Oleh: Haji Osman A Bakar
Gambar: Rawandi Rafie Yahya
Sudut Penerbitan Oman telah dirasmikan di Perpustakaan Islam Brunei Darussalam, Pejabat Mufti Kerajaan pada 15 April yang lalu sebagai menandakan peristiwa penting dalam ulang tahun hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman Ke-40.
Sudut penerbitan berkenaan menampilkan lebih 500 buah buku yang memperlihatkan kekayaan warisan Kesultanan Oman dalam bidang sejarah, geografi, kebudayaan, kesusasteraan dan tradisi termasuk hasil kerja akademik dalam pengajian Bahasa Arab, perundangan Islam dan lain-lain disiplin Islam yang boleh menjadi sumber berharga bagi penyelidik, pelajar dan orang ramai.
Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain@ Maidin, ketika menghadiri majlis tersebut telah merakamkan penghargaan dan amat berbesar hati terhadap usaha berkenaan.
Sementara Duta Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Erma Said Al Kathiry pula menekankan tentang pentingnya Sudut Penerbitan Oman sebagai simbol persahabatan yang terjalin sekian lama dan berkekalan antara Kesultanan Oman dan Brunei Darussalam. Ini juga, katanya mencerminkan hubungan yang kukuh dan berkekalan di antara kedua-dua buah negara yang berkongsi nilai-nilai bersama iaitu hormat-menghormati, harmoni dan saling menyokong.
Sudut Penerbitan Oman, katanya lagi adalah lebih daripada sekadar koleksi buku; ia merupakan jambatan ilmu dan pertukaran budaya, menawarkan peluang unik bagi kedua-dua masyarakat Oman dan Brunei untuk meneroka dan belajar daripada sejarah, tradisi, dan cita-cita intelektual satu sama lain.