Oleh: Osman Abu Bakar
| |
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan berkata Religious Moderation memang sudah sedia ada dalam Islam dan Brunei Darussalam, tegasnya sangat berhati-hati untuk tidak terjebak memuja Moderation ala moden yang mengundang kepada rosak akidah.
Yang Berhormat Pehin menjelaskan perkara tersebut ketika menerima kunjungan Tim Peneliti Universitas Negeri Walisongo Semarang, Indonesia terdiri daripada Prof Dr. Muslich Shabir, MA, Ketua Tim Peliti; Maskur Rosyed, Anggota Tim Peneliti dan Dr. Haji Harapandi Dahri, Research Collaborator.
Tim tersebut adalah dalam rangka melakukan penelitian dengan judul “Religious Moderation in Indonesia and Brunei Darussalam; Philosophical and Maqasid Al-Shari'ah Approaches".
Kunjungan yang berlangsung di pejabat Yang Berhormat Pehin di Darulifta Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan pada 10 Ogos, 2023 itu, adalah bertujuan bagi memperoleh maklumat tentang Moderasi Beragama di Negara Brunei Darussalam.
Menurut Yang Berhormat Pehin, Nabi Shallallahu 'alaihi Wasallam, telah mengungkapkan bahawa: Sebaik-baik perkara adalah pertengahan.
Kemudian, katanya dalam al-Qur'an pula, Allah telah menjadikan kita umat yang pertengahan yang layak untuk memberi bimbingan atau petunjuk kepada umat manusia tentang apa yang benar dan apa yang salah, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 143 tafsirnya: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu."
“Ah ini moderation telahpun diungkap oleh Allah dan RasulNya. Apa lagi yang kita mahu?" tegasnya.
Bercakap mengenai apa yang kita mahu inilah, tegas yang Berhormat Pehin kadang-kadang orang melencung kelain, tersasar jalan, tersasar tujuan. Perspektif terbabas mengikut naluri. Maka jadilah moderation itu “menghalalkan cara" yang dicipta-cipta oleh akal tanpa menghiraukan naqal.
Maka, tegasnya lahirlah macam-macam pedekatan: Orang Islam harus banyak tolerance hidup bersama-sama tradisi, seni budaya dikongsi sama, orang lain berupacara keagamaan kita orang-orang Islam didorong menyertainya atas nama Moderation. Orang lain memakai pakaian tradisi, kita orang Islam pun turut memakainya, juga atas nama Moderation.
Pendiknya apa sahaja orang lain buat, jelasnya orang Islam didorong menyertainya. Ini dianggap tidak salah, wal hal di sana ada amaran atau peringatan daripada Nabi Shallallahu 'alaihi Wasallam melalui riwayat Ibn Umar radhiallahu anhuma, sabda Baginda, bermaksud: Barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.
Di sini Menurut Yang Berhormat Pehin, Al-Hafiz Ibn Kathir menafsir hadits ini sebagai satu peringatan keras dan amaran bagi setiap orang Islam yang menyerupai orang bukan Islam pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadat dan lain-lain.
“Ini kita lupa demi menjunjung Mederation ala moden," tegasnya.
Dalam hubungan ini, katanya Brunei Darussalam sangat berhati-hati tidak mahu terjebak untuk memuja atau memakai Moderation ala moden ini yang mengundang kepada rosak aqidah. Aqidah sangat sensetif.
Menurut Syed Qutub dalam tafsirnya Fi Zilalil Qur'an, kalau orang berkata: Bagus juga ada anjing, jika tidak, pencuri sudah pasti masuk ke dalam rumah." Ungkapan seperti ini pun menurut Syed Qutub sudah bertentang dengan akidah, boleh merosakkan akidah, apatah lagi kalau kita orang Islam redha dan bersetuju dengan semua antar agama sedang Allah berfirman di dalam surah A-li Imraan ayat 19, yang tafsirnya: “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam."
“Orang lain mengadakan upacara agama mereka, kita masuk bersama-sama menyertai upacara tersebut, dalam makna kita turut redha dan bersetuju dengan upacara itu. Apakah ini tidak menyangkut akidah?
“Ah di sini, Brunei Darussalam sangat berhati-hati, namun dalam masa yang sama, kita tidak sekali-kali menganggu mereka. Kita hanya berpendirian “tidak menyertai mereka demi menjaga akidah. Itulah Brunei," tegas Yang Berhormat Pehin.
Hadir sama di perjumpaan tersebut ialah Dato Paduka Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan dan Penolong-penolong Mufti.