Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

13 April 2023 - Penolong Mufti (Buhuth) Hadiri Sambutan Ulangtahun ke-30 Syarikat Takaful Brunei

Oleh: Rawandi Rafie Yahya​
Foto: Md Ariffin Sulaiman







Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd (Takaful Brunei) dan anak-anak syarikatnya iaitu Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd (TBK) telah menyambut ulangtahun ke-30 syarikat tersebut pada 13 April 2023M bersamaan dengan 22 Ramadhan 1444H. Majlis telah diadakan di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof, Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan selaku Naib Pengerusi Badan Penasihat Syariah Takaful Brunei. Turut hadir ialah ahli-ahli lembaga pengarah, badan penasihat syariah serta pegawai dan kakitangan syarikat tersebut.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat dan Doa Selamat, diikuti dengan Majlis Khatam Al-Qur’an dan Tahlil. Sejurus selepas itu, acara juga diisikan dengan penyampaian derma kepada 39 orang anak-anak yatim. Majlis diselajurkan dengan penyampaian Zakat Simpanan Peserta Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd, penyampaian Takaful Amal Jariah daripada peserta Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd dan penyampaian derma bagi pengguna Takaful Brunei Mobile. Majlis diakhiri dengan penyampaian waqaf untuk Masjid Omar Ali Saifuddien. Majlis penyampaian tersebut disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof.

Menurut kenyataan Takaful Brunei, majlis seumpama ini diadakan bagi menyatakan kesyukuran, memohon keberkatan dan sebahagian daripada aktiviti amal jariah di sepanjang bulan Ramadhan ini. Perkara ini juga selaras dengan nilai-nilai belas kasihan, kemurahan hati dan semangat kemasyarakatan yang sentiasa diterapkan di dalam operasi mereka.




Attachments