
| 
|
UCAPTAMA
YANG BERHORMAT PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA
DR. USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED
MUFTI KERAJAAN,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA DIALOG SERANTAU
BORNEO-KALIMANTAN
ANJURAN ASTERAWANI
Tempat:
Balai Sarmayuda
Dewan Bahasa Dan Pustaka,
Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam
Hari Jumaat
18 Muharram, 1444H
4 Ogos, 2023M
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ الله ، وَعَلَى اٰلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَوَالَاه. أَمَّا بَعْدُ.
Saya terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak ASTERAWANI kerana memberi penghormatan kepada saya untuk menyampaikan ucaptama sempena Dialog Serantau Borneo-Kalimantan anjuran ASTERAWANI ini.
Sifat dialog memang bagus, kerana ia dapat membuka pintu-pintu tertutup atau membongkar khazanah-khazanah yang terpendam untuk diketahui. Kerana kadang-kadang apa yang ada disebalik pintu atau yang terpendam di dalam bumi adalah benar-benar berharga. Maka demikian itulah dengan dialog. Ia mampu untuk membuka rahsia-rahsia ilmu termasuk ilmu literature (ilmu penulisan atau pengucapan yang bernilai seni) yang dipanggil juga hasil sastera.
Sekarang tema dialog berbunyi: “Melayu Islam Beraja (MIB) mengukuhkan Sastera Islam dan Nilai-Nilai Budaya Serantau”, satu tajuk yang memerlukan ulasan dan bahkan kajian, apakah benar MIB itu mampu mengukuhkan sastera Islam dan nilai-nilai budaya serantau?
Secara santai, belum kajian mendalam, saya berpendapat: Ya mampu, jika MIB itu tetap kekal tidak dikacau, maka sastera Islam pun boleh maju dan berkembang di atas landasan MIB.
Tetapi kalau MIB dikacau, seperti kalau ia dimasuki oleh anasir-anasir luar, apatah lagi jika anasir itu anasir tidak bertuhan, maka ertinya di sini MIB sudah dicemari. Apabila MIB telah dicemari, dikacau, maka keadaan pun sudah lain jadinya. Sebagai contoh mudah, kita adalah sama sahaja, sama ada Brunei atau Malaysia atau Indonesia, sebelum kita memasuki gerbang kemerdekaan, kita tidak dapat dengan sesuka hati menyebut ‘merdeka”. Sebut merdeka sahaja dianggap salah, bahkan boleh membawa ke penjara.
Pada era tahun 60an, kami pelajar-pelajar Brunei di Kolej Islam Malaya sedang bercuti. Kami mengadakan majlis yang diberi nama “Malam Pujangga Iqbal” di Dewan Kemasyarakatan di Bandar Brunei. Majlis ini dapat sambutan baik. Diantara acaranya termasuk diklamasi sajak dan drama pentas.
Pada keesokkan paginya, kedengaran orang-orang berbual tentang adanya tangkapan. Rupa-rupanya memang benar ada rancangan untuk menahan kami. Mujurlah Pengetua Hal Ehwal Ugama pada masa itu seorang yang berwawasan. Menurut cerita yang kami dengar, pengetua ini berkeras memberi pandangan: “Jangan diapa-apakan penuntut-penuntut itu (kami). Mereka itu menurut beliau berguna kepada Brunei. Andangnya orang-orang muda yang terpelajar, mereka tidak sama dengan kita orang-orang lama.” Itu yag kami dengar.
Alhamdulillah, suara beliau ini didengar, maka kamipun terselamatlah dari dasar dan sikap anti merdeka.
Nampak kita saudara, kalau sekiranya kita kekal di bawah sistem seperti ini, sistem anti merdeka, maka susahlah untuk sastera Islam ala MIB lahir dan berkembang, kerana MIB selaku sistem, selama-lamanya tidak sebulu dengan sistem anti merdeka. Sistem anti merdeka yang sekaligus anti Islam, tidak akan membiarkan sistem MIB menyerlah, kerana sistem MIB adalah menjulang kedaulatan bangsa merdeka, berpegang kuat kepada agama dan taat setia kepada raja, di mana semua ini dibenci atau tidak digemari oleh penjajah dan kuncu-kuncunya.
Satu contoh kebencian penjajah terhadap MIB dapat kita lihat pada abad ke-16 di zaman Sultan Brunei yang ke-7, Sultan Saiful Rizal. Pada masa itu Brunei dengan semena-mena didatangi oleh satu kuasa besar. Kuasa besar itu mengasak dan mendesak malah memaksa sultan supaya membenarkan Brunei dimusyrikkan, membenarkan bangsa Brunei ditukar ugama mereka (Islam) kepada bukan Islam. Tetapi raja, Sultan Saiful Rizal menolak mentah kehendak musuh ini, dan bukan cuma menolak dengan sikap dan kata-kata sahaja, bahkan memberikan tentangan bersenjata melalui satu peperangan yang dikenali dengan nama “Perang Kastila”. Tetapi ternyata, peperangan ini dari sudut fizikal, adalah peperangan yang berat sebelah kerana pihak kita tidak ada apa-apa, kita memang benar-benar lemah, berbanding musuh yang mendatangi kita. Mereka itu bukan datang dengan tangan kosong, tetapi dengan 40 buah kapal perang, sedang kita ada apa? Tidak ada apa-apa, kecuali kata sejarah, kita cuma ada seorang wira, Pengiran Bendahara Sakam yang dibantu oleh Orang Kaya Harimau Padang dan 100 orang perwira, di mana selebihnya adalah rakyat jelata yang taat setia kepada sultan. Tetapi di bawah kepimpinan raja yang beriman, yang salih lagi hebat ini, Brunei dengan izin Allah telah berjaya mengundurkan musuh dan menjadikan mereka (musuh) itu berputih mata. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allau Akbar. Maha benarlah Allah berfirman:
كَم مِّن فِئَةٍۢ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةًۭ كَثِيرَةًۢ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ
Tafsirnya: “Berapa banyak golongan yang sedikit (yang dianggap lemah) menewaskan golongan yang ramai (yang dianggap kuat) dengan izin Allah.”
(Surah al-Baqarah ayat 249)
Analisis: Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Betulkah ia berlaku? Ya, memang boleh berlaku, kalau merujuk kepada beberapa ayat lain dalam al-Qur’an, kita akan mendapati jawapan yang menakjubkan, bagaimana kemenangan itu boleh diraih, boleh dicapai oleh pihak yang lemah, melawan pihak yang kuat. Antaranya firman Allah Ta’ala menjelaskan:
1. Dalam surah at-Taubah ayat 40 tafsrinya: “Kalau kamu tidak (berupaya) menolongnya (menolong Nabi Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, (iaitu) tatkala kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang dia adalah salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita sesungguhnya Allah adalah bersama-sama dengan kita. “Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (yang terdiri dari para malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir jadi terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) tetap tinggi untuk selama-lamanya, demi Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.”
2. Firman Alalh lagi dalam surah al-Fath ayat-ayat 4 dan 7 tafsirnya: “Dialah (Tuhan) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang beriman (semasa mereka menghadapi angkara musuh), supaya mereka itu bertambah-tambah iman, disamping iman dan keyakinan yang sedia ada, bagi Allah juga mempunyai bala tenteraNya di langit dan di bumi (untuk menolong mereka) dan adalah Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
Inilah jawapannya bagaimana kemenangan boleh dicapai oleh golongan yang lemah menewaskan golongan yang kuat, iaitu dengan berlakunya pertolongan Allah mengutus bala tenteraNya dari langit dan mahupun yang sedia ada di bumi iaitu para malaikat yang kita tidak dapat melihat mereka itu. Tidak diragukan lagi, Brunei Darussalam telahpun pernah mengalami peristiwa seperti ini di zaman Sultan Saiful Rizal Rahimahullah, berkat raja dan rakyat sama-sama beriman dan bertakwa kepada Allah. Sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman memberi isyarat:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Tafsirnya: “Andai kata penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, sudah barang tentu Kami (Allah) akan bukakan kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi…”
(Surah al-A’araf ayat 96)
Ah, ini contoh MIB apabila ia dipegang menjadi amalan, maka Insha Allah, Allah akan mengurniakan kepada kita kegemilangan sebagaimana telahpun berlaku dalam Kerajaan Sultan Saiful Rizal 600 tahun yang lampau.
Sekarang, mari kita amati pula Titah Pemashuran Kemerdekaan, antara lain berbunyi:
“Bahawa mulai dari satu haribulan Januari, seribu Sembilan ratus lapan puluh empat tahun Masehi, bersamaan dengan dua puluh tujuh haribulan Rabi’ulawwal, hijrah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, seribu empat ratus empat, iaitu tahun yang ke tujuh belas beta di atas takhta kerajaan, Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu wa Ta’ala, akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran ugama Islam menurut Ahli Sunnah wa al-Jamaah..”
Nah, bukankah dengan titah ini, MIB telahpun diberigakan kepada dunia sebagai satu sistem bagi sebuah negara yang bernama “Brunei Darussalam”, dan dengan ini juga, sepatutnya, telah hilanglah segala walang dan perasaan takut kita untuk bersuara lebih lantang menjulang Islam, bersuara menyebut merdeka, bersuara menyebut perjuangan membina bangsa dan lain-lain, dan bagi para sasterawan pula, ini adalah peluang keemasan untuk lelbih bebas menghasilkan karya-karya sastera yang berunsurkan keIslaman dan patriotism.., sama ada dalam bentuk prosa atau puisi atau selainnya seperti penulisan-penulisan sejarah.
Jadi untuk memanfaatkan peluang atau kesempatan terbuka kurnia Allah ini, saya anggap ia adalah satu cabaran kepada seluruh para sasterawan di Nusantara, teristimewanya para sasterawan di Negara Brunei Darussalam sendiri untuk tampil menjawab satu pertanyaan: “Di manakah awda sekarang? Di manakah awda sekalian ketika ini? Adakah sudah bersedia dengan pena keramat, tanpa membiarkannya tumpul atau berkarat? Sudahkah? Ya, sudahkah bersedia?”
Saudara! Mari kita sama-sama menjawabnya dengan semangat kental: “Sudah! Ya, kita sudah bersedia.” Maka oleh itu, ayuh! Perahu sudah di air dan pengayuh sudah di tangan, mari! Mari kita teruskan berkayuh!
Sangat banyak element yang boleh jadi bahan berkarya. Element-element dalaman dan persekitaran adalah cukup untuk membuka idea bagi kita berkarya. Element-element jio-politik, membangun negara, memperkasa ekonomi, melistarikan pendidikan, membina akhlak, pergolakkan dunia, membakar dan menghina al-Qur’an, fenomena alam berupa rebut taufan, banjir besar, tsunami, gempa bumi, wabak penyakit, peperangan, kejadian-kejadian atau perkara-perkara yang menjadi alamat hampirnya kiamat, LGBT, dadah, arak, musik dan lain-lain. Semua itu boleh sahaja mencetuskan karya-kara sastera berunsurkan keIslaman, hanya tertakluk kepada adanya kebolehan dan kemahuan untuk memanfaatkannya.
Ini saja yang perlu diburu iaitu ilmu Islam, ilmu Akidah bahkan ilmu bahasa/pengucapan juga perlu dikuasai supaya tidak terbabas dari landasan hukum yang benar. Ini saja yang sedikit sukar untuk diingat dan diambil perhatian oleh para sasterawan.
Seorang sasterawan negara, Allahyarham Haji Muslim Burmat sudah lebih awal memahami perkara ini, apabila beliau itu pernah datang kepada saya meminta saya untuk membaca novel pertamanya sebelum diterbitkan. Kata saya: “Untuk apa tuan?” Jawabnya: “Untuk tolong melihat, salah betulnya saya mengungkapkan hukum.”
Dari sini saya melihat, betapa sasterawan ini mempunyai visi yang jauh dan hebat. Ini saja yang bisai kita contohi. Sikap dan wawasan beliau itu, bukan merendahkan beliau, tetapi bagi saya, menjulangnya ke kemuncak arif bistari. Selaku ‘watak besar’ dalam berkarya seorang sasterawan.
وبالله التوفيق والهداية ، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
* * *