Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

26 Julai 2024 - Mufti Kerajaan Menyampaikan Tazkirah Malam Munajat Senegara Sempena Hari Keputeraan KDYMM Ke-78 Bagi Tahun 2024




Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan telah menyampaikan tazkirah mengenai Keberajaan bertajuk “Menyambut Hari Keputeraan Dengan Semangat Ilal Hijrah” pada Majlis Malam Munajat Senegara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 bagi Tahun 2024. Majlis berlangsung pada 26 Julai 2024 bersamaan dengan 21 Muharam 1446 di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.

Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet; Yang Mulia Timbalan-Timbalan Menteri; Ahli-Ahli Majlis Ugama Islam Brunei; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dan warga kementerian-kementerian; serta ahli Jawatankuasa Takmir dan para jemaah yang hadir secara fizikal mahupun secara maya dari 75 buah masjid termasuk surau dan balai ibadah di seluruh negara dan juga dari rumah-rumah persendirian.

Tazkirah antaranya menjelaskan pengertian Hijrah iaitu “peralihan atau perpindahan dari perkara yang tidak baik kepada yang baik atau yang lebih baik, dan dari tidak mematuhi hukum syarak kepada mematuhi hukum syarak.”

Majlis seumpama ini dikelolakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dan diadakan bagi menzahirkan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan dengan berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta atas keamanan dan kemakmuran negara, kesefahaman antara raja dan rakyat serta perpaduan semua lapisan masyarakat pada mendukung usaha-usaha meneruskan pembangunan bagi mencapai kesejahteraan dan kemajuan yang seimbang dan semangat patriotik dan kecintaan rakyat terhadap raja yang dikasihi di samping mengajak masyarakat untuk mengamalkan Munajat secara istiqamah sebagai langkah menjaga keselamatan diri, keluarga, masyarakat dan negara serta menolak segala musibah dan bencana.



Attachments