Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

27 Mei 2023 - Ucapan Yang Berhormat Mufti Kerajaan di Majlis Silaturahim ‘Idilfitri Dan Doa Selamat Bakal Jemaah Haji Jabatan Mufti Kerajaan Tahun 1444H/2023M

pehin mufti majlis silaturrahim.jpg

Majlis kita pada hari ini kita namakan ia  “Majlis Silaturrahim 'Idilfitri dan Doa Selamat Bagi Bakal-Bakal Jemaah Haji Jabatan Mufti Kerajaan".

Walaupun kita sudah memasuki awal bulan Dzulkaedah, namun tidak ada salahnya kalau masih marayakan 'Idilfitri dan bermaaf-maafan di dalamnya.  Ya, saya secara peribadi memohon maaf dzahir dan bathin tidak dapat merayakan 'Idilfitri pada waktuya bersama-sama dengan  para pegawai dan kakitangan, kerana halangan kesihatan, tetapi pada hari ini merasa amat bahagia diizinkan oleh Allah untuk dapat bersama-sama abiskita.

Selain itu, tujuan pokok majlis, ialah untuk sama-sama kita mendoakan bakal-bakal Jemaah Haji Jabatan Mufti Kerajaan  dan juga mereka yang di luar jabatan, semoga sekeliannya dimudahkan oleh Allah segala urusan, sihat afiat dan beroleh haji yang mabrur.

Sedikit ulasan dan pesanan saya kepada para bakal jemaah, bahawa awda sekelian adalah orang-orang yang sangat beruntung.  Mengapa saya katakan  beruntung, kerana awda sebenarnya adalah orang-orang yang berstatus istimewa kerana telah terpilih, dipilih oleh Allah untuk menjadi tetamuNya.  Tetamu Allah, bukan tetamu siapa-siapa, tetapi tetamu Allah.  Betapa mulianya awda, betapa terhormatnya awda menjadi tetamu Allah ini.

Nah, cara menyesuaikan diri selaku tetamu Allah mesti  diambil kira.  Cara itu ada disebut di dalam surah al-Baqarah ayat 197:

ٱلْحَجُّ أَشْهُرٌۭ مَّعْلُومَـٰتٌۭ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ يَعْلَمْهُ ٱللَّ​هُ ۗ وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ

Tafsirnya:  “Maka barangsiapa yang mewajibkan ke atas dirinya (dengan berniat ihram mengerjakan) Haji pada bulan-bulan yang termaklum, maka dia tidak boleh (dilarang) untuk mencampuri isterinya, (dilarang) tidak boleh melakukan maksiat, dan (dilarang) tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah Haji.  Apa jua kebaikkan yang kamu kerjakan  adalah diketahui oleh Allah.  Dan hendaklah kamu membawa bekalan secukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah takwa.  Bertakwalah kamu kepada Aku, wahai orang-orang yang mempunyai akal."

Ah ini, cara menyesuaikan diri itu selaku tetamu Allah:  Berpuasa sementara dari mencampuri isteri, jangan melakukan maksiat dan jangan bertengkar.  Inilah tiga disiplin yang wajib dipatuhi oleh setiap individu Jemaah.  Jika salah satu, apatah lagi ketiga-tiganya dilanggar, boleh merosakkan ibadat Haji.

Satu dari tiga disiplin yang mudah dilanggar ialah “bertengkar".  Pertengkaran biasa terjadi sesama jemaah, diantara kawan dengan kawan, atau antara adik beradik, atau diantara suami dan isteri, atau diantara jemaah dengan pengurus dan lain-lain.  Ini sangat biasa berlaku.  Dan barangkali kurang disedari, perkara ini apabila berlaku, maka ia beresiko untuk merosakkan haji.

Maka bayangkanlah, jika haji telah rosak, di mana kita selaku tetamu Allah ketika itu?  Sudah tentu, kita tidak layak lagi untuk menyandang gelaran tetamu Allah, disamping hanya mengalami rugi matabenda dan waktu sahaja.

Ah ini mesti diingat benar-benar, jangan sampai membuat atau terbuat perkara-perkara yang boleh merosakkan ibadah Haji, terutama yang sangat mudah berlaku iaitu perkara “jidal" (bertengkar).

Saya tujukan peringatan ini, bukan terhad kepada bakal Jemaah haji Jabatan Mufti Kerajaan sahaja, malah kepada semua bakal Jemaah di luar jabatan juga, samapsamalah beringat dan berhati-hati untuk tidak terjebak melakukan perkara-perkara yang merosakkan haji.


Attachments