanya mana sahaja bahagian surah, dia akan menyambung dengan lancar tanpa tersangkut-sangkut, dan bukan setakat hafaz sahaja, malah juga boleh memberitahu kita surah apa yang dibaca, ayat berapa, halaman berapa dalam naskhah al-Qur’an, dan bahkan amat ajaib, dia juga boleh menafsir setiap ayat yang dihafaznya. Ini, lebih lagi menyebakkan dada manakala perkara yang dianggap mustahil pada akal tidak mustahil pada Allah.  Allahu Akbar, Subhanallah.


Menurut Yang Berhormat Pehin kita sesungguhnya kagum, dan memang patut kagum   kerana belajar al-Qur’an bukan senang, apatah lagi menghafaznya 30 Juzuk, susah atas susah.

  

Kerana  susahnya itulah, katanya ramai orang lari dari al-Qur’an dan tidak mahu belajar.  Bahkan atas nama dzikir selain al-Qur’an pun, tegasnya juga bukan mudah, tetapi berat untuk dibuat.

  

Ini, jelasnya telah diberitahu sendiri oleh Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah hadits, maksudnya:  “Sepayah-payah amal itu ada tiga:  (1) Berdzikir kepada Allah, (2) Menolong saudara dengan harta, dan (3) Berkhidmat bagi melepaskan orang fakir dari kesusahannya.”


“Cuba perhatikan, berdzikir dengan lafaz “Allah” sahaja pun, bukan semua orang mudah membuatnya.  Walau lafaz ini mudah, tetapi lidah berat mengucapkannya.  Orang jika dapat nikmat, belum tentu lidahnya sepontan berkata : “Alhamdulillah”.  Jika sakit belum tentu cepat-cepat menyeru “Ya Allah”.  Jika membuat dosa, belum tentu lidah ringan berkata:  “Astaghfirullah”.


Begitulah dengan lain-lain lafaz dzikir, walau ada yang ringkas-ringkas atau pendek-pendek sahaja, seperti Bismillah, Subhanallah, Alhamdulillah, Lahaula Walaquwata Illa Billah dan lain-lain, tetapi semua itu, lidah berat dan hati tidak jinak untuk mengucapkannya, katanya.


Maka lantaran itulah, jelasnya Allah sampai menyediakan ganjaran yang istimewa bagi siapa yang berdzikir, walaupun dzikir itu cuma beberapa patah lafaz sahaja, seperti “Bismillah”, “Alhamdulillah”, “Subhanallah” dan lain-lain.  Kita ambil contoh ganjaran “Subhanallah” sahaja, Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:  “Barangsiapa mengucap “Subhanallah al-`Azim” ditanam atau tumbuh untuknya satu pohon di dalam Syurga.”


Menurut Yang Berhormat Pehin,  pohon Syurga bukan pohon dunia, dan  di sana ada pula dzikir untuk memadam dukacita, untuk menghapus dosa dan sekaligus untuk memperolehi rezeki yang tidak disangka-sangka.


Patutnya kita, tegasnya tidak akan melepaskan dzikir seperti ini, kerana kita ini sebenarnya memang banyak susah, banyak dosa dan sempit rezeki.  Mengapa tidak kita ikut petunjuk Nabi, sebagaimana sabdanya bermaksud: “Banyakkanlah oleh kamu Istighfar.  Barangsiapa yang membanyakkan Istighfar, dilepaskan (dihapuskan) oleh Allah dukacita dan dosa serta dikurniakan kepadanya rezeki yang tidak terlintas dari mana datangnya.”




Attachments