Oleh: Rawandi Rafie Yahya
Yang Mulia Dr. Ustaz Haji Mas Reduan bin Haji Jumat, Ketua Buhuth sebagai wakil kepada YB Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan telah membentang kertas kerja yang bertajuk “Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah: Sudut Pandang Fiqh & Sejarah,” di Seminar Antarabangsa MADANI 2025: Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah pada 22hb Oktober, 2025.
Turut mengiringi beliau ke seminar tersebut ialah Ustaz Mohammad Hilmi bin Yakop, Pegawai Buhuth di Jabatan Mufti Kerajaan.
Pada pembentangan tersebut, Yang Muli Dr. Ustaz membincangkan mengenai akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut pandang sejarah dan fiqh dengan memfokuskan kepada perkongsian pengalaman Negara Brunei Darussalam. Dari sudut pandang sejarah, akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Negara Brunei Darussalam berkaitan dengan sejarah kedatangan Islam di Negara Brunei Darussalam semenjak lebih kurang tujuh abad yang lalu. Ini kerana ajaran Islam yang disampaikan dan disebarkan pada ketika itu dari segi akidahnya mengikut akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan aliran fiqhnya bermazhab Syafi‘i. Beberapa abad kemudian, kedudukannya sebagai pegangan berugama rasmi bagi Negara Brunei Darussalam diperkukuhkan dan ditetapkan melalui perlembagaan dan perundangan.
Dari sudut pandang fiqh pula, mazhab Syafi‘i merupakan mazhab fiqh yang menjadi pegangan rasmi di Negara Brunei Darussalam. Mazhab Syafi‘i memberi sumbangan yang signifikan kepada Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai aspek seperti aspek kefatwaan, fiqh harian, undang-undang, kehakiman, pendidikan dan lain-lain. Ini membuktikan manhaj bermazhab dengan satu-satu mazhab bukan bererti taksub dengan mazhab yang diikuti, tetapi bermazhab menyumbang kepada kepentingan yang amat besar antaranya dapat menyatupadukan masyarakat dalam kehidupan beragama dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Kertas kerja tersebut juga menyatakan bahawa aliran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Negara Brunei Darussalam semenjak dahulu lagi hingga sekarang tetap sahaja menghadapi cabaran. Namun, Kepimpinan Sultan-Sultan Brunei sejak dahulu hingga sekarang dan sokongan padu daripada rakyat dan penduduk setempat merupakan antara faktor penting yang menyumbang kelangsungan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Brunei Darussalam.
Seminar tersebut diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia dan dianjurkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan Malaysia.