Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

16 Ogos 2023 - Perkasa Dakwah dengan Hikmah Bijaksana, Nasihat Baik

Oleh: Osman Abu Bakar




Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan menjelaskan bahawa istilah “memperkasa" pada akhir-akhir ini sangat popular digunakan, terutama bagi aspek ekonomi.  Memang istilah ini bertenaga.  Maka dalam bidang dakwah juga ia patut dipakai jika kita mahu dakwah itu bertenaga.

Yang Berhormat Pehin melihat, dakwah lebih afdal untuk bertenaga, selaras dengan gesaan Allah, firman Allah di dalam al-Qur'an surah an-Nahl ayat 125, yang tafsirnya:  “Serulah (berdakwahlah) ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang diseru itu) dengan cara yang lebih baik…"

Yang Berhormat Pehin menjelaskan demikian ketika membentangkan kertas kerja perdana di Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin sempena Sambutan Ilal Hijrah 1445 dengan tema “Memperkasa Kualiti Da'ie" anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB)  bertempat di Dewan Tarbiah, KUPU SB pada 16 Ogos, 2023.

Menurut Yang Berhormat Pehin, dari ayat tersebut ada tiga faktor mesti diambil kira, iaitu:  (1) Allah menyuruh berdakwah, (2) Bagaimana dakwah itu dilakukan, iaitu dengan cara bijaksana dan nasihat yang baik, dan (3) Malah disuruh bersedia untuk berbahas dengan siapa saja yang diseru atau didakwah itu, dengan cara yang lebih baik.

Di sinilah, tegasnya persoalan dakwah itu dan bagaimana cara memperkasanya iaitu  melalui hikmah bijaksana dan nasihat yang baik, tetapi jika hikmah masih kurang dan nasihat masih lemah tidak berkesan, maka itu ertinya, dakwah belum lagi perkasa. 

Kemudian, dakwah juga, tegasnya lagi bukan sahaja dikehendaki supaya perkasa, malah sesudah ia perkasa, para da'ie, diperingatkan pula untuk sedia berbahas dengan para sasaran yang diseru, dengan cara yang lebih baik lagi.

“Jadi  ternyata di sini, tugas da'ie itu memanglah berat dan susah.  Namum, susah bagaimanapun, dakwah mesti tetap jalan juga, tidak boleh berhenti.  Kerana dakwah berasal dari tugas para Rasul, kemudian diteruskan oleh para sahabat dan tabi'en, kemudian disambung oleh generasi demi generasi dari kalangan para ulama, guru-guru dan cendekiawan lainnya," jelas Yang Berhormat Pehin.

Dakwah, jelas Yang Berhormat Pehin adalah ciri utama untuk menyerlahkan kebaikan di kalangan manusia, dan  pengenalan tentang Islam sebagai agama yang benar hanya akan dapat disampaikan melalui dakwah sahaja.  Oleh itu, tegasnya dakwah tidak boleh berhenti, selaras dengan perintah Allah dalam suruh an-Nahl yang telah kita sebutkan itu.

Maka kerana itu pula, katanya dakwah bukan sahaja mesti kekal, malah perlu juga diperkasa supaya hasilnya menepati sasaran. 

“Bagaimanakah cara memperkasa itu?  Pada hemat saya caranya, para da'ie hendaklah benar-benar menguasai kaedah-kaedah berdakwah, yang terdiri daripada tiga kaedah pokok, iaitu Dakwah Bil Lisan, Dakwah Bil Kitabah dan Dakwah Bil Hal," ujarnya.

Memfokaskan kepada Dakwah Bil Lisan, kaedah ini, menurut Yang Berhormat Pehin sangat-sangat penting, merupakan teknik berbicara seorang da'ie dengan menggunakan kemahiran lisannya ketika berceramah, bertazkirah, berkhutbah dan sebagainya.

Fokus asasi Dakwah Bil Lisan, tegasnya ialah menyeru kepada Amar Makruf dan Nahi Munkar,  dilakukan dengan cara yang bijaksana (berhikmah), sehingga mampu untuk mengambil hati para sasaran dan  jika ini dapat dilakukan maka bererti dakwah sudah boleh dianggap telah sampai kepada tahap perkasa. 

“Namun turut mustahak diingat bahawa Dakwah Bil Lisan juga boleh gagal (tidak perkasa) jika penguasaan da'ie lemah dalam penyampaian dan penghuraian satu-satu tema atau tajuk yang dipilih.  Ini (penyampaian dan penghuraian tersebut) dianggap ia perwatakan berbicara seorang da'ie.  Perwatakan ini perlu hebat untuk mempengaruhi sasaran.

“Dengan apakah penguasaan yang baik dapat dicapai?  Jawabnya tidak lain ialah dengan “ilmu" jua.  Terutama ilmu al-Qur'an dan al-Hadits, daripada para sahabat, tabi'en dan ulama.  Sungguh banyak sehingga tidak terhitung mutiara yang terdapat di dalam al-Qur'an, di dalam al-Hadits, di dalam riwayat-riwayat dari para sahabat, tabi'en dan ulama itu.  Tinggal sahaja lagi kita para da'ie dikehendaki pandai memilih, mana yang patut diutamakan, sesuai dengan keadaan dan keperluan," tegasnya.

Menyebut mengenai ilmu ini, menurut Yang Berhormat Pehin selain “Ilmu Kasbi" (Ilmu yang boleh didapat dengan jalan belajar), di sana ada satu lagi ilmu namanya “Ilmu Laduni"

(yang didapat bukan melalui jalan belajar, tetapi langsung daripada Allah selaku kurnia kepada hamba yang dikkehendakiNya).  Ilmu Laduni ini tentu saja amat istimewa tidak mungkin dapat ditindih-tindih oleh lain-lain ilmu biasa.

Dalam hubungan ini, pada hemat Yang Berhormat Pehin, para da'ie amat beruntung jika memiliki Ilmu Laduni dalam masa berdakwah.  Kerana itu, tegasnya  sangat mustahak untuk mereka menggantungkan harapan tinggi-tinggi dan banyak-banyak berdoa semoga Allah mengurniakan kepada mereka Ilmu Laduni disamping ilmu-ilmu biasa, sebagai alat untuk mempertajam dan memperkasa dakwah mereka.

Ilmu Laduni, katanya sangat berguna dalam semua keadaan, baik untuk menjinakkan hati-hati umat yang liar supaya tunduk dan benar-benar yakin kepada Islam, mahupun lebih diperlukan lagi ketika berbahas dengan musuh yang bertindak menghina Islam atau menghina Nabi atau menghina al-Qur'an dan seumpamanya.

“Memperkasa kualiti da'ie, sebenarnya terpulang kepada para da'ie sendiri.  Mereka itu adalah tukang canang dakwah.  Berdakwah terus menerus bererti si da'ie terus menerus mempertajam dakwahnya.  Tetapi jika sekali berdakwah, kemudian berbulan-bulan tidak muncul berdakwah, itu namanya membiarkan dakwah layu dan pendakwah pula terhakis kualiti dan lemah.  Ini perlu di atasi demi memperkasa da'ie dan sekaligus mempertajam dakwah.

“Memandang betapa pentingnya dakwah/nasihat, maka 'cara' melakukannya mustahak diambil kira bagi mewujudkan daya pikat terhadap jiwa," kata Yang Berhormat Pehin.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian seminar tersebut, Yang Berhormat Pehin merakamkan ucapan tahniah kepada Fakulti Usuluddin KUPU SB, UNISSA dan Pusat Da'wah Islamiah yang bekerjasama menganjurkan Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin sempena Sambutan Ilal Hijrah 1445 dengan tema “Memperkasa Kualiti Da'ie".

Usaha seperti ini, katanya memang perlu dan dialu-alukan memandangkan dunia kian bergelora dengan isu-isu semasa termasuk isu yang menyangkut hal-hal keagamaan, seperti dunia sekarang dikecohkan oleh tuntutan-tuntutan para aktivis hak asasi, kekecohan oleh LGBT, kekecohan oleh fahaman-fahaman Muktazilah moden, oleh fahaman Islam liberal, dikecohkan oleh hambatan-hambatan menghina Nabi, menghina dan membakar al-Qur'an.

“Semua itu perlu dihadapi dengan ilmu untuk meluruskan jalan.  Untuk memberitahu apa yang betul dan apa yang salah.

“Maka usaha pihak penganjur ini patutlah diberikan pujian dan dukungan oleh kita semua.  Dan wajar ia didoakan semoga seminar ini berjalan dengan lancar dan berjaya," tegas Yang Berhormat Pehin.


Attachments