(Oleh: H Osman A Bakar)
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, telah menyampaikan ucaptama secara rakaman di Seminar Antarabangsa Pemikiran Tan Sri Dato' Seri Dr. Haji Harussani Haji Zakaria Dalam Pembangunan Ummah yang berlangsung di Dewan Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak, Malaysia pada 17 Rabiulawal, 1445H, 03 Oktober, 2023M.
Di dalam ucaptama tersebut Yang Berhormat Pehin mengimbas kembali ketika Yang Berhormat Pehin diundang menghadiri dan membentangkan Kertas Kerja Utama di Majlis Muzakarah Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah, di Perak Darul Ridzuan pada 26hb Februari 2018 yang lalu. Ketika itu, katanya beliau telah menyaksikan dengan mata kepala beliau sendiri, sebaik-baik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan berangkat naik ke atas pentas, baginda kelihatan tidak terus menuju ke kerusi yang disediakan, tetapi menyimpang ke arah (Allahyarham) Tan Sri Dato' Seri Dr. Haji Harussani bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak ketika itu dan terus memeluk beliau, suatu pemandangan yang amat menggetarkan. Kerusi Allahyarham Tan Sri Dato' Seri Dr. Haji Harussani bin Haji Zakaria ketika itu, jelas Yang Berhormat Pehin betul-betul bersebelahan dengan kerusi Yang Berhormat Pehin, menjadikan apa yang disaksikannya itu tidak mungkin salah.
Melihat itu, kata Berhormat Pehin, beliau segera teringat kepada hadits Nabi Shallallhu 'alahi wasallam (bermaksud): “Ada dua: Jika dua-dua itu bagus/baik, nescaya bagus dan baiklah umat. Sebaliknya jika dua-dua itu rosak (tidak bagus), nescaya rosaklah umat. (Siapakah mereka?). Iaitulah 'Ulama dan Umara'."
Maka melihat Umara' (Raja) berpelukan dengan 'Ulama, tegas yang Berhormat Pehin adalah suatu tanda bahawa di sini ada kebaikkan berupa keberkatan dan rahmat untuk umat Negeri Perak Darul Ridzuan berdasarkan maksud hadits di atas.
Jika kita mahu melihat bukti, tegas Yang Berhormat Pehin boleh sahaja kita buka lembaran sejarah, iaitu di zaman keemasan Khalifah Abu Bakar Asy-Syiddiq, Khalifah 'Umar bin al-Khaththab, Khalifah 'Uthman bin 'Affan dan Khalifah 'Ali bin Abi Thalib Radhiallahu 'anhum adalah berstatus Umara', sentiasa berdampingan dan dibantu oleh para sahabat lainnya yang bertaraf 'Ulama, menjadikan umat dan negara pada masa itu sentiasa beroleh rahmat: Rahmat pertolongan dan rahmat pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala.
Kemudian, katanya bertolak dari 13 kurun yang lampau selepas itu, telah memerintah seorang khalifah bernama 'Umar bin Abdul Aziz yang terkenal warak, zuhud dan suka berdamping dan didampingi oleh para 'ulama. Beliau diriwayatkan sampai mempunyai sepuluh orang penasihat dari kalangan 'ulama. Khalifah ini sangat adil dan sangat takut untuk membuat salah.
Khalifah 'Umar, ketaqwaannya dan kecenderungannya bergaul dan meminta nasihat daripada para 'ulama, katanya telah menyebabkan berlaku kesan luar biasa kepada negara dan rakyat jelata. Negara makmur dan rakyat pula rata-rata hidup senang, sehingga zakat yang diagih tiada siapapun yang mahu menerimanya. Negara benar-benar harmoni tanpa jenayah. Tanpa sebarang pertelegahan dan pergaduhan.
Katanya rakyat bersatu padu, dan malah, makhluk haiwan juga didapati berkeadaan aneh, sehingga mendorong orang ramai mendatangi Khalifah memberitahu bahawa mereka telah menyaksikan satu kejadian luar biasa iaitu binatang serigala berjalan beriringan dengan kambing. Serigala mengawal kambing bukan memakan kambing.
Katanya lagi mereka juga bertanya kepada Amirul Mukminin Khalifah Umar tentang apakah rahsia disebalik kejadian ini?
Mengenai persoalan itu katanya, Amirul Mukminin 'Umar telah menjelaskan (maksudnya): “(Rahsianya jika kamu hendak tahu), kerana aku telah membaikkan hubunganku dengan Tuhanku, maka Allah pun membaikkan hubungan serigala dengan kambing."
Apa makna Amirul Mukminin 'Umar membaikkan hubungannya dengan Allah? Menurut Yang Berhormat Pehin, maknanya Amirul Mukminin 'Umar, sentiasa meluruskan jalannya kepada Allah. Dalam lembaran hidupnya sentiasa berdampingan dengan 'ulama, tidak pernah menderhakai Allah, tetapi berhias terus dengan amal-amal taqwa, khasnya dalam masa beliau itu menjadi raja atau khalifah.
“Inilah rahsia itu, makanya negara, bahkan seluruh jajahan takluk rantau dan pesisirnya yang diperintah oleh 'Umar ketika itu menjadi negara yang diberkati, menjadi negara aman makmur, rakyat bersatu padu dan bahkan binatang-binatang buas juga sampai hilang selera/tidak ada selera untuk memakan binatang-binatang ternakan," jelas Yang Berhormat Pehin.
Ini juga, katanya gambaran jika raja itu seorang yang salih, berbaik-baik dengan 'ulama dan menghargai jasa 'ulama membangunkan umat, maka lantaran itu, Allah pasti akan mendatangkan rahmatNya kepada negara dan bangsa, bahkan kepada makhluk selain daripada manusia.
Tetapi perkara ini, jelasnya tidak kekal, banyak yang berubah, masa demi masa membawa perubahan. Asal para umara' itu menghargai 'ulama dan berhajat kepada nasihat 'ulama, sedikit demi sedikit keadaan berubah, sehingga membawa kepada para umara' bertolak diri daripada 'ulama.
Kemudian, perkembangan selanjutnya telah menampilkan sejarah lebih hitam apabila para umara' mengistiharkan permusuhan mereka terhadap 'ulama. Diantara bentuk permusuhan itu, jelasnya ialah menganggap 'ulama menjadi batu penghalang kepada kemahuan-kemahuan mereka yang menyalahi hukum ugama.
“Subhanallah, inilah yang menyebabkan sebahagia kerajaan Islam berkubur satu demi satu dan para umara' yang zalim kehilangan takhta. Lebih-lebih lagi jika yang dizhalimi itu adalah 'ulama. Kerana awas! Menurut hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam: Daging 'ulama itu adalah beracun. Makna beracun adalah satu peringatan, supaya jangan menzalimi 'ulama, jangan menyakiti'ulama. Menzalimi atau menyakiti 'ulama adalah umpama memakan daging beracun. Siapa yang makan daging beracun maka tunggulah kebinasaannya," tegas yang berhormat Pehin.
Tetapi Alhamdulillah, raja-raja kita, katanya tidak ada yang menzalimi 'ulama, tidak ada yang menyakiti 'ulama. Raja Negeri Perak Darul Ridzuan, raja Brunei Darussalam dan semua raja-raja di semenanjung tidak ada yang menyakiti 'ulama, malah semua mereka menjadikan para 'ulama sebagai bithanah (pendamping rapat) kepada baginda-baginda. Maka lantaran itulah takhta-takhta mereka kekal, bertahan lama sampai ratusan tahun tidak binasa-binasa kerana mereka tidak pernah memakan daging beracun (melakukan kezhaliman terhadap) para 'ulama.
“Inilah pemikiran para 'ulama, khasnya mufti-mufti, untuk selama-lamanya menjaga hubungan baik dan mesra dengan sultan/raja, bertaat setia menjunjung titah perintah, dan apabila perlu, akan menyembahkan nasihat-nasihat keugamaan yang berguna untuk istana dan pembangunan ummah," tegasnya.
Seminar Antarabangsa Pemikiran Tan Sri Dato'Seri Dr. Haji Harussani Haji Zakaria Dalam Pembangunan Ummah yang di adakan selama dua hari bermula pada 3 Oktober 2023 adalah anjuran Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial Universiti Sultan Azlan Shah, Perak, Malaysia.
Disamping Yang Berhormat Pehin sebagai Pembentang Ucaptama, beberapa kertas kerja juga disampaikan antaranya oleh Sahibussamahah Mufti Negeri Perak Darul Redzuan, Ketua Hakim Syar'ie Negeri Perak Darul Redzuan dan beberapa ilmuan dan pensyarah dari beberapa institusi pengajian tinggi dan universiti di Malaysia.
Seminar dirasmikan oleh Yang Berhormat Senator Dato Setia Dr. Haji Mohd. Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Malaysia.