Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

07 Oktober 2025 - Ucapan YB Pehin Mufti di Persidangan Antarabangsa Islam di Alam Melayu Kali Ke-14 2025

Ucapan
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Datu Paduka Seri Setia
Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned
Mufti Kerajaan
Di Persidangan Antarabangsa Islam di Alam Melayu Kali Ke-14 2025
7 Oktober, 2025.  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ القائل: قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ (الزمر : 9). وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْقَائِل : مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَبْتَغِي فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ ، وَعَلَى اٰلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَوَالَاه. أَمَّا بَعْدُ.

1. Yang Mulia Professor Dato Dr. Muhammad Farkhruddin, Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja persidangan.

2. Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif ‘Ali.

3. Tuan-tuan Yang Terutama Duta-duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi ke Negara Brunei Darussalam.

4. Yang Mulia Rektor-rektor, Dekan-dekan dari akedemi dan fakulti universiti-universiti luar negara.

5. Yang Mulia para jemputan khas, pegawai-pegawai utama UNISSA, para pembentang dan perserta persidangan dan hadirin yang dihormati.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas atas penganjuran persidangan ini, khusus kepada Universiti Islam Sultan Sharif ‘Ali (UNISSA) selaku tuan rumah dan tiga rakan serantau iaitu Universiti Malaya (Malaysia), Universiti Islam Sunan Gunung Jati, Bandung (Indonesia) dan Prince of Songkla University (Thailand) sebagai penganjur bersama.

Saya difahamkan, tema persidangan berbunyi:  “Islam di Alam Melayu:  Keilmuan Islam Dalam Mendepani Cabaran Kecerdasan Buatan (AI)”.  Saya melihat tema ini adalah bagus dan malah penting untuk dihubungkan dengan usaha mendepani cabaran-cabaran perubahan zaman.

Kita dan Islam sebenarnya sudah dan sedang  dilanda oleh satu jenis perubahan berbahaya di bawah pengaruh falsafah liberalisme.  Liberalisme ini sedang berkembang pesat dan telah pun memasuki seluruh bidang kehidupan, seperti liberalisme ekonomi, liberalisme politik, liberalisme budaya dan liberalisme agama.

Ini sudahpun berlaku di alam Melayu, bahkan di alam Nusantara seluruhnya.  Liberalisme sudah menjadi satu gerakkan modenisme Islam yang muncul di awal abad ke-19.  Sekarang golongan Islam liberal sudah benar-benar hadir dan bertapak dalam masyarakat.  Tetapi mereka tidak menzahirkan diri sebagai menolak agama, tetapi berselindung disebalik pelbagai alasan untuk mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Qur’an dan al-Hadits dan menilai semula hukum hakam fiqah.  Dan dari gagasan inilah, mereka telah dilihat sudah berani menolak segala tafsiran yang dianggap oleh mereka sebagai lapuk dan kolot.

Bagi mereka, agama mesti disesuaikan dengan kehendak masa, sekalipun terpaksa untuk mengubah hukum hakam yang telah thabit dengan nas Syarak secara putus (qath’ie).  Jika terdapat hukum yang tidak menepati kehendak zaman atau berlawanan dengan kemodenan dan temaddun global, maka hukum itu menurut golongan ini boleh sahaja diketepikan.

Tidakkah perkara ini sangat merisaukan?  Pada saya, semua kita yang sayangkan Islam yang takut akidah dicemari oleh pemikiran-pemikiran atau ideologi-ideologi baru yang menyimpang, maka kita semua mesti mendepani cabaran ini, terutama oleh para cendekiawan kita, para ahli akedemik, pendakwah, guru dan malah ibu bapa mesti sama-sama menghadapi dan menghalangi golongan yang menyimpang itu dari berjaya merosakkan umat.

Kita jangan fikir, golongan ini hanya  ada jauh di luar sana.  Tetapi kita ibubapa perlu waspada bahawa mungkin saja kita kurang menyedari bahawa di dalam rumah kita sendiri sudah sedia ada penganut liberalisme agama.  Mereka ini mungkin saja lepasan dari pusat pengajian di luar negara atau pusat pengajian dalam negara sendiri.

Kita perlu tahu, bahawa mereka itu bergaul dan pergaulan mereka luas,  mereka itu membaca dan pembacaan mereka luas, dan mereka itu melayari internet dan pelayaran mereka tiada batasnya.  Maka dari sinilah, tidak pelik kalau anak-anak atau pelajar-pelajar atau lepasan-lepasan daripada pusat-pusat pengajian, ada yang sudah terpaut menjadi penganut aliran-aliran baru seperti Islam liberal yang di dapat dari pergaulan atau pembacaan atau internet.  Aliran ini mengutamakan kebebasan berfikir dan beragama yang sudah sedia dengan agenda-agendanya yang tersembunyi, seperti diungkap oleh Sheikh Abdullah al-Khatib dalam kitab beliau:  “Al-Islam waraddu ‘ala Hurriyyah al-Fikr”. Beliau antara lain menyebut agenda tersembunyi itu sebagai:

1. Untuk memadam agama sepenuhnya daripada masyarakat.
2. Untuk menjauhkan ingatan dan pemikiran dari setiap yang berkaitan dengan wahyu dan alam ghaib, akidah dan keimanan kepada Allah, dan
3. Untuk merumus tentang keutamaan akal, kebendaan dan ketidak pemanfaatan agama dan wahyu dalam semua urusan kehidupan.

Dari yang disebutkan ini, nyatalah bahaya Islam Liberal itu tidak dapat dipandang ringan.  Ia mengancam akidah dan boleh membawa sesat.  Oleh itu, adalah menjadi kewajipan semua untuk berhati-hati dan mengambil langkah tegas membendungnya dari terus merebak meracuni masyarakat.  Persidangan hari ini dapat diharapkan untuk melihat semua aliran menyimpang antaranya Islam Liberal sebagai ancaman.

Sekian sahaja sebagai pembuka kalam. Bertabarruk dengan lafaz:

Bismillaahir Rahmaanir Raheem 

Allahumma Shalli Wasallim `Alaa Sayyidina Muhammad, Wa `Alaa Aalihi Wasahbihee ‘Ajma`iin.

Saya rasmikan Persidangan Antarabangsa Islam di Alam Melayu Kali Ke-14 2025 dengan Tema: Islam di Alam Melayu:  Keilmuan Islam Dalam Mendepani Cabaran Kecerdasan Buatan”.




Attachments