
|

|
Dalam usaha Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) menghidupkan Projek Memasyarakatkan Fatwa, satu sesi Forum Irsyad Hukum telah diadakan bersempena dengan sambutan Maulidurasul Shallallahu 'alaihi wasallam bagi tahun 1447H/2025M. Majlis diadakan di Ruang Legar, Darulifta' Brunei Darussalam, JMK.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Awang Mohamad Raimi bin Awang Tengah, Penolong Ketua Istinbat dan disusuli dengan persembahan Selawat Tafrijiyyah daripada Pegawai dan Kakitangan JMK.
Majlis diteruskan dengan sesi Forum Irsyad Hukum bertajuk “Keadilan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wasallam." Ahli-ahli panel terdiri daripada tiga (3) pegawai kanan JMK iaitu Dato' Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, Penolong Mufti (Ifta'); Dr. Ustaz Haji Mas Reduan bin Haji Jumat, Pmk. Penolong Mufti (Buhuth); Ustazah Hajah Noraini binti Haji Buntar, Pegawai Istinbat Kanan dan dipengerusikan oleh Awang Mohammad Hilmi bin Yakop, Pegawai Buhuth.
Penyampaian cenderahati kepada para panel forum telah disampaikan oleh tetamu kehormat.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat yang disampaikan oleh Haji Awang Mohamad Raimi bin Awang Tengah, Penolong Ketua Istinbat.
Forum ini diadakan bagi meraikan dan menyemarakkan sambutan hari memperingati kelahiran Nabi Junjungan kita Sayyidina Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam yang merupakan salah satu hari-hari kebesaran Islam yang disambut di Negara Brunei Darussalam.
Antara tujuannya adalah bagi memberikan maklumat yang jelas, lengkap dan tepat mengenai keperibadian Nabi dan mengajak masyarakat untuk mengamalkan dan menghayati ajaran-ajaran yang dibawa oleh Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam.
Rakaman Forum Irsyad Hukum ini juga akan disiarkan melalui Rangkaian Nur Islam, Radio Televisyen Brunei (RTB) di bawah Rancangan Irsyad Hukum Sempena Sambutan Maulidurrasul Shallallahu 'alaihi wasallam Tahun 1447H/2025M.