Oleh: Osman Abu Bakar
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan telah menerima Kunjungan Hormat daripada tiga ahli akademik dari Institut Agama Islam (IAIN) Negeri Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.
Kunjungan tersebut berlangsung di Pejabat Yang Berhormat Pehin, di Darulifta’ Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri pada 6 Jun, 2024.
Kunjungan dari institut tersebut diketuai oleh Rektor IAIN, Prof. Dr. H, Syarif, dan disertai oleh Timbalan Rektor, Dr. Ismail Ruslan dan Prof. Dr. H. Zainuddin, Direktur Pascasarjana, IAIN.
Ketiga-tiga mereka berada di negara ini dalam rangka menyertai Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-15 (KAIB XV), sebagai pembentang kertas kerja.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk mengambil peluang ingin meninjau Jabatan Mufti Kerajaan sambil untuk bertukar-tukar fikiran dengan Yang Berhormat Mufti Kerajaan mengenai perkembangan semasa ugama dan umat Islam di kedua-dua buah negara. Mereka menyatakan sangat berpuas hati dapat menghadiri konferensi berkenaan dan amat bertuah dapat bersua muka dengan raja pemimpin yang sangat dihormati.
Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-15 (KAIB XV) berlangsung selama dua hari anjuran UNISSA dengan kerjasama 10 buah universiti di Kepulauan Borneo bermula 5 Jun, 2024.