
| 
|
Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya melabuh tirai Majlis Tadarus sempena bulan Ramadhan bagi Tahun 1446H/2025M, bertempat di Masjid Ash-Shaliheen. Majlis diadakan pada 15 Mac, 2025 bersamaan 14 Ramadhan, 1446H dan diungkayahkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Ash-Shaliheen.
Hadir selaku Tetamu-Tetamu Khas di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan, pegawai serta kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-jabatan dibawahnya.
Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan wakaf berupa dua (02) set mikrofon bagi kegunaan masjid oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II kepada Yang Mulia Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin Bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid. Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan tadarus Al-Qur'an yang dimulakan oleh Tetamu Khas Majlis. Majlis turut diberkati dengan bacaan Tahlil dan Doa Selamat. Majlis kemudian disusuli dengan berbuka puasa serta Solat Fardhu Maghrib secara berjemaah.
Majlis-majlis keagamaan di bulan Ramadhan seumpama ini adalah salah satu daripada aktiviti tahunan Jabatan Perdana Menteri bagi mengeratkan silaturrahim antara pegawai dan kakitangan serta jemaah masjid dan penduduk kampung, di samping bagi sama-sama menghidupkan dan menyemarakkan lagi bulan Ramadhan yang mulia ini, serta merebut ganjaran pahala dan keberkatan yang dijanjikan Allah Subhanahu Wata'ala.