Kandungan
Kandungan buku ini berasal dari ceramah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam di Surau Kampong Mulaut pada 29 Rejab, 1432 bersamaan 01 Julai, 2011 dengan sedikit penyesuaian.
Isu penting yang dikemukakan ialah mengenai membina dan membangun sebuah keluarga menurut syara', sebagai sumber memperolehi pendidikan yang sihat. Kerana menurut Yang Berhormat Pehin, rumah tangga atau keluarga itu adalah sekolah utama dan pertama untuk melahirkan anak-anak didik yang baik dan sihat. Sebaliknya, anak yang dilahirkan di luar rumah tangga akan terdedah kepada kebinasaan, kerana asasnya tidak baik, tidak halal, tidak bersih dan tidak diredhai oleh Allah.
Di dalam buku ini pendedahan secara terperinci diperlihatkan betapa kadar atau perangkaan yang menunjukkan peningkatan bilangan anak-anak yang dilahirkan di luar nikah atau di luar ikatan perkahwinan, baik ia di Negara Brunei Darussalam sendiri, di rantau ini mahupun di dunia antarabangsa. Malah lebih parah lagi, PBB telah meluluskan resolusi mengiktiraf hak asasi lesbian, gay dan transsexual.
Kesemua ini amat membimbangkan kita.
Dengan meneliti kandungan buku ini, kita akan dibawa untuk mengetahui bagaimana keadaan umat dahulu kala yang telah dihancurkan oleh Allah kerana dosa mereka, dan sekarang, dunia kita dilihat seolah-olah lebih berani lagi dalam melakukan dosa yang sama, malah lebih teruk lagi.
Ikutilah untuk mengetahui lebih jelas.