| 
|
Dato Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, Penolong Mufti (Ifta’) telah bertolak ke Kaherah, Republik Arab Mesir pada 10hb Ogos, 2025 bersamaan 16 Safar 1447 bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-10 Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa Sedunia (General Secretariat for Fatwa Authorities Worldwide), sebagai wakil kepada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.
Turut mengiringi beliau ke persidangan tersebut ialah Ustaz Haji Raimi bin Awang Tengah, Penolong Ketua Istinbat di Jabatan Mufti Kerajaan.
Persidangan pada tahun ini bertajuk “Pembentukan Mufti Berwibawa di Zaman Kecerdasan Buatan (The Making of the Competent Mufti in the Age of Artificial Intelligence)” dan akan bersidang selama dua (2) hari bermula 12 sehingga 13 Ogos 2025 di Kaherah, Republik Arab Mesir.
Tujuan utama persidangan ini diadakan adalah untuk meletakkan asas yang jelas untuk melatih seorang mufti yang arif — yang boleh melibatkan diri dengan transformasi digital dan secara bertanggungjawab menggunakan alatan AI untuk melaksanakan proses fatwa sambil menegakkan prinsip Islam. Persidangan pada tahun ini juga bertepatan dengan ulang tahun ke-10 penubuhan Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa Sedunia, yang telah, sejak sedekad lalu, menghimpunkan 111 institusi fatwa dari seluruh dunia dalam mengukuhkan kerjasama, meningkatkan prestasi fatwa, dan memupuk penyelarasan di kalangan pihak berkuasa agama.
Dihoskan oleh Dar al-Ifta Republik Arab Mesir, persidangan ini dijangka akan dihadiri oleh Mufti-Mufti, Menteri-Menteri, para Ulama dan pakar dari lebih 100 negara. Kehadiran ke persidangan tersebut juga adalah atas jemputan Yang Mulia Ustaz Dr. Nazir Ayyad, Mufti Besar Republik Arab Mesir selaku Presiden Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa Sedunia.