
Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), menganjurkan Persidangan Mufti-Mufti Serantau sempena 60 tahun penubuhan Institusi Fatwa di Negara Brunei Darussalam pada 4 Jun, 2025, bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Objektif utama persidangan yang bertemakan Memartabatkan Fatwa ini adalah sebagai platform perkongsian pandangan dan pengalaman para mufti serantau, khususnya dalam usaha memperkukuh kewibawaan institusi fatwa serta langkah-langkah dalam menangani cabaran yang berkaitan dengan hal ehwal kefatwaan masa kini. Di samping itu, persidangan turut bertujuan mengenal pasti peluang kerjasama antara institusi-institusi fatwa serantau.
Ketika berucap mempengerusikan persidangan ini, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan berkata bahawa cabaran isu-isu kefatwaan bukan perkara baru, tetapi telah wujud sejak ratusan tahun yang lalu. Namun kita berbangga, para ulama ketika itu, katanya merupakan ulama kesatria, rela menerima apa saja, namun untuk tunduk kepada thagut tidak sekali.
Imam Abu Hanifah, katanya pernah dihukum sebat dan penjara oleh Khalifah al-Mashur dalam Dinasti Abbasiah kerana menolak jawatan Kadhi, dan sebelum itu, dalam Dinasti Umayyah, beliau juga dipenjara oleh Khalifah Marwan kerana menolak jawatan hakim.
Imam Malek pada tahun 179 Hijrah bersamaan tahun 764 Masehi, juga katanya pernah dipenjara oleh gabnur kota Madinah dan Khalifah Abu Ja'afar bin Manshur kerana dianggap melawan khalifah dengan fatwanya berdasarkan hadits bahawa tiada talak bagi orang yang dipaksa.
Imam asy-Syafi'i juga, jelasnya tidak terkecuali difitnah oleh pendengki bernama Mutharrif bin Mazin yang mempengaruhi Khalifah Harun ar-Rashid untuk menangkap Imam asy-Syafi'i. Akhirnya Imam asy-Syafi'i ditangkap, tangan dan kaki beliau diikat dengan rantai, dan diarak di jalanan selaku seorang yang dituduh melawan khalifah.
Lepas itu Imam Ahmad bin Hanbal pula pernah disebat dan dipenjara selama 30 bulan oleh Khalifah al-Makmun kerana tidak mahu mengaku al-Qur'an itu makhluk, sebagaimana kepercayaan al-Muktazillah. Menurutnya, pada masa itu Khalifah al-Makmun sangat kuat berpegang kepada pendapatnya al-Qur'an adalah makhluk seperti manusia. Pendapatnya ini turut dipaksakan kepada ulama untuk menerimanya. Namun Imam Ahmad tetap tidak berganjak dengan pendapatnya al-Qur'an bukan makhluk tetapi “Kalamullah". Kalamullah adalah bukan makhluk. Kerana pendiriannya ini, Imam Ahmad sampai merengkok dalam penjara 30 bulan dan disiksa dengan 60 kali rotan.
Setelah Imam Ahmad meninggal dunia, salah seorang anak muridnya bermimpi bertemu dengan beliau. Anak murid bertanya: “Wahai imam, apa yang dikata oleh Tuhan tuan kepada tuan?" Imam Ahmad menjawab: “Telah bertanya Tuhan saya kepada saya: “Adakah benar mereka merotanmu, wahai Ahmad?" Menjawab Imam Ahmad: “Benar, wahai Tuhanku." Bertanya seterusnya Allah: “Adakah engkau menerima sebatan itu kerana Aku?" Menjawab Imam Ahmad: “Engkau lebih mengetahui wahai Tuhanku." Maka berfirman Allah: “Kalau begitu, Aku masukkan engkau ke dalam Syurga tempat tinggal para hambaKu yang salih, tetapi Aku akan beri juga kepadamu lebih daripada Syurga." Bertanya Imam Ahmad: “Apakah bendanya yang lebih daripada Syurga itu, wahai Tuhanku?" Menjawab Allah: “Aku akan perkenankan engkau untuk memandang wajahKu yang mulia."
Menyebut kisah-kisah ini, tegas Yang Berhormat Pehin bukankah semuanya itu “cabaran"? Para ulama tidak lepas dari cabaran. Fatwa-fatwa para mufti adalah cabaran.
Cuma, tegasnya cabaran pada zaman silam: pada zaman Imam Abu Hanifah, Imam Malek, Imam Syafi'i dan Imam Ahmad adalah berbeza dengan cabaran pada zaman kini.
Alhamdulillah, pada zaman kini, katanya raja-raja kita adalah raja-raja budiman belaka, kita belum pernah mendengar raja-raja kita menghukum para mufti atau mempertikai fatwa, tetapi mereka menghormati mufti dan sekaligus menghargai fatwa. Nah, dari sudut ini, cabaran adalah ringgan.
Tetapi sebaliknya, tegasnya cabaran adalah berat datangnya dari kalangan awam, kalangan awam sedang dilihat kurang perihatin terhadap mufti dan fatwa, dan buktinya mudah, boleh dilihat dalam kehidupan seharian, di mana masih ramai orang-orang Islam membuka aurat, yang tenggalam siang malam dengan hiburan, lelaki dan perempuan yang bukan mahram berpelukan dalam drama-drama TV, lain lagi isu dadah, isu arak, isu judi, isu penyelewengan wang dan makanan tidak halal dan lain-lain, yang kian menjadi-jadi, padahal semua itu sudah diingatkan oleh fatwa, tetapi malang, fatwa dan irsyad seperti tidak berkesan.
Katanya, tidakkah ini cabaran kepada institusi fatwa untuk kita lebih fokas kepada memperkasa fatwa dan hal-hal kefatwaan, dan apa-apa jua yang patut kita buat mengenainya? Dalam makna kita tidak wajar berdiam diri terhadap isu-isu maksiat ini. Kita dituntut bangun, sekurang-kurang menegurnya.
Menurutnya, ini berkaitan dengan sebuah riwayat memperingatkan kita tentang akibat diam, akibat bersikap mendiamkan diri. Riwayat tersebut mengisahkan tentang sebuah negeri atau kampong yang rata-rata penghuninya melakukan maksiat. Allah telah memerintahkan Jibril untuk menghancurkan negeri atau kampong itu bersama-sama dengan penghuninya sekali. Lalu Jibril pun turun untuk melaksanakan perintah Allah. Tetapi Jibril mendapati di kalangan penduduk yang bermaksiat ini, ada seorang hamba yang salih. Jadi bagaimana ini, adakah dia (hamba yang salih) itu juga akan turut dihancurkan? Lalu Jibril pun menghadap Allah memberitahu perkara ini, meminta ketentuan tentang hamba yang salih ini, adakah dia juga akan dihancurkan, sedang dia tidak pernah melakukan sebarang maksiat? Menjawab Allah berfirman: “Wahai Jibril, dia dahulu yang engkau hancurkan sebelum orang lain, keran sikapnya membisu tidak membuka mulut melihat maksiat berlaku di hadapan matanya."
“Ini, satu perkara berat dan ngeri untuk diambil ikhtibar. Dalam era digital ini, maksiat benar-benar membungkus kita, berkehendakkan keberanian untuk menegurnya," tegas Yang Berhormat Pehin.
Tegas Yang Berhormat Pehin, persidangan ini elok membincangkan mengenai dua perkara: Pertama perkara berkaitan dengan memertabatkan fatwa, dan kedua perkara mendepani cabaran-cabaran semasa.
Persidangan yang berlangsung selama hampir tiga jam itu dihadiri oleh beberapa Mufti dari Negara Malaysia, Singapura, Indonesia, Kemboja dan Thailand.