Di Majlis Kesyukuran
Sempena Ulang Tahun Jubli Intan Perkahwinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khari Waddien Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Binti al-Marhum Pengiran Pemanca Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, pada 18 Ogos, 2025 bertempat Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.
Anjuran Pembesaar-Pembesar Negara
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan menjelaskan bahawa Jubli Intan Perkahwinan adalah perkara baik, berupa nikmat kurnia Allah. Selaku nikmat, maka adalah wajar bagi kita untuk menyambut dan merayakannya sebagai tanda kita bersyukur dengan nikmat tersebut.
“Bagaimana ia dianggap nikmat? Ya, memang ia nikmat. Lanjut usia adalah nikmat. Berkekalan jodoh adalah nikmat. 60 tahun rumahtangga terus kukuh adalah nikmat. Siapakah pengurnia nikmat itu? Allah! Tidak lain dari Allah. Dan Allah juga menyuruh kita untuk mensyukuri nikmat-Nya itu. FirmanNya dalam surah an-Nahl ayat 114 (tafsirnya): “Dan syukurilah oleh kamu nikmat Allah, jika benar kamu menyembahNya semata-mata." Dan firmanNya lagi dalam surah Ibrahim ayat 7 (tafsirnya): “Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur (terhadap nikmatKu), nescaya aku akan tambah lagi nikmatKu itu kepada kamu," tegas Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan ceramah khas di Majlis Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Jubli Intan Perkahwinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khari Waddien Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Binti al-Marhum Pengiran Pemanca Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, pada 18 Ogos, 2025 bertempat di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.
Sekarang, kata Yang Berhormat Pehin kita sedang bersyukur atas nikmat Allah mengurniakan usia lanjut kepada kedua-dua raja kita, yang sekaligus menjadi tanda jelas, bahawa Allah subhanahu wa Ta'ala mengasihi kedua-dua baginda.
Menurut Yang Berhormat Pehin, Imam at-Tirmidzi Rahimahullah berkata bahawa setiap hamba yang beriman dan berbuat kebajikan adalah berhak untuk mendapat kasih sayang ar-Rahman, Tuhan Maha Pemurah.
Di sini, katanya kita menyurut sedikit sejarah raja kita bahawa baginda berdua sejak awal-awal lagi telah menjadi Muslim/Muslimat yang sempurna dengan semua rukun Islam dilaksanakan dan banyak amal-amal kebajikan menjadi pakaian mereka.
Ibadat kepada Allah, katanya tidak diabaikan, ibadat sembahyang, ibadat puasa, ibadat haji, ibadat zakat dan membaca al-Qur'an tetap baginda-baginda tunaikan.
Ini, tegasnya menjadi penghubung rapat diantara kedua baginda dengan Allah, ditambah lagi dengan banyak amal kebajikan di luar ibadat fardhu juga mereka lakukan, antaranya kebajikan yang sukar ditandingi ialah menyangkuti rakyat melalui kerajaan baginda dengan pelbagai kurnia, seperti kurnia bantuan-bantuan, kurnia subsidi-subsidi dan seumpamanya, tidak terkecuali kurnia-kurnia peribadi kepada rakyat yang memerlukan, dan jangan kita lupa wadah amal jariah yang sangat bererti yang telah lama wujud iaitu Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang entah berapa banyak telah mengeluarkan bantuan-bantuan kebajikan kepada masyarakat.
Dalam sebuah Hadits Qudsi, kata Yang Berhormat Pehin Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, maksudnya: “Apabila Allah mengasihi atau mencintai seorang hamba, maka Allah akan memanggil malaikat Jibril 'alahissalam dan berfirman: Wahai Jibril, Aku mengasihi si Polan, maka engkau pun hendaklah juga mengasihinya. Lalu Jibril pun mengasihi orang berkenaan. Kemudian diseru ke langit untuk mengarahkan semua malaikat mesti turut mengasihi sama, maka seluruh ahli langit pun turut mengasihi."
Makna Allah mengasihi atau mencintai hambaNya kata Yang Berhormat Pehin ialah bahawa Allah redha kepada si hamba itu.
Redha Allah tegasnya, adalah segala-galanya. Semua makhluk mengimpikan redha Allah. Para Rasul dan Nabi mengharapkan redha Allah. Para malaikat mengharapkan redha Allah. Para shalihin dan ulama serta lain-lain mengharapkan redha Allah, mengapa? Kerana redha Allah itu adalah ia jalan atau pintu ke syurga. Tanpa redha Allah, tiadalah berbangkit jalan atau pintu ke syurga.
“Kemudian, mengapa pula Allah memerintahkan para malaikat untuk sama-sama mengasihi hamba yang dikasihiNya? Kerana, Allah mahu supaya para malaikat juga hendaklah melakukan sesuatu yang baik ke atas hamba yang dikasihi itu.
“Apakah bendanya yang dimahukan oleh Allah itu? Allah mahu supaya para malaikat mendoakan orang-orang yang dikasihiNya dengan doa-doa kebaikkan. Apabila Allah kasih, Dia mengurniakan nikmat. Sementara manakala malaikat kasih, dia mendoakan siapa yang dikasihi itu,"
Menjawab persoalan tentang mengapa Allah mengasihi hambaNya? Yang Berhormat Pehin menjelaskan kerana hamba itu beriman dan suka membuat kerja-kerja kebajikan, sebagaimana Imam at-Tirmidzi telah menerangkan perkara ini.
“Kita, telah menyebut serba sedikit sejarah raja mengenai dengan perkara iman dan kebajikan. Kita mendapati bahawa kedua-dua baginda memang ahli iman dan ahli kebajikan. Lalu kerana itu, kedua-dua baginda memang berhak untuk dikasihi oleh Allah dan sekaligus didoakan oleh para malaikat," tegasnya.
Menurut Yang Berhormat Pehin, salah satu tanda atau bukti Allah mengasihi kedua baginda, ialah terjadinya jubli intan perkahwinan di mana 60 tahun rumah tangga bertahan adalah ia benar-benar nikmat kurnia Allah dan berkat bagi siapa yang ampunya diri.
“Adalah belum lengkap kalau kita belum menyebut contoh kebajikan itu. Diantara banyak-banyak kebajikan, kebajikan yang paling mulia lagi disukai Allah, ialah kebajikan mengeluarkan sedekah. Di sini, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda maksudnya: “Orang bersedekah akan didoakan oleh malaikat." Bunyi doa malaikat itu: “Ya Tuhanku, berilah kepada orang yang bersedekah ini, gantian yang lebih baik dari apa yang disedekahkannya." Lalu berdasarkan doa malaikat itu, berlakulah sebagaimana maksud Hadits: Sedekah tidak mengurangkan harta tetapi sebaliknya menambahkan harta," jelas Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat Pehin menegaskan bahawa Allah subhanahu wa Ta'ala Maha Mengetahui segala-galanya. Termasuk mengetahui bahawa raja kita adalah penggemar sedekah. Sama ada sedekah itu melalui kerajaan baginda yang tidak asing lagi, berupa pelbagai bentuk bantuan seperti kurnia-kurnia termasuk subsidi-subsidi dan sebagainya.
Kemudian sedekah itu, katanya diluaskan lagi skopnya berupa sedekah-sedekah atau kurnia-kurnia peribadi baginda-baginda berdua seperti contohnya sedekah atau kurnia yang sangat bermakna melalui Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan sedekah yang diberi jolokkan nama sebagai “Kurnia Peribadi" yang dikurniakan sempena menyambut Hari Raya Idulfitri, yang diterima oleh ribuan rakyat yang memerlukan di seluruh negara.
Dengan ini, tegasnya tidaklah diragukan lagi, bahawa Allah memang menyukai dan meredhai baginda-baginda berdua, serta para malaikat pula mendoakan mereka.
“Doa malaikat bukan calang-calang doa. Doa malaikat amatlah tajam. Kerana mereka makhluk yang suci yang tidak pernah melakukan sebarang dosa, kerana itu doa mereka sentiasa terangkat, tidak pernah ditolak oleh Allah. Maka bagi siapa yang mendapat doa malaikat, maka tidak diragukan lagi, adalah orang itu orang paling beruntung lagi berbahagia," jelas Yang Berhormat Pehin.