
MULAUT, Rabu, 2 April. - Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, hari ini menerima kunjungan muhibah Hari Raya Aidilfitri daripada Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Pendidikan dan Menteri Kedua Ehwal Luar, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Mohamad Maliki bin Osman dan isteri Puan Sadiah Shahal.
Kunjungan Tuan Yang Terutama ke Rumah Hidayah, iaitu kediaman Yang Berhormat di Jalan Mulaut, Mukim Sengkurong pada hari ini diiringi oleh Menteri Negara (MOS) bagi Kementerian Undang-Undang dan Kementerian Pengangkutan, Tuan Murali Pilai dan isteri; Datuk Bandar Daerah Tenggara, Tuan Fahmi Aliman dan isteri; Ahli Parlimen (MP) bagi Kawasan Perwakilan Berkumpulan (GRC) Pantai Barat, Puan Rachel Ong; Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Luar Negeri, Tuan Dinesh Sathisan; Penolong Pengarah Kementerian Luar Negeri, Tuan Ivor Tan; Pegawai Meja Kementerian Luar Negeri, Puan Megan Tan, Pegawai Sokongan Kkementerian Luar Negeri, Tuan Wong Liang Hood; dua orang pembantu menteri dan jurugambar rasmi Kementerian Luar Negeri.
Turut serta dalam rombongan ialah pegawai-pegawai dari Kedutaan Singapura di Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Laurence Bay.
Rombongan Menteri Singapura ini telah dialu-alukan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan isteri Datin Hajah Maznah binti Haji Mohammad berserta ahli keluarga.