Sumber Foto: Infoto Jabatan Penerangan

CERAMAH KHAS
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia
Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam
di Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2025
di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas
3 Rabiulakhir, 1447 bersamaan 25 September, 2025
Sedekah menurut al-Qur'an dan al-hadits adalah menambah harta, bukan mengurangkan harta. Sedekah menolak bala, bukan memanggil bala. Sedekah menghapus dosa bagi yang berdosa. Sedekah menagih do'a malaikat. Sedekah membawa manusia ke Syurga.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Padukan Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned , Mufti Kerajaan ketika menyampaikan ceramah khas bertajuk Negara Kita Ditanai Dengan Sedekah di Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2025 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 3 Rabiulakhir, 1447 bersamaan 25 September, 2025.
Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, satu contoh yang sangat mashyur ialah riwayat mengenai seseorang yang telah bersedekah air kepada seekor anjing yang hampir mati kerana dahaga, lalu Allah telah menilai sedekahnya itu sebagai wajar untuk dibalas dengan syurga.
Katanya ini baru sedekah kepada binatang, tetapi betapa kalau bersedekah kepada manusia? Kepada fakir miskin, kepada janda-janda, kepada anak-anak yatim, kepada warga emas yang lemah, kepada orang kurang upaya, kepada warga GAZA, terutama kanak-kanak yang menurut Bangsa-bangsa Bersatu sedang berada pada tahap bencana kebuluran dan lebih 10 kali ganda berisiko untuk mati.
Berdasarkan fadhilat sedekah yang demikian itulah, katanya Majlis Ilmu pada tahun ini, ingin melihat Negara Brunei Darussalam ditanai dengan sedekah.
Negara Brunei Darussalam, jelasnya adalah negara yang benar- benar ditanai atau ditatang atau ditadbir atau diurus dengan sedekah.
Buktinya, katanya boleh dilihat dari awal sejarah lagi, di zaman Sultan Brunei ketiga, Sultan Sharif Ali. Baginda itu telah bersedekah da'wah, membawa seluruh rakyat Brunei memeluk agama Islam. Baginda tidak bersedekah mata benda, tetapi bersedekah lebih dari mata benda, seperti Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersedekah dengan menyeru manusia kepada Islam. Dengan sedekah mengislamkan seluruh rakyat, tidak diragukan lagi Brunei telah beroleh keberkatan luar biasa, keberkatan yang tumbuh dan bertiti dari generasi ke generasi sampai ke hari ini.
Tanpa menafikan jasa raja-raja Brunei yang lain-lain, katanya kita juga patut menyebut dua orang raja Brunei mutakhir, Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saiffuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Brunei ke-28 dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan Brunei ke-29.
Dua-dua raja ini, katanya berjasa besar dalam mengukir sejarah gemilang untuk Brunei.
“Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien adalah perintis Brunei moden. Bagindalah pengasas Perlembagaan 1959, yang menjadi turning point bagi Brunei untuk mencapai kemerdekaan penuh lagi berdaulat. Semasa hayat baginda adalah raja yang sentiasa berhias dengan “niat suci" untuk rakyat, untuk negara dan untuk ugama. Dalam masa pemerintahan baginda, niat suci itu telah disempurnakan dengan sebaik-baiknya tanpa ragu- ragu atau teragak-agak. Salah satu contoh niat suci baginda yang telah dilaksanakan ialah menyangkuti sekalian warga emas di negara ini dengan kurnia sedekah “Pencen Tua Bulanan" seumur hidup.
“Raja mana atau pemimpin mana dalam dunia ini yang teringat dan tergerak hati untuk berlaku ihsan seperti ini? Dan pakar ekonomi mana yang seberani itu untuk menggunakan wang negara hanya bagi tujuan bersedekah kepada rakyat warga emas, sedangkan ekonomi kita pada ketika itu masih sahaja ditahap permulaan. Namun skim kurnia “Pencen Tua Bulanan" yang berusia lebih setengah abad Alhamdulillah, masih sahaja terus dinikmati oleh seluruh warga emas, rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sampai sekarang," jelas Yang Berhormat Pehin.
Beralih kepada raja kita sekarang, tegasnya baginda juga adalah sama sahaja memiliki niat suci untuk rakyat, untuk negara dan untuk agama. Baginda mempunyai visi sangat jauh untuk negara.
Katanya, kalau orang lain mungkin susah nampak, tetapi baginda nampak. Misalnya, katanya lagi untuk mendapatkan keberkatan dan rahmat serta sekaligus untuk menjauhkan laknat, maka baginda telah mengislamkan undang-undang dan telah bersedekah amal shalih mengharamkan arak.
Ini juga katanya adalah sedekah, bahkan sedekah yang amat berharga lagi terpuji di sisi Allah, kerana kesan sedekah ini boleh ditunggu untuk kebaikan dunia dan akhirat.
“Walaupun mungkin ada pendapat, langkah mengharamkan arak merugikan, tetapi Islam kata tidak! Bahkan menguntungkan dan untung paling ketara di dunia sahaja ialah negara boleh terselamat daripada pelbagai bencana. Bencana berupa penyakit-penyakit atau kemalangan-kemalangan atau kematian-kematian disebabkan arak, sebagaimana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa, pengambilan alkohol (arak) adalah menjadi punca kepada 2.5 juta kematian pada setiap tahun," kata Yang Berhormat Pehin.
Menurut Yang Berhormat Pehin, banyak lagi niat suci raja yang dijelmakan jadi kenyataan. Antaranya, pintu-pintu subsidi terus dibuka. Pintu-pintu bantuan, pintu-pintu pemedulian dan pintu Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus sahaja dibuka tanpa ditutup- tutup.
“Pada sepanjang hampir 60 tahun pemerintahan raja kita, pintu-pintu ini terus sahaja dibuka tanpa ditutup. Lalu berkatnya Brunei tetap sahaja makmur, tetap sahaja mampu untuk menyara rakyatnya, tanpa perlu mengambil, walau satu sen pun daripada mereka.
“Rakyat terus menikmati pendidikan percuma, rakyat terus menikmati perubatan percuma, rakyat terus menikmati pendapatan tanpa diganggu oleh cukai pendapatan individu (income tax) yang membebankan. Rakyat tidak perlu sakit kepala untuk membayar income tax. Jika misalnya lapan ribu ringgit gaji sebulan, cukup bulan, lapan ribu ringgit itu tidak luak walau satu sen pun untuk diterima oleh penerimanya.
“Berbanding di mana-mana, orang biasa mengeluh kerana income tax. Bukan sahaja rakyat yang berpendapatan rendah mengeluh, bahkan gergasi ekonomi pun juga kadang-kadang didengar mengelak cukai. Demikian itu tengkarah cukai," tegas Yang Berhormat Pehin.
“Alhamdulillah, di Brunei rakyat masih boleh tersenyum lebar kerana tidak diganggu oleh income tax. Kita boleh carilah, mana negara di dunia ini seperti Brunei," tegasnya.
Ahli ekonomi boleh sahaja berteori bahawa meniadakan cukai pendapatan (income tax) adalah merugikan, memberi subsidi-subsidi adalah merugikan, mengurniakan elaun-elaun adalah merugikan, boleh menjejaskan ekonomi negara. Tetapi Brunei Darussalam, tegas Yang Berhormat Pehin tidak cenderung kepada teori seperti ini, malah, Brunei terus sahaja bersedekah, bahkan meningkatkan kadar sedekah dari masa ke semasa, seperti contohnya berlaku kepada kadar pencen tua, sejak ia mula diasaskan pada tahun 1955, kadar permulaan ialah sebanyak $20.00.
“Kemudian beberapa tahun berlalu, kadar itu ditingkatkan kepada $25.00. Kemudian beberapa tahun seterusnya kadar itu meningkat lagi kepada $30.00. Demikianlah, tahun demi tahun kadar itu meningkat lagi kepada $50.00. Kemudian seterusnya $100.00, seterusnya $150.00, seterusnya $200.00, dan hingga tahun 2006 sampai sekarang kadar itu naik kepada $250.00," jelas Yang Berhormat Pehin.
Sementara elaun bagi orang-orang kurang upaya pula, katanya ialah:
- Elaun orang buta sebanyak $250.00.
- Elaun bercelaru mental juga $250.00.
- Elaun penyakit kusta $250.00.
- Elaun kurang upaya 15 tahun ke atas $250.00.
- Elaun kurang upaya 15 tahun ke bawah $150.00.
- Elaun penyediaan penjagaan $250.00.20
Ini semua, jelasnya adalah sedekah iaitu sedekah kerajaan raja kepada rakyat warga emas dan kepada warga kurang upaya. Kadar- kadar yang disebutkan ini, jelasnya lagi walaupun tidak tinggi, tetapi jangan ia dianggap kurang bermakna, kerana ada maksud hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam, bahawa sedekah walau ia cuma setampik buah kurma adalah mampu untuk menjadi penyelamat daripada api neraka.
Menurut Yang Berhormat Pehin, pendekatan kerajaan raja untuk meringgankan bebanan rakyat berupa bentuk kurnia-kurnia atau pemberian-pemberian atau subsidi-subsidi termasuk membebaskan rakyat daripada income tax, adalah sedekah.
“Kerajaan raja bersedekah kepada rakyat. Sedekah ertinya pemberian atau sumbangan secara percuma tanpa menghendaki apa- apa balasan. Itulah sedekah," kata Yang Berhormat Pehin.
Kerajaan raja di sini, tegasnya tidak minta dibalas balik, namun walaupun kerajaan tidak minta dibalas, tetapi Allah tetap berjanji untuk membalasnya juga.
“Berapakah Allah berjanji untuk membalas orang-orang yang bersedekah, adakah satu dibalas satu? Bukan! Tetapi Allah berjanji sebagaimna firmanNya di dalam surah al-An'aam ayat 160 yang tafsirnya: “Barang siapa yang menyumbang satu kebajikan (satu sedekah), maka balasan untuknya adalah sepuluh kebajikan yang sama," jelas Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa kerana sedekah, Brunei beroleh keberkatan luar biasa. Berkat bukan dibeli dan begitu juga ia tidak nampak, yang nampak cuma kesannya sahaja, seperti angka satu (1) dibalas dengan 10, maka sepuluh itulah kesan berkat.
“Brunei negara kita adalah negara yang mesra berkat. Tanda Brunei mesra berkat atau berhias dengan berkat, kita sebutkan di sini satu contoh luar biasa mengenai “hutang", bahawa The World Economic Forum's Global Competitiveness Report 2008-2009 telah mendapati bahawa Brunei Darussalam menduduki tempat teratas sekali dari sudut pengurusan hutang kerajaan, dalam makna, negara ini dilihat bersih dan bebas dari sebarang hutang awam. Allahu Akbar! Betapa luar biasa dan ajaibnya perkara ini. Dalam pada kebanyakan negara dibelenggu hutang, di mana-mana jua orang berhutang tetapi Brunei boleh terlepas dari hutang.
“Dari negara miskin membawa kepada negara sedang membangun dan malah sampai kepada negara maju pun adalah berhutang, bahkan negara gergasi, negara hebat, negara kuat yang dianggap kaya pun juga berhutang. Tetapi Brunei yang kecil, walau cuma mempunyai hasil bumi yang terhad, Alhamdulillah, terlepas dari hutang, masih mampu untuk survive tanpa hutang," jelas Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat Pehin menegaskan bahawa kita menyebut perkara ini bukanlah untuk tujuan bermegah- megah, tetapi adalah hanya untuk merista nikmat Allah semata-mata, berdasarkan Allah sendiri juga menyuruh kita untuk menyebut-nyebut nikmatNya supaya kita bersyukur, sebgaimana firmanNya di dalam surah Adh-Dhuha ayat 11, tafsirnya: “Adapun nikmat Tuhanmu itu, hendaklah engkau sebut-sebut ia (dan zahirkan) sebagai tanda bersyukur kepadaNya."
Kerana raja dan kerajaan telah mendisiplinkan Brunei ditanai atau ditatang dengan sedekah, maka lantaran itu, tegas Yang Berhormat Pehin, berkat pun tumbuh di bumi yang bertuah ini: Berkat kemakmuran, berkat keamanan, berkat rakyat hidup bersatu padu dan berkat luar biasa dengan ketentuan Allah, iaitu Brunei terlepas atau bebas daripada musibah hutang.
“Boleh bayangkan, jika negara berhutang, setakat untuk membayar bunga pun sudah cukup untuk membebankan malah menyengsarakan," jelas Yang Berhormat Pehin.