Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

01 November 2025 - Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri
​​WhatsApp Image 2025-11-06 at 11.00.28_6667ed98.jpg
WhatsApp Image 2025-11-06 at 11.00.46_23f1896d.jpg

WhatsApp Image 2025-11-06 at 11.00.56_acd6d7d5.jpg
WhatsApp Image 2025-11-06 at 11.01.11_bf8c74f1.jpg
WhatsApp Image 2025-11-06 at 11.01.26_42b8cc60.jpg
WhatsApp Image 2025-11-06 at 11.01.37_cfdcf28a.jpg


​Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri telah turut serta dalam Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri yang diadakan pada 10 Jamadilawal 1447 bersamaan 01 November 2025 di Ruang Legar Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Pameran ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai proses pencerapan hilal atau anak bulan yang amat penting dalam penentuan tarikh-tarikh utama dalam takwim Islam.

Pameran tersebut dirasmikan oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Dalam ucapan perasmian oleh Pengarah BKISHHB, Yang Mulia Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad, beliau menekankan betapa pentingnya pencerapan hilal dalam menentukan bulan-bulan signifikan dalam Islam seperti awal Ramadan untuk ibadah puasa, anak bulan Syawal untuk Hari Raya Aidilfitri, serta penentuan bulan Zulhijah untuk hari wukuf Arafah dan Hari Raya Aidiladha.

Objektif utama pameran ini adalah untuk memberi pengetahuan yang lebih mendalam kepada orang ramai, khususnya pelajar sekolah dan penuntut institusi pendidikan, tentang kaedah pencerapan hilal dalam ajaran Islam. Pameran ini juga memaparkan peranan dan keutamaan hilal dalam menentukan tarikh-tarikh penting dalam takwim Islam yang diamalkan di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Selain itu, pameran ini turut memberi pendedahan tentang kaedah-kaedah penentuan bulan hijri yang digunakan oleh negara-negara lain, termasuk kaedah kriteria MABIMS, Rukyah (Arab Saudi), serta kaedah ketinggian anak bulan di atas ufuk dan sudut elongasi (jarak lengkung antara matahari dan bulan) yang digunakan di Turki.

Melalui pameran ini, diharapkan orang ramai, terutamanya warga dan penduduk tetap NBD, dapat memahami dengan lebih jelas tentang kaedah penentuan anak bulan hijri yang diamalkan di negara ini serta perbezaannya dengan kaedah negara lain. Ini diharapkan dapat menghilangkan tanggapan dan persepsi negatif terhadap kredibiliti ketetapan rasmi anak bulan hijri, terutamanya pada bulan Ramadan, Syawal, dan Zulhijah, yang kadangkala berbeza dengan negara jiran.

Antara agensi-agensi yang turut serta dalam pameran tersebut ialah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jabatan Mahkamah Syariah, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD).

 


Attachments