Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

15 Disember 2025 - Penolong Mufti (Ifta’) menghadiri Second Symposium ‘Fatwa and Issues of The Human Reality: Towards a Sound Ijtihad' di Republik Arab Mesir

Oleh: Rawandi Rafie Yahya​​
​Foto: Abdul Hafiy bin Yahya




Dato Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, Penolong Mufti (Ifta') telah menghadiri Second Symposium 'Fatwa and Issues of The Human Reality: Towards a Sound Ijtihad (Simposium Kedua Fatwa dan Isu-Isu Realiti Kemanusiaan ke Arah Ijtihad yang Mantap) yang diadakan di Republik Arab Mesir sebagai wakil kepada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Turut mendampingi beliau ke simposium tersebut ialah Awang Abdul Hafiy bin Yahya, Pegawai Istinbat di Jabatan Mufti Kerajaan.

Ketibaan rombongan telah disambut oleh Sahibus Samahah Prof. Dr. Nazhir Muhammad 'Ayyad, Mufti Republik Arab Mesir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Simposium pada tahun ini bertemakan “Ke Arah Ijtihad Matang yang Mendepani Cabaran Kontemporari" dan diadakan selama dua (2) hari bermula 24 sehingga 25 Jamadilakhir 1447H bersamaan 15-16hb Disember 2025M di Kaherah, Republik Arab Mesir.

Antara objektif utama pada simposium kali ini adalah bagi menonjolkan peranan fatwa kontemporari sebagai instrumen ilmiah dan kemasyarakatan dalam menghadapi cabaran kemanusiaan, berlandaskan Maqasid Syariah Islam, merangka model-model pembiayaan mampan (zakat, wakaf, kafarah dan nazar serta takaful) yang berkaitan dengan dapatan fatwa dan menerbitkan panduan prosedural bagi fatwa kecemasan dan keadaan-keadaan kronik.

Majlis pembukaan simposium dimulai dengan ucapan oleh Sahibus Samahah Mufti Republik Arab Mesir. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Menteri Wakaf Republik Arab Mesir selaku wakil kepada Yang Berhormat Perdana Menteri Republik Arab Mesir, Yang Berbahagia Timbalan Sheikh Al-Azhar selaku wakil kepada Imam Besar Al-Azhar, mufti-mufti antarabangsa, para cendekiawan dan ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Simposium dua hari itu diisi dengan ucapan delegasi, sesi perbincangan ilmiah dan bengkel yang dibentangkan oleh para mufti, ahli akademik dari pelbagai negara.

Dato Seri Setia Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah selaku wakil kepada Yang Berhormat Mufti Kerajaan Brunei turut memberikan ucapan delegasi berkaitan dengan tema simposium

Simposium diakhiri dengan majlis penutup yang antara pengisiannya ialah penyampaian resolusi dan perutusan penutup oleh Sahibus Samahah Mufti Republik Arab Mesir.

Simposium ini telah dianjurkan oleh Dar al-Ifta' Mesir dan Sekretariat  Autoriti-Autoriti Fatwa Sedunia di bawah naungan Tuan Yang Terutama Abdul Fattah Al Sisi, Presiden Republik Arab Mesir.


Attachments