Dalam usaha berterusan Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) mendekati masyarakat melalui aktiviti-aktiviti keagamaan, satu majlis khatam Al-Quran dan berbuka puasa bagi tahun 1447H/2026M telah diadakan di Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis pada 15 Ramadhan 1447H bersamaan 05 Mac 2026M.
Hadir selaku ketua rombongan ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan. Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusof, Penolong Mufti (Buhuth) serta Pemangku Pengarah Pentadbiran dan seluruh pegawai dan kakitangan JMK. Turut dijemput ialah mantan pegawai dan kakitangan yang pernah berkhidmat dengan jabatan ini, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid serta kumpulan Muslimah Masjid dan penduduk kampung setempat.
Majlis didahului dengan penyampaian sumbangan wakaf berupa barangan keperluan masjid yang disampaikan oleh ketua rombongan kepada Yang Mulia Awang Abdul Najib Syazwan bin Shahrani, imam masjid berkenaan.
Majlis diikuti dengan acara kemuncak iaitu Majlis Khatam Al-Quran. Bagi menambah pengisian rohani, satu sesi tazkirah telah disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Mas Reduan bin Haji Jumat, Ketua Buhuth, JMK. Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara berbuka puasa dan sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah sebelum para hadirin menikmati jamuan yang telah disediakan.
Penganjuran majlis ini membawa objektif untuk meraih fadilat dan pahala daripada pembacaan Al-Quran, beriktikaf, serta menyungkaikan orang berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Selain itu, ia berfungsi sebagai sumbangan jabatan dalam menghidupkan lagi syiar Ramadhan serta menjadi wadah penting bagi warga Jabatan Mufti Kerajaan untuk turun padang bagi mengeratkan silaturahim dengan penduduk kampung dan masyarakat awam.