Bandar Seri Begawan, Selasa, 13 Zulhijjah 1446H / 10 Jun 2025M
Sejumlah lima (5) ekor sapi, lima (5) ekor kerbau dan seekor (1) kambing telah disembelih untuk dijadikan ibadah korban bagi warga Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB). Majlis pengagihan daging korban telah berlangsung di Ruang Legar, Bangunan Darulifta’, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri hari ini.
Tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, Mufti Kerajaan. Majlis turut dihadiri oleh Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti; Kapten Sabirin bin Haji Abd Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif RB; Penolong-Penolong Mufti; pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan dari kedua-dua institusi.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Kapten Sabirin bin Haji Abd Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif RB selaku Pengerusi Bersama majlis.
Majlis diteruskan dengan penyerahan daging korban kepada 95 ketua keluarga dan wakil penerima yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, Mufti Kerajaan dan Kapten Sabirin bin Haji Abd Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif RB. Pada tahun ini, seramai 257 orang asnaf daripada Mukim Berakas ‘A’ telah dipilih untuk menerima agihan daging ibadah korban JMK dan RB.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Haji Muhammad Ahmad Roza bin Haji Daud, Pegawai Istinbat Kanan.
Majlis Ibadah Korban yang dilaksanakan secara bersama ini adalah merupakan acara tahunan antara kedua-dua institusi ini. Kesepakatan ini telah lahir sejak 25 tahun yang lalu bermula pada tahun 1999 lagi.