Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

20 November 2024 - Majlis Ceramah Bersama Mufti sempena Sambutan Haji Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2024

bkn-2.jpg

bkn-1.jpg
bkn-4.jpg
bkn-3.jpg


Ceramah

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned
Mufti Kerajaan di Majlis Ceramah Bersama Mufti sempena Sambutan Hari Antarabangsa
Menentang Penyalahgunaan 
dan Pengedaran Dadah Haram 2024

 

Narkotik adalah dzat atau bahan ubat yang berasal dari tanaman atau bukan tanaman, baik sintetis mahupun semi sintetis yang dapat menyebabkan penurunan atau perubahan kesedaran.

Disamping itu, narkotik juga menyebabkan halusinasi dan terjadinya daya rangsang, yang pada umumnya menghadirkan resiko ketagihan bagi penggunanya.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat ketika menyampaikan ceramah di Majlis Ceramah Bersama Mufti sempena Sambutan Haji Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2024 anjuran Biro Kawalan Narkotik dengan Kerjasama Jabatan Mufti Kerajaan, Jabata Perdana Menteri pada 20 November, 2024 di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa menurut pakar kesihatan, narkotik sebenarnya senyawa dengan psikotropik yang biasa dipakai untuk membius pesakit ketika pesakit itu hendak dioperasi, atau ubatan, untuk penyakit tertentu, tetapi kini, persepsi ini telah disalah ertikan akibat pemakaian di luar peraturan.

Hingga kini, jelas Yang Berhormat Pehin lagi, penyalahgunaan narkotik sudah tersebar luas, sehingga hampir tidak dapat dicegah lagi, mengingat, seluruh penduduk dunia sudah dengan mudah mendapat narkotik dari ejen-ejen atau sindikit-sindikit yang tidak bertanggung jawab dan tentu sahaja perkara ini amat mencemaskan.

“Walaupun pembenterasan narkotik sudah giat dilakukan, namun kesan positifnya  masih sahaja sedikit didapati, berbanding dari kalangan remaja mahupun dewasa bahkan kanak-kanak sekolah semakin ramai yang terjerumus kepenyalahgunaan narkotik,"jelasnya.

Narkotik berasal dari bahasa Inggeris “narcotics" yang ertinya ubat bius yang mempengaruhi susunan saraf sehingga dapat membuat kita tidak merasakan apa-apa walaupun bahagian tubuh kita disakiti.

Menurut Yang Berhormat Pehin, dari rumpun nama atau jenis narkotik yang pelbagai, menambahkan lagi kerisauan kita akan kemungkinan ianya mudah didapat untuk digunakan iaitu dalam makna ia bukan hanya satu dua jenis tetapi banyak jenis boleh dicari.

Semua ini, tegasnya  menjadi cabaran kepada umat manusia di seluruh dunia, terutama para remaja, belia termasuk pelajar untuk tidak terlibat atau dilibatkan dengan narkotik. 

Lebih membimbangkan lagi, katanya penyeludupan dadah atau narkotik di Asia Tenggara, untuk beberapa dekat, telah menyumbang menjadi punca ketakutan dan ketidak amanan.

“Baru-baru ini tersiar di media, Datuk Bandar di sebuah bandar di Selatan Mexico telah mati dibunuh.  Menurut berita itu lagi, lebih 50,000 orang telah dibunuh dan puluhan ribu lagi hilang di seluruh Mexico sejak kerajaan mengerahkan tentera untuk memerangi pengedaran dadah pada tahun 2006.

“Bayangkan, korban disebabkan dadah itu sangat besar.  Ini, baru di Mexico, belum lagi kita melihat ke negara-negara lain yang sama masaalahnya dengan Mexico," tegasnya.

Dalam bulan April tahun 2009, menurut Yang Berhormat Pehin tersiar sebuah berita, pasukan keselamatan anti dadah Afghanistan telah memusnahkan enam metrik tan dadah dan bahan kimia untuk memproses dadah, sebagai langkah memerangi dan membenteras penanaman popi ganja dan heroin.  Dadah-dadah itu dibakar di luar Kabul, setelah ia dirampas oleh pihak berkuasa.

Di setangah negara di dunia, katanya terdapat istilah “Raja Dadah".  Istilah ini, katanya lagi merujuk kepada ketua atau kepala sindikit yang sangat berkuasa lagi ditakuti.  Dialah ketua besar satu-satu kumpulan yang sering bertempur dengan kumpulan yang lain  untuk meluaskan kuasa  dan wilayah masing-masing.  Pada September tahun yang sama, 35 mayat telah ditemui.  Mayat-mayat itu disyaki ada kaitan dengan kumpulan-kumpulan penjenayah dadah.  Mayat-mayat dijumpai dibuang di tepi jalan di Veracrus, Mexico.

Menurut Yang Berhormat Pehin sejarah dadah bukannya baru, tetapi sudah lama,  seperti juga  arak dan tembakau  yang mengandungi nikotin yang telah digunakan oleh orang-orang Asia dan Amerika sejak sebelum abad ke-16 lagi.

Bahan opium yang diekstrak daripada popi, menurutnya digunakan untuk rekreasi bersenang lenang adalah satu bahan yang digunakan oleh orang-orang Asia yang kemudian merebak ke Barat. Kokain dan Heroin pula dijual sebagai ubat pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 untuk merawat beberapa penyakit.

Tetapi kini, menurutnya lagi tradisi berubat dengan bahan-bahan ini sudah tidak lagi berbangkit digantikan oleh desakan ia mesti dicegah setelah disalahgunakan menjadi punca kerosakan.

“UN Office on Drugs and Crime (UNODC) 2024 telah melaporkan kemudharatan dadah sedunia adalah berterusan meningkat di tengah-tengah perkembangan penggunaan dan pemasaran.  Jumlah pengguna dadah telah meningkat kepada 292 juta orang pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Maka ternyata, perkembangan ini tidak boleh dipandang ringgan.  Lalu, untuk keselamatan umat sedunia, semua pihak perlu bersatu menghadapinya," tegas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa Agama Islam memberi contoh pencegahan yang lengkap dari awal-awal lagi, dengan menyebut “khamar" dan benda-benda seumpamanya yang menghilangkan akal adalah “haram". 

“Imam al-Ghazali Rahimahullah telah menghuraikan perkara ini, bahawa semua benda yang boleh menghilangkan akal sama ada dengan diminum atau dimakan, baik ia benda pekat atau cair, adalah semua itu  khamar, diharamkan oleh Allah sampai hari kiamat," jelasnya.

Menurut Yang Berhormat Pehin, apabila kita menilai kejadian-kejadian yang berlaku di mana-mana, ternyata pengambilan narkotik, ubatan-ubatan terlarang dan alkohol adalah biasa membawa kepada berlakunya tindak criminal yang pelbagai. 

Menurutnya lagi, perlakuan jahat seperti mencuri, pecah rumah, merompak sampai membunuh, adalah biasa disebabkan oleh benda-benda ini. 

Malah, menurutnya lagi turut berlaku juga perbuatan-perbuatan amoral seperti zina, perkosaan, penderaan, seksual dan lain-lain, dan  tidak sedikit adalah diakibatkan oleh pengambilan benda-benda terkutuk ini. 

Kerana itulah, katanya Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda mengingatkan: Jauhilah oleh kamu khamar, kerana sesungguhnya ia adalah ibu segala kejahatan.

“Jika ada orang bertanya, apa sebenarnya khamar? Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan riwayat 'Abdullah bin 'Umar, maksudnya: “Setiap benda, bahan atau minuman yang dapat memabukkan dan melemahkan adalah ia khamar, dan setiap khamar itu haram."

“Berdasarkan hadits ini, kita juga tidak boleh membiarkan rokok. Kerana bahan rokok juga boleh membawa ketagih dan anggota tubuh badan lemah sebagaimana juga arak satu benda memabukkan dan merosakkan akal serta melemahkan adalah hukumnya haram," jelas Yang Berhormat Pehin.

Kerana itu, tegasnya  Brunei Darussalam telah mengambil punggur kehadapan mengharamkan arak dan rokok.

Disamping bersandar kepada nas, tegasnya sebelum memfatwakan rokok itu haram, Jabatan Mufti Kerajaan dengan perkenan Raja, telah terlebih dahulu pada 11 hingga 14 Julai 2002 menganjurkan satu seminar bertaraf dunia, dengan Tema Seminar Antarabangsa Mengenai Rokok atau Sihat (International Seminar On Tabacco or Health).

Dalam seminar tersebut, katanya rokok telah dibahas secara meluas oleh mufti-mufti dan pakar-pakar WHO yang senghaja kita undang untuk memberikan pandangan masing-masing dari sudut ugama dan sains.

Usaha ini, katanya dibuat cuma untuk melihat kepelbagaian pandangan atau pendekatan, sedang kita sendiri sudah ada sikap mengenainya.

“Alhamdulillah, setelah beberapa hari berseminar maka rumusan pun dicapai, bahawa setiap rokok itu mengandungi 4,000 jenis bahan kimia, sebahagian besarnya adalah beracun, berpotensi antara lain untuk membunuh menerusi penyakit jantung, penyakit strok, penyakit barah kerongkong (throat cancer), penyakit barah paru-paru (lung cancer) dan lain-lain rokok.

Kita yakin, semua golongan berpuas hati dengan rumusan ini dan menyambut baik Fatwa Mufti Kerajaan mengharamkan rokok. Fatwa ini dibukukan khas, dan mendapat sambutan luar biasa di dalam dan di luar negara. Sehingga kini, ia telah diulang cetak sebanyak tiga kali," jelas Yang Berhormat Pehin.​

Kesan dari pengharaman ini, tegas Yang Berhormat Pehin Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan telah menggubal akta: Mengawal rokok dan perokok, menjadikan rokok tidak lagi bebas menjadi bahan jualan dan belian begitu saja. Ia sudah terkawal, sehingga mempengaruhi persekitaran, di mana kita tidak lagi mudah untuk mendapati orang merokok, sama ada di rumah-rumah atau di kedai-kedai makan dan restoran, di pasar-pasar, di dalam kereta, di tempat-tempat persiaran dan lain-lain. Menandakan Brunei kita kini sudah benar-benar bersih dari rokok dan arak, dua bahan narkotik pembinasa yang masih sahaja terus menerus menghantui dunia.

Tidak diragukan lagi, tegasnya lagi inisiatif pembebasan dari dua bahan perosak ini, rokok dan arak, Negara Brunei Darussalam adalah pelopor satu-satunya, dan insya Allah, negara Brunei juga akan sentiasa bersama-sama warga dunia yang lain, untuk membentingi diri dan sekaligus membentingi masyarakat global dari arus perkembangan dan penyebaran narkotik sedunia.


Attachments