UCAPAN NASIHAT
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia
Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned
Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam
Di Program Pendidikan Penuntut-Penuntut Brunei
di Australia, New Zealand dan Malaysia
Para mahasiswa dan siswi adalah suluh bangsa dan negara, bahkan suluh kepada diri mereka sendiri. Mereka adalah pembawa suluh iaitu “ilmu" sama ada ilmu dunia dan ilmu Akhirat.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan ketika menyampaikan ucapan nasihat kepada penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di Australia, New Zealand dan Malaysia yang sedang bercuti di Program Pendidikan Penuntut-Penuntut Brunei di Australia, New Zealand dan Malaysia.
“Itulah pelajar, pembawa suluh. Apakah suluh yang dibawa oleh mereka itu? Jawabnya “Ilmu". Ya, ilmu adalah suluh. Sama ada ilmu dunia dan ilmu Akhirat. Para pelajar perlu memiliki kedua-dua ilmu ini.
“Ilmu-ilmu dunia semua kita sudah tahu. Selama bukan ilmu sihir, semua ilmu dunia diperlukan. Ilmu Bahasa perlu, ilmu matematik perlu, ilmu Perubatan Moden perlu, ilmu Pertanian perlu dan lain-lain," jelas Yang Berhormat Pehin.
Sementara ilmu Agama atau ilmu Akhirat, tegasnya adalah lebih perlu.
“Contoh ilmu Akhirat ialah al-Qur'an. Semua kita orang Islam wajib pandai membaca al-Qur'an. Tidak boleh tidak. Kerana kita orang Islam diwajibkan sembahyang dan di dalam sembahyang itu membaca ayat al-Qur'an dan pandai membaca al-Qur'an besar pahalanya," tegasnya.
Kerana itu, katanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sampai berpesan kepada sahabat Abu Hurairah Radhiallahu anhu sabda Baginda, bermaksud: “Wahai Abu Hurairah, pelajarilah al-Qur'an dan ajarkan ia kepada manusia, dan sentiasalah engkau begitu sehingga datang kepadamu kematian. Sesungguhnya jika datang kepadamu maut, sedang engkau kekal belajar dan mengajar al-Qur'an, nescaya akan berhajilah para malaikat ke kuburmu(ziarah) seperi berhaji orang-orang beriman ke Baitulallah al-Haram."
“Maka dengan besar hati, saya ingin berpesan, supaya awda semua menghidupkan agama dalam diri masing-masing. Jangan biarkan agama layu, tetapi siramlah ia selalu-selalu dengan “air amal" walau sedikit," tegasnya.
Sebagai misal menghidupkan agama dalam diri, ujar Yang Berhormat Pehin jangan berenggang dengan “Bismillahir Rahmanir Rahim". Apa jua perkerjaan, ujarnya lagi, mulai ia dengan Bismillah. Keluar dan masuk rumah dengan Bismillah. Makan minum dengan Bismillah. Berbaring hendak tidur dengan Bismillah.
“Khusus para pelajar, bila membuka dan membaca buku, atau nota pelajaran, atau menulis, atau menjawab soalan-soalan peperiksaan, maka mulai semuanya itu dengan Bismillah. Jangan sekali-kali lupa Bismillah," katanya.
Menurut Yang Berhormt Pehin, membaca Bismillah adalah perkara suci, perkara agung dan perkara berkat. Membaca Bismillah membawa kepada aman sejahtera, terhindar daripada segala bala, daripada gangguan syaithan yang direjam. Membaca Bismillah merupakan ubat atau penawar dari penyakit, dari ditelan oleh bumi, dari terbakar dari tenggelam, berkat Bismillahir Rahmanir Rahim.
“Demikian saya petik dari kitab.
“Ya mari! Saya mengajak para pelajar atau siapa saja, kita hidupkan Bismillahir Rahmanir Rahim dalam diri kita. Kita jadikan ia pakaian.
“Adapun Bismillahir Rahmanir Rahim adalah pagar kukuh untuk menghalangi syaithan musuh kita," tegasnya.
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, katanya memberitahu perkara ini dengan sabdanya, bermaksud: “Tiada seorang masuk ke rumahnya melainkan syaithan turut bersamanya masuk. Jika dia masuk dengan membaca Bismillahir Rahmanir Rahim, berkata syaithan: Tidak ada tempat masuk bagiku di sini. Jika dibawa kepadanya minuman, lalu dia membaca Bismillahir Rahmanir Rahim, maka berkata syaithan: Tiada minuman bagiku di sini. Dan jika berbaring untuk tidur dia membaca Bismillahir Rahmanir Rahim, maka syaithan berkata: Tidaak ada tempat tidur bagiku di sini."
“Sebaliknya, kalau masuk rumah tanpa membaca Bismillah, maka syaithanpun berjaya turut masuk sama. Jika makan tanpa Bismillah, syaithan akan makan bersama-sama. Begitu juga minum tanpa Bismillah, syaithan akan lebih awal meletakkan bibirnya di cawan atau di gelas yang kita gunakan untuk minum. Dan lebih dikhuatiri lagi jika orang bersatu suami isteri tanpa membaca Bismillah, syaithan akan masuk menumpang turut bersatu dan disebabkan percampuran dengan syaithan itu, boleh melahirkan atau menghasilkan kanak-kanak yang cacat atau akhlaknya kelak buruk," jelasnya.
Demikian hebatnya Bismillahir Rahmanir Rahim untuk memagar kita umat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam daripada pencerobohan syaithan.
Yang Berhormat Pehin seterusnya mengingatkan bahawa syaithan adalah makhluk licik. Lebih-lebih lagi kita tidak nampak syaithan, tetapi syaithan nampak kita. Kita tidak dapat melawan syaithan secara fizikal.
Syaithan, tegasnya tidak boleh dilawan dengan parang atau dengan apa jua senjata canggih sekalipun: dengan pistol, dengan senapang, dengan roket, malah dengan bom nukliar sekalipun. Semua itu tidak berkesan untuk menewaskan syaithan. Kecuali, Allah memberitahu, hanya dengan ayat-ayatNya sahaja syaithan boleh ditundukkan, boleh dihalau, iaitu dengan cuma membaca Ta'awudz (A'udzu billahi minasy syaithanir rajiim: Aku berlindung dengan Allah daripada syaithan yang direjam) dan dengan Bismillahir Rahmanir Rahim (Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani).
Ini sahaja senjata yang dapat menghalau dan menundukkan syaithan berserta juga lain-lain ayat dalam al-Qur'an.
Di dalam kitab, jelas Yang Berhormat Pehin ada mengungkap: Bahawa barangsiapa masa hendak tidur membaca Bismillahir Rahmanir Rahim sebanyak 21 kali, nescaya selamat dia pada malam itu daripada (gangguan) syaithan + daripada kejahatan manusia dan jin + daripada kecurian + daripada kebakaran, + daripada mati mengejut, dan + daripada segala bala bencana.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa selain keperluan memagar diri dengan ayat-ayat Allah, khasnya dengan Bismillah sepatah, juga menjadi keperluan asasi ialah menjaga kesihatan.
Mengenai dengan kesihatan, tegasnya banyak perkara perlu diperhatikan, terutama hal ehwal permakanan.
“Menurut al-Imam asy-Syafie Rahimahullah, makanan halal dan bukan syubhah adaalah ubat. Sebaaliknya makanan haram dan syubhah adalah racun.
“Di sini secara hati ke hati saya ingin berpesan kepada para pelajar, supaya menjaga permakanan. Hati-hati memilih makanan. Biar kurang sedap asal halal. Jadikan yang halal jadi pilihan. Kerana kalau termakan haram dan syubhah, 40 hari ibadat tidak diterima. Bayangkan kalau selalu atau berkali-kali makan yang haram atau syubhah. Sekali makan haram atau sekali buat dosa, satu titik hitam akan menutupi hati. Hanya bila bertaubat baru titik hitam itu hilang.
“Demikian perlunya menjaga makanan untuk membersihkan diri dari dosa dan sekaligus untuk sihat," jelas Yang Berhormat Pehin.
Satu contoh untuk sihat, jelasnya jangan sekali-kali terlibat dengan alkohol (arak) dan juga rokok. Alkohol (arak) adalah racun. Berpotensi untuk membunuh jika sampai ketagih. Kedua-dua benda ini biasa mengundang barah.
Media cetak dua hari lepas (16 Januari, 2025), kata Yang Berhormat Pehin melaporkan 11 orang maut selepas minum alcohol tercemar di Istanbul dan media hari ini pula menyebut kematian bertambah kepada 33 orang.
Pada sekitar tahun 70an, katanya tiga orang dewasa yang sekampong dengan saya mengalami barah kerongkong akibat rokok. Tiga-tiga dihantar keluar negeri untuk berawat. Semua mereka menjalani rawatan kimoterapi. Balik ke Brunei macam OK – baik. Dapat hadir majlis kenduri tahlil. Saya bertanya kepada salah seorang: “Macamana rasa kita?" Dia menjawab: “Baik, cuma rasa letih." Cuma seminggu dua bertahan, ada juga mencecah bulan, mereka telah dipanggil oleh Allah menemuiNya. Innalillahi wa innailaihi raji'un.
Yang Berhormat Pehin berkata, pihak berkuasa kesihatan negara Mesir pernah merumus, bahawa rokok menganduni 800 unsur merbahaya. Yang memberi kesan buruk kepada seluruh anggota badan yang menyebabkan antara lain kanser pernafasan, kanser paru-paru, kanser kerongkong dan lain-lain lagi. Dari itu jangan hampiri rokok.
Menurut Yang Berhormat Pehin, dalam satu kajian bertajuk “Remaja dan Aids" oleh Professor Madya Dr. Syamsuddin Abdul Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah mendedahkan tabiat merokok sebahagian besarnya berkaitan dengan jangkitan AIDS kerana AIDS terjadi dari perkongsian suntikan jarum di kalangan penjenayah dadah dan penagih dadah yang lazimnya bermula dari rokok.
Katanya pernah tersiar menjadi berita di Radio Television Brunei pada 24 Ogos, 1997 tentang satu perhimpunan di ibu negeri China, Beijing bagi Persidangan Dunia Kali Ke-10 mengenai dengan tembakau dan kesihatan.
Berita itu, katanya menyebut bahawa China yang merupakan pengeluar dan pengguna tembakau terbesar di dunia sedang berhadapan dengan kes penyakit akibat merokok. Setengah (1/2) juta orang pada setiap tahun dikatakan mati di China akibat penyakit yang berpunca dari tembakau (rokok).
Tiga punca utama kematian, tegasnya ialah kanser (barah), cardiovascular dan sesak nafas. Diramal kematian akan meningkat sehingga 2 juta pada tahun 2025.
Perkara ini, tegasnya lagi perlu jadi ikhtibar dan para pelajar menjadi pendukung utamanya.
Yang Berhormat Pehin akhirnya mengajak kita bersyukur kerana Brunei adalah satu-satunya negara di dunia yang telah mengharamkan rokok dan merokok sejak hampir 25 tahun lagi.
“Inilah Brunei dengan rokok di bawah kepimpinan bijaksana raja kita yang beriman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultana dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam," tegas yang Berhormat Pehin.
Program Pendidikan Penuntut-Penuntut Brunei di Australia, New Zealand dan Malaysia di DarulIfta Brunei Darussalam hari ini adalah bagi pelajar-pelajar yang menjalani percutian dwi-tahunan di bawah skim Biasiswa Kerajaan, Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan dan Pelajar Persendirian dan diadakan oleh Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan.